Kerajaan Johor amat sukar bertahan

“Saya yakin lebih ramai ADUN di Johor tertunggu-tunggu pengumuman dari Osman sebelum mengisytiharkan sokongan mereka terhadap PEJUANG, sekaligus bermakna langkah paling bijak yang boleh diambil oleh menteri besar Johor adalah menasihati Sultan agar DUN negeri dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri diadakan”

Raggie Jessy Rithaudeen

Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Datuk Osman Sapian dalam PPBM pada awalnya didakwa terlucut secara automatik susulan tindakannya membantu kempen calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim baru-baru ini.

Ini menurut pengerusi lembaga displin PPBM, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, yang dipetik sebagai berkata Osman tidak perlu didakwa di depan lembaga disiplin parti atas tindakannya.




“Mengikut Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3, Datuk Osman telah secara automatik / serta-merta terlucut keahlian beliau dalam parti Bersatu.

“Tak perlu di dakwa depan lembaga disiplin. Setiausaha agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkah laku beliau sendiri,” Megat dilaporkan sebagai berkata.

Kemudian, tiba-tiba tular satu laporan bercanggah yang turut memetik Lembaga Disiplin PPBM sebagai berkata Osman kekal dalam parti.

Kali ini, Pengerusi Lembaga Disiplin PPBM yang sama dipetik sebagai berkata pihaknya akan memanggil bekas Menteri Besar Johor itu bagi menjawab tuduhan berhubung dakwaan membantu kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini.

Dua laporan bercanggah dalam tempoh beberapa jam, kedua-duannya dari Lembaga Disiplin PPBM – nampak tak kekalutan di pihak Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Sebelum ini, saya mempersoalkan tindakan Muhyiddin melengahkan ‘perlucutan secara otomatik’ keahlian Osman dalam PPBM sedangkan Muhyiddin begitu pantas mengisytiharkan ‘perlucutan secara otomatik’ keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad dalam parti.

Yang paling dasyat, pengisytiharan perlucutan keahlian Mahathir hanya dibuat apabila beliau cuba bertanding untuk jawatan pengerusi PPBM yang sudah pasti akan dimenanginya.

Loading...

Muhyiddin secara tiba-tiba memecat pemimpin berusia 95 tahun itu bersama kesemua ahli barisan pengasas, antaranya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Seri Marzuki Yahya dan Maszlee Malik.

Tindakan Muhyiddin ini dikecam hebat oleh para netizen, barisan kepimpinan bahagian dan cawangan serta akar umbi parti kerana Mahathir sebelum itu pernah cuba untuk bersemuka dengan Muhyiddin di ibu pejabat PPBM bagi membincangkan kedudukannya dalam parti tetapi tidak dilayan oleh barisan kepimpinan pro-Muhyiddin yang terus menghilangkan diri.

Saya menulis:

Kecaman terhadap Muhyiddin disebabkan kebiadapan ini sungguh hebat menyebabkan beliau terus menjadi cemas dan mengerahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk cuba meredakan keadaan.

Justeru, dalam satu mesyuarat tergempar Majlis kepimpinan tinggi PPBM, Hamzah mengisytiharkan bahawa keahlian Mahathir dan lima pemimpin yang lain sebenarnya “terlucut secara otomatik” apabila mereka “melanggar perlembagaan parti kerana memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun parti memutuskan sebaliknya.”

Kemudian, pada 26hb Ogos 2020, media sosial digemparkan dengan kehadiran bekas menteri besar Johor Osman Sapian bersama beberapa pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) semasa kempen pilihan raya kecil Slim.

Apabila saya bertanya mengapa PPBM takut untuk mengisytihakan “perlucutan keahlian Osman secara otomatik,” Osman keluar dengan kenyataan kononnya beliau sekadar “jumpa kawan-kawan,” tidak lebih dari itu.

Malangnya, bukan hanya kenyataan itu satu pembohongan, ramai melihat Osman berkempen untuk Amir malah tular satu video di media sosial memaparkan bekas menteri besar Johor itu berkata PPBM telah “menyeleweng” daripada perjuangan asalnya.

Nampaknya PPBM teringin sangat mengisytiharkan “perlucutan keahlian Osman secara otomatik” untuk mengelakkan parti itu dari terus dikecam kerana mengamalkan “politik darjat,” “kediktatoran ekstrim” dan “undang-undang hutan.”

Malangnya, Muhyiddin takut untuk berbuat demikian kerana kecut memikirkan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Negeri dan Umum sebelum pembentangan Bajet 2021.

Kebelakangan ini, pentadbiran Muhyiddin dikecam begitu hebat kerana mengamalkan politik darjat apabila seorang menteri dari PAS hanya dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar perintah kuarantin wajib tatkala rakyat biasa dikenakan kompaun berlipat kali ganda malah ada yang diheret ke mahkamah dan dihukum penjara.

Kemarahan para netizen terus memuncak apabila PAS cuba menghalalkan kesalahan menteri itu dengan mengerahkan Mursyidul Am PAS untuk mengisytiharkan menteri berkenaan sebagai ‘hero’ sambil menyalahkan pihak kementerian.

Seandainya keahlian Osman benar-benar terlucut, beliau akan menjadi ADUN bebas dan perlu mengisytiharkan samada menyokong kerajaan pimpinan Perikatan Nasional di Johor atau tidak.

Sekiranya Osman mengisytiharkan sokong Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), ia akan menyaksikan dewan negeri Johor tergantung kerana Perikatan Nasional hanya mempunyai 29 kerusi di DUN negeri itu manakala Pakatan Harapan pula mempunyai 27 kerusi.

Kemelut ini samada akan menjurus kepada pertukaran dalam kerajaan negeri Johor ataupun pembubaran DUN negeri menerusi nasihat Menteri Besar Johor kepada Sultan.

Ini memandangan PPBM Johor pada ketika ini berada dalam keadaan kurang stabil dengan pengunduran begitu ramai pemimpin bahagian, cawangan dan akar umbi serta rasa tidak puas hati yang wujud di kalangan beberapa ADUN PPBM terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Saya mencadangkan agar Osman tidak membuang masa lagi dan terus mengisyitharkan sokongannnya terhadap PEJUANG agar Menteri Besar Johor boleh membuat keputusan samada ingin menasihati Sultan untuk membubarkan DUN atau ingin cuba membentuk kerajaan campuran.

Tetapi saya yakin lebih ramai ADUN di Johor tertunggu-tunggu pengumuman dari Osman sebelum mengisytiharkan sokongan mereka terhadap PEJUANG, sekaligus bermakna langkah paling bijak yang boleh diambil oleh menteri besar Johor adalah menasihati Sultan agar DUN negeri dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri diadakan.

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...