Keputusan saya untuk mengapung harga petrol adalah bagi manfaat rakyat jelata

Najib Razak

Saya membaca beberapa komen di Facebook saya semalam yang menggesa kerajaan agar tidak meningkatkan perlindungan terhadap kereta nasional hingga menaikkan harga kereta jenama lain. Ada juga yang mengkritik saya mengenai harga petrol.

Adalah lebih afdal jika rakyat memahami pendirian saya dan justifikasi terhadap keputusan untuk mengapung harga petrol pada November 2014.

Pendirian saya mengenai subsidi menyeluruh bagi petrol adalah tidak adil untuk rakyat khususnya golongan miskin. Kajian kerajaan menunjukkan golongan berpendapatan tinggi lebih banyak menerima manfaat berbanding rakyat miskin bagi subsidi petrol ini.

Bagaimanakah subsidi petrol ini dikatakan adil jika ia lebih memanfaatkan seorang yang kaya memandu sebuah kenderaan mewah setiap hari di dalam bandar yang sibuk berbanding petani di luar bandar yang menunggang motoikal bagi perjalanan dekat atau seorang kakitangan di pejabat yang menaiki LRT ke tempat kerja setiap hari dan hanya menggunakan keretanya pada hujung minggu?

Itulah pendirian saya. Ia sangat tidak adil. Golongan kaya tidak seharusnya menjadi kumpulan 80 peratus yang menerima manfaat dari subsidi petrol itu.

Penjimatan dari penamatan subsidi petrol itu kemudian dapat digunakan bagi menaikkan gaji kakitangan awam rendah atau bantuan terus melalui bayaran BR1M atau bantuan lain kepada golongan miskin, di mana kerajaan pimpinan saya telah membuat peningkatan secara berterusan sejak ia diperkenalkan.

Langkah ini lebih adil dan bersasar berbanding subsidi menyeluruh dalam memastikan golongan miskin menikmati kekayaan negara.

Menyentuh perkara yang sama, ramai tidak mengetahui bahawa ketika saya menjadi Menteri Kewangan pada 23 September 2008, harga RON97 adalah RM2.55 seliter manakala RON92 adalah RM2.40.

Langkah pertama yang saya ambil adalah mengurangkan harga petrol secara berkala.

Apabila saya dilantik sebagai PM pada April 2009, antara langkah pertama dilakukan ialah menghapuskan RON92 dan menggantikannya dengan petrol lebih berkualiti iaitu RON95 pada harga RM1.80 seliter.

Pada ketika BN hilang kuasa pada Mei 2018, harga RON95 adalah RM2.20, di mana ia masih lagi rendah berbanding RON92 yang dijual pada RM2.40 ketika saya menjadi Menteri Kewangan pada 2008.

Biarpun kita tidak lagi menyalurkan subsidi secara besaran untuk petrol, pada ketika pentadbiran saya, ia tidak dikenakan cukai, sebagaimana dilakukan oleh kebanyakan negara di dunia. Sebab itu, biarpun pada harga RM2.20 seliter, ia adalah harga petrol ke-15 paling rendah di dunia malah sama dengan harga dijual di Arab Saudi pada ketika itu.

Bertentangan dengan pelbagai andaian sebelum ini, Tun Mahathir sebenarnya tidak pernah memberi subsidi bagi minyak pada masa lalu malah turut mengenakan cukai ke atasnya pada kadar 58.62 sen bagi setiap liter petrol dan 19.64 sen bagi setiap liter diesel.

Beliau boleh mengenakan cukai terhadap bahan bakar itu dan bukan memberi subsidi kerana harga minyak dunia pada masa itu adalah rendah iaitu antara US$10 hingga US$20 setiap tong berbanding US$75 setong pada masa ini. Harga minyak dunia juga pernah mencecah US$120 setong semasa saya mentadbir.

Maka, adalah tidak benar apa yang disebar kononnya pada era itu rakyat menerima subsidi untuk minyak kenderaan.

Ketika Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1981, harga petrol RON92 adalah 89 sen seliter. Ketika persaraannya pada 2003, harga telah naik ke RM1.35 seliter atau 52 peratus lebih tinggi.

Ada yang mengkritik saya kononnya saya telah melanggar janji saya pada 2012 untuk tidak menaikkan harga petrol.

Ramai terperdaya dengan putarbelit, kerana apa yang sebenarnya adalah, saya berjanji harga petrol tidak akan dinaikkan bagi tahun 2012 sahaja, di mana janji itu dipenuhi.

Bagaimanapun, ia diputarbelit di media sosial kononnya saya telah berjanji harga petrol tidak akan dinaikkan selama-lamanya kerana ramai tidak membaca laporan berita dengan sepenuhnya dan mudah diperdaya. Secara logiknya, tiada siapa akan membuat janji tidak dinaikkan selama-lamanya seumpama itu kerana ia tidak munasabah.

Saya yakin rakyat Malaysia secara amnya bukanlah tidak mempunyai ilmu (uneducated) sebagaimana dikatakan Perdana Menteri baru-baru ini dan saya tahu rakyat Malaysia akan bersandarkan kepada fakta. Sebab itu saya memuat naik tulisan ini supaya orang ramai tahu pemikiran dan pendirian saya dalam hal ini.

Apa-apa pun, rakyat masih ada hak untuk menuntut harga petrol diturunkan kerana ini adalah janji PRU14 pemerintah sekarang.

Comments

Comments


Loading...