“Hakikatnya, Najib merupakan Menteri Pertahanan pada ketika pembelian kapal selam Scorpene dirunding dan dimuktamadkan, dan beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala keputusan yang dibuat”
Raggie Jessy Rithaudeen
كڤوتوسن بلي سكورڤن: تق ڤايه چريتا باڽق، سوروه منتري ڤرتاهنن كوريق مينيت مشوارت، بوقتي ڤڠليبتن نجيب
Saya merujuk kepada posting Facebook Datuk Seri Najib Tun Razak bertarikh 29hb April 2022, di mana bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada kemunculan semula isu pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis sebagai “propaganda kapal selam.”
Najib menulis;
“Sebenarnya, negara Perancis telah siasat isu ini sejak tahun 2010. Sekarang pun masih siasat dan belum didakwa secara rasmi.”
Sebelum saya berhujah lanjut, ingin saya membawa kepada perhatian umum satu laporan yang diterbitkan oleh South China Morning Post, berbunyi;
Sebuah kumpulan pertahanan Perancis, Thales Group, mengesahkan bahawa syarikat itu dan beberapa individu dari syarikat itu sedang disiasat berhubung perjanjian senjata dengan Malaysia sejak 2002.
Menurut seorang hakim Perancis, Thales bersubahat dalam rasuah berhubung penjualan kapal selam ke Malaysia.
Kes yang telah lama berjalan mengenai dakwaan sogokan ini telah dibuka pada 2010 dan akhirnya mengaitkan bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak.
Najib adalah menteri pertahanan pada ketika perjanjian bernilai AS$1.2 bilion ditandatangani untuk membeli dua kapal selam kelas Scorpene dan satu kapal selam Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis DCN, yang kini merupakan sebahagian daripada Thales.
Rakan sekutu Najib, Abdul Razak Baginda, telah bertindak sebagai penasihat dalam perjanjian itu, dan dia dituduh menyamar sogokan lebih 114 juta euro (AS$121 juta pada kadar pertukaran masa kini) sebagai “kerja perundingan” oleh sebuah firma di mana dia merupakan pemegang saham terbesar.
Wang itu kemudiannya didakwa telah diberikan kepada Najib
Jadi apa yang Najib katakan adalah benar, cuma, Najib lupa memberitahu:
1. bahawa beliau disyaki menerima lebih 114 juta euro (AS$121 juta pada kadar pertukaran masa kini) daripada Razak Baginda, yang didakwa telah bertindak sebagai penasihat dalam perjanjian pembelian kapal selam,
2. bahawa siasatan pihak Perancis terhadap Thales Group dalam urusan jual-beli kapal selam dengan Malaysia melibatkan tuduhan rasuah, dan disebabkan itu, ada pihak di Malaysia disyaki terlibat dengan rasuah.
Seterusnya, Najib menulis;
“Bukan saya yang pilih dan runding pembelian kapal selam tersebut. Walaupun saya menteri pertahanan masa itu, perdana menteri dan menteri kewangan bukan saya.
“Ianya PM4 yang pilih kapal selam itu dan berunding dengan Perancis.
“Mahathir sudah meninjau kapal selam dari Perancis ketika Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA’97) 1997. Tiga kapal selam dari tiga negara iaitu Rusia, Perancis dan Turki turut menyertainya untuk ditinjau oleh kerajaan pada masa itu.
“Kemudian selepas meninjau kapal selam Perancis di LIMA 97, setahun selepas itu Mahathir menulis surat pada Michel Rocard, Perdana Menteri Perancis berkaitan hal kapal selam.
“Dalam buku bertajuk “Surat Terpilih Dr Mahathir Kepada Pemimpin Dunia”, mukasurat 218, menyatakan pada tahun 1998, Perdana Menteri, Perancis dan Mahathir bertukar-tukar empat pucuk surat.
“Dalam kandungan surat itu menyatakan bahawa Malaysian Airlines (MAS) akan mendapat lebih hak mendarat di Paris, dan Malaysia akan mendapatkan dua kapal selam buatan Perancis iaitu jenis Scorpene yang akan dihantar pada 2009.”
