
Raggie Jessy Rithaudeen
كراجأن بهارو: توكر كوليت، ايسي سام
Sertai saluran Telegram TTF di sini
Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan-peruntukan jelas berhubung pelantikan Perdana Menteri dari kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat dan pelantikan barisan Jemaah Menteri dari kalangan ahli-ahli Parlimen.
Dalam soal penubuhan kerajaan, Perlembagaan Persekutuan buta parti dan hanya menyentuh sokongan majoriti ahli-ahli parlimen dalam pelantikan Perdana Menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Ini bermakna, sekumpulan ahli-ahli Dewan Rakyat dari blok kerajaan boleh dengan sengaja berpecah untuk mengurangkan majoriti Perdana Menteri dan kemudian bekerjasama semula dalam satu-satu penggal parlimen dengan niat mengubah Perdana Menteri.
Inilah yang dilakukan oleh Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, dan apa yang kita ada hari ini setelah runtuhnya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah kumpulan ahli-ahli parlimen sama yang terlibat dalam pentadbiran Muhyiddin sebelum ini.
Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan pimpinan Muhyiddin “gagal segagal-gagalnya” dalam menangani wabak Covid-19 dan menguruskan ekonomi negara.
Peliknya, Najib terus-menerus menuding jari terhadap Perikatan Nasional walaupun kerajaan yang dikatakannya gagal itu diwakili berbelas-belas menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional, ada di antaranya orang Najib sendiri.
Kemudian, sebaik selepas Muhyiddin ditumbangkan, Najib tiba-tiba boleh bersekongkol kembali dengan kesemua menteri dan timbalan menteri kerajaan yang beliau sendiri bantu tumbangkan, termasuk Muhyiddin sekali.
Adakah ini bermakna menteri-menteri terdahulu tidak akan dilantik semula sebagai ahli Jemaah Menteri dalam kabinet Datuk Seri Ismail Sabri?
Bagaimana pula dengan Ismail Sabri sendiri yang sebelum ini memegang portfolio penting dalam perang menangani wabak Covid-19?
Jika benar apa yang dikatakan oleh Najib, bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin “gagal segagal-gagalnya” menangani wabak Covid-19, apakah Ismail Sabri mampu membentuk kerajaan dengan muka-muka baharu yang boleh menangani wabak Covid-19 dengan jayanya?
Inilah isu pokok, dan satu Malaysia tahu bahawa Barisan Nasional dan Perikatan Nasional telah mengambil kesempatan terhadap ‘loophole’ dalam Perlembagaan Persekutuan untuk ‘menukar kulit’ dan memindahkan kuasa Perdana Menteri sesama sendiri.
