
Dr Daroyah Alwi
كڽاتأن راسمي: تيمبالن كتوا وانيتا ڤقر لواه راس كسل ڤمچتن 348 اهلي ڤرتي
Saya amat kesal dan kecewa dengan amalan Parti Keadilan Rakyat dalam melaksanakan tindakan disiplin terhadap anggota-anggota parti yang dianggapkan sebagai pengkhianat dan melanggar tata etika dan disiplin parti. Antara mangsa-mangsa yang terbabit adalah Ketua Wania Pusat, YB Puan Hajah Haniza Talha, dan beberapa pimpinan wanita di peringkat negeri dan cabang di seluruh negara. Ini menggambarkan bahawa seolah-olah parti ini tidak menghargai jasa dan bakti serta pengorbanan pimpinan wanita kepada parti sejak sekian lama. Ini adalah kali pertama dalam sejarah Ketua Wanita sesebuah parti dilucutkan jawatannya tanpa sebab-sebab dan bukti yang kukuh.
Seramai 348 anggota-anggota parti telah dipecat dan 285 anggota-anggota digantung keahlian menggunakan peruntukan perlembagaan Fasal 9.1 dan 41.6. Kedua-dua fasal 9.1 dan 41.6 memberi kuasa mutlak kepada pihak Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk melucutkan ataupun menggantung keahlian seseorang anggota. Walaupun MPP yang terdiri daripada 20 pemimpin yang dipilih oleh anggota-anggota secara undi terus dalam pemilihan parti, namun MPP telah secara jelas melanggar prinsip demokrasi demi melindungi kuasa yang terletak di tangan beberapa pemimpin lantikan Presiden parti.
Pimpinan parti mendakwa bahawa Lembaga Disiplin yang membuat pengesyoran tindakan ke atas anggota-anggota parti, tetapi adalah pihak MPP yang meluluskan tindakan-tindakan tersebut. Pihak MPP seharusnya bertindak secara lebih telus dan rasional dalam membuat keputusan pemecatan atau penggantungan keahlian anggota parti.
Saya mewakili anggota-anggota PKR yang tidak bersetuju dengan tindakan keras parti keatas mereka yang tidak bersalah dan memohon agar ketidakadilan ini dihentikan dengan serta-merta. Terutamanya, tarik balik pergantungan dan pelucutan jawatan Ketua Wanita Pusat dan lain-lain anggota yang tidak bersalah supaya parti kita masih berkesempatan untuk diperbaiki semula.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