Jika dikaji, Najib tidak menampilkan sebarang bukti yang mengesahkan bahawa Mahathir membuat semua peninjauan dan keputusan membabitkan pembelian kapal selam Scorpene, termasuk keputusan muktamad untuk memilih kapal selam berkenaan.
Apa yang Najib tampilkan hanyalah dakwaan kononnya Mahathir berkomunikasi dengan Perdana Menteri Perancis setelah meninjau kapal selam dari Perancis ketika Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA’97) 1997.
Persoalannya;
1. Adakah Najib mencadangkan bahawa perbincangan antara Mahathir dan Perdana Menteri Perancis membawa maksud “Mahathir memutuskan secara muktamad untuk membeli kapal selam Scorpene, tanpa sebarang penglibatan Menteri Partahanan, dan seterusnya mengarahkan Kementerian Pertahanan untuk mematuhi keputusan itu?”
2. Adakah Najib mencadangkan bahawa Kementerian Pertahanan tidak terlibat secara langsung dalam mana-mana peringkat peninjauan dan rundingan ke arah pembelian kapal selam Scorpene, bermula daripada inisiatif untuk membeli kapal tersebut sehinggalah kelulusan muktamad dibuat?
Bukan hanya hujah Najib tidak membawa sebarang makna, ianya merupakan usaha murahan bekas perdana menteri itu mengaitkan nama Mahathir dengan urusan jual-beli kapal selam Scorpene.
Itu pun, Najib sekadar merujuk kepada penulisan seorang blogger bernama “Beruang Biru” yang diketahui pro Barisan Nasional.
Hakikatnya, Najib merupakan Menteri Pertahanan pada ketika pembelian kapal selam Scorpene dirunding dan dimuktamadkan, dan beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala keputusan yang dibuat.
Sudah pasti Mahathir ada berkomunikasi dengan Perdana Menteri Perancis, kerana pembelian kapal selam itu membabitkan teknologi pertahanan Perancis yang terlalu sensitif.
Disebabkan itu, segala urusan jual-beli kapal selam itu merupakan urusan “kerajaan dengan kerajaan” yang semestinya melibatkan penjawat tertinggi kerajaan.
Tidak ada sebarang bukti yang ditampilkan oleh Najib mencadangkan Mahathir membuat keputusan secara eksklusif atau mengenepikan Kementerian Pertahanan dan Menteri Pertahanan dalam mana-mana keputusan yang dibuat.
Inilah masalah Najib.
Apabila diajukan soalan yang tidak dapat dijawab, Najib akan bermain “mangsa konspirasi” dan menimbulkan pelbagai persepsi palsu tanpa mengajukan sebarang bukti.
Dalam isu pembelian kapal selam Scorpene, Najib menimbulkan persepsi kononnya beliau tidak terlibat dalam keputusan yang dibuat.
Caranya, beliau memetik nama Mahathir dan maklumat lain yang diambil dari penulisan seorang blogger pro Barisan Nasional, bukannya sumber rasmi kerajaan.
Najib berbuat demikian agar rakyat menumpu kepada perkara yang dibangkitkannya dan terlupa memikirkan penjelasan lain.
Cuba fikir;
1. Apakah nama Najib tidak pernah muncul dalam minit-minit mesyuarat Kementerian Pertahanan di mana keputusan akhir untuk memilih dan membeli kapal selam Scorpene dibuat?
2. Apakah wujud minit mesyuarat Kementerian Pertahanan yang mengesahkan bahawa keputusan membeli kapal selam Scorpene dimuktamadkan oleh Mahathir?
3. Apakah tandatangan Najib tidak wujud dalam sebarang dokumentasi yang melibatkan keputusan membeli kapal selam Scorpene?
Jom kita bertanya kepada Menteri Pertahanan – bukti ada ke tak ada?
Jangan tipu ya? Saya tahu jawapannya…
