Khairuddin Abu Hassan
كڤوتوسن محكمه تيڠڬي يڠ مميهق ساي بوقتي لاڤورن سكندل 1مدب اد اساس كبنرنڽ
Saya bersyukur dan amat gembira dengan beberapa perkembangan mutakhir khususnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membuat satu keputusan memihak kepada saya mengenai tahanan tidak sah di bawah Akta SOSMA.
Pada hari ini kebenaran telah timbul untuk membuktikan perjuangan saya membuat laporan-laporan kes skandal 1MDB di Singapura, Hong Kong, Peranchis, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat terbukti mempunyai asas kebenarannya.
Setelah saya buat laporan-laporan di enam negara tersebut bila pulang ke tanahair; saya telah ditangkap oleh pihak PDRM dan terus didakwa di bawah Akta SOSMA pada waktu itu.
Mantan Ketua Polis negara yang paling tidak cerdik iaitu Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan saya ditangkap kerana cuba mensabotaj sistem perbankan dan ekonomi negara kononnya.
Pada realitinya, saya telah berkorban tenaga, wang ringgit serta keselamatan diri untuk buat laporan-laporan pada pihak penguatkuasa undang-undang di luar negara atas dasar untuk menyekat wang syarikat 1MDB terus dirompak oleh Najib Razak dan Penyangak Jho Low.
Niat saya untuk selamatkan khazanah kerajaan serta wang rakyat dari terus dicuri oleh Najib Razak serta Penyangak Jho Low.
Perjuangan untuk menegakkan kebenaran ini berhasil dan selepas hampir tujuh tahun Tuhan mahupun sistem perundangan menunjukkan kebenarannya.
Sistem perundangan kita turut menunjukkan kebenarannya dan hari ini keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telahpun buat penghakiman yang memihak kepada saya.
Walau bagaimana pun, saya telah mengarahkan peguam untuk memfailkan rayuan ke atas keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tadi kerana kurang puas hati dengan jumlah ganti rugi yang ditetapkan.
Tahanan tidak sah saya adalah selama dua minggu dalam lokap Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan dua bulan dimasukkan ke dalam penjara Sg Buloh.
Atas dasar prinsip, apapun saya bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tadi namun jumlah pampasan agak tidak setimpal dengan penganiayaan yang saya terima pada waktu itu dengan pelbagai tekanan dari kerajaan kleptokrasi yang dipimpin oleh Najib Razak ke atas diri saya.
Perkara yang keduanya, saya bersyukur kerana semalam sekali lagi Tuhan dan Mahkamah Persekutuan telah menunjukkan kebenaran dengan kekal mensabitkan kesalahan Najib Razak dalam kes skandal syarikat SRC.
Najib Razak telah pun dimasukkan ke penjara Kajang semalam dan kini terpaksa melalui ujian ini selama 12 tahun.
Sebagai seorang yang beragama Islam saya tidak pernah berdendam dengan Najib Razak.
Beliau adalah mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama. dijatuhkan hukuman masuk penjara selama dua belas tahun serta didenda sejumlah RM210 juta.
Insyaallah, saya akan terus berdoa agar Najib Razak terus tenang menghadapi penghidupan barunya di penjara dan semoga beliau terus muhasabah diri, insaf serta mengakui segala kesilapan beliau selama ini.
Jangan lagi cuba untuk ‘menegakkan benang yang basah’ dengan menganjurkan ‘sumpah laknat’ dan sebagainya.
Sudah beberapa kali Najib Razak menganjurkan ‘sumpah laknat’ dan ‘solat hajat.’
Apabila Allah swt menunjukkan kebenarannya maka Najib Razak serta keluarganya mestilah menerimanya secara hati yang terbuka.
Pada realitinya juga, pengkhianatan Najib Razak kepada bangsa dan negara tidak boleh dimaafkan sama sekali.
Tetapi setiap penganiayaan yang Najib Razak lakukan kepada saya dari tahun 2014 sehingga 2018; saya ampunkan kesilapan beliau dunia dan akhirat.
Ini adalah ajaran agama Islam yang tulen berteraskan Al Quran serta As Sunnah yang senantiasa menggalakkan kita saling maaf memaafi di antara manusia sesama manusia.
Semoga Najib Razak tabah serta tenang menghadapi penghidupan baru di penjara Kajang dan iringan doa agar keseluruhan ahli keluarga beliau juga tabah menghadapi ujian ini.
