“Kepimpinan kerajaan pada ketika ini lebih bertumpu kepada masalah kepartian, sekaligus menyebabkan lebih tumpuan diberikan kepada soal Wang, Kuasa dan Kedudukan, bukannya permasalahan rakyat selaku hamba Yang Di-Pertuan Agong. Inilah penyebab sebenar wabak Covid-19 makin menggila dan inilah salah satu perkara yang cuba dielakkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Terus terang, kerajaan pimpinan Muhyiddin harus digantikan terus dengan kerajaan perpaduan di bawah gandingan Mahathir bersama Tengku Razaleigh Hamzah jika niat kita bersama ialah untuk menyelamatkan Malaysia.”
Raggie Jessy Rithaudeen
Semenjak Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan Proklamasi Darurat kepada Yang Di-Pertuan Agong, rata-ratanya, satu Malaysia sudah bersuara menentang cadangan itu.
Tidak kira blok pembangkang mahupun blok kerajaan, majoriti ahli-ahli parlimen menolak usul Muhyiddin itu yang terang-terang berniat melengahkan sidang parlimen dan pembentangan Belanjawan 2021 agar kerajaan pimpinan beliau tidak tumbang.
Berdasarkan bilangan ahli parlimen yang kini memberi tekanan kepada Speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan pembentangan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, hampir kesemua ahli parlimen dan pemimpin parti politik sudah tahu Belanjawan 2021 tidak mungkin akan diluluskan oleh Dewan Rakyat.
Inilah yang ditakuti oleh Muhyiddin, dan saya kira pihak Istana Negara sendiri tahu akan kebenaran ini bersandarkan surat-surat yang dikemukakan oleh beberapa ahli parlimen kepada Speaker Dewan Negara dan surat sokongan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Datuk Seri Anwar yang jelas membuktikan ketandusan dalam majoriti Muhyiddin.
Hakikatnya, tidak ada sebab munasabah bagi Muhyiddin mencadangkan Proklamasi Darurat, kerana bukan hanya pihak kerajaan tidak terkekang langsung dalam melaksanakan sebarang dasar sepertimana yang sedang dilaksanakan kini bagi memerangi wabak Covid-19, hanya negeri Sabah yang benar-benar terjejas teruk disebabkan wabak itu, bukannya satu Malaysia.
Bagaimanakah Proklamasi Darurat mampu membantu Muhyiddin “memerangi wabak Covid-19,” sedangkan Muhyiddin sendiri merupakan punca sebenar wabak Covid-19 makin menggila, di mana perkara ini diakui oleh barisan Jemaah Menteri apabila mereka bersetuju dengan cadangan Proklamasi Darurat?
RJ Rithaudeen
Setakat ini, segala langkah pencegahan yang diambil sudah memadai, dan tidak pernah ada sebarang laporan atau bukti yang menunjukkan pihak hospital kerajaan mengalami kekangan dari segi kekurangan peralatan atau katil disebabkan peningkatan mendadak kes Covid-19 hingga mampu membawa ancaman serius kepada kesihatan rakyat jelata.
Dan jika ya pun berlaku kekangan sedemikian, tidak ada apa-apa langkah yang boleh diambil oleh Majlis Keselamatan Negara menerusi Proklamasi Darurat yang tidak boleh diambil kini menerusi undang-undang yang sedia ada dengan kadar segera tanpa bantahan daripada mana-mana pihak.
Jadi cukup jelas bahawa cadangan Proklamasi Darurat yang dikemukakan oleh Muhyiddin kepada Yang Di-Pertuan Agong tidak masuk akal dan hanya akan meningkatkan ketegangan di kalangan rakyat jelata, yang sehingga kini amat berdisiplin dan tidak pernah menentang sebarang usaha kerajaan untuk mengawal pergerakan.
Rakyat juga cukup selesa dengan tindakan Muhyiddin mengerahkan pihak Tentera Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk mengawal pergerakan dan tidak pernah berhimpun untuk menentang sebarang dasar kerajaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19.
Amat nyata bahawa Muhyiddin hanya sedang cuba menyelamatkan tengkuknya agar beliau boleh kekal berkuasa malah memperolehi kuasa tambahan, mungkin untuk cuba menghukum mereka yang mengkritik pentadbirannya.
Semalam, saya menulis:
Bukan hanya Muhyiddin punca segala permasalahan ekonomi, politik dan kesihatan yang dialami oleh negara kita pada ketika ini, satu Malaysia sudah sedar bahawa kesemua permasalahan ini tercetus sebaik selepas Langkah Sheraton apabila Muhyiddin menggangu-gugat usaha kerajaan menangani wabak Covid-19 yang pada ketika itu berada pada tahap paling terkawal.
Malah, gelombang ketiga yang tercetus baru-baru ini turut berpunca daripada satu lagi langkah “rakus kuasa” Muhyiddin, apabila sekutunya dari Sabah, Tan Sri Musa Aman, cuba menggangu gugat kestabilan kerajaan negeri hingga memaksa Datuk Seri Shafie Apdal menasihati Yang Di-Pertua Negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.
Apakah orang sebegini yang kita harapkan untuk selamatkan Malaysia? Setelah begitu banyak kerosakkan, kehancuran dan kesengsaraan yang dibawanya dalam tempoh tidak sampai lapan bulan, apakah kita hendak memberikannya lebih banyak kuasa untuk melakukan apa sahaja yang diingininya dengan mengisytiharkan Darurat?
Sememangnya Muhyiddin tidak mampu menangani masalah Covid-19 dengan berkesan walaupun memiliki Kabinet terbesar dalam sejarah tanah air, didirikan menggunakan dana rakyat dan negara dalam jumlah yang tidak sepertinya sebelum ini yang berfungsi hanya untuk mengayakan ahli-ahli parlimen agar kerajaan tidak tumbang.
Kini, apabila mendapat tahu bahawa kerajaan mungkin tumbang seandainya Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat, Muhyiddin tiba-tiba mengusulkan Darurat walaupun sebelum ini mengaku bahawa wabak Covid-19 di negara ini dalam keadaan terkawal.
Apakah kita akan benarkan pemimpin sebegini menerajui kerajaan dalam tempoh Darurat?
Rakyat makin sedar bahawa segala permasalahan yang dibawa oleh pentadbiran Muhyiddin merupakan masalah kepartian, memandangkan segala pergelutan dan percakaran politik yang berlaku kini berpunca daripada parti-parti politik blok kerajaan sendiri yang bertelagah untuk menentukan siapa yang lebih layak memegang kuasa dan mengawal kerajaan.
Jsuteru, kepimpinan kerajaan pada ketika ini lebih bertumpu kepada masalah kepartian, sekaligus menyebabkan kerajaan memberikan lebih tumpuan kepada soal Wang, Kuasa dan Kedudukan, bukannya permasalahan rakyat selaku hamba Yang Di-Pertuan Agong.
Inilah penyebab sebenar wabak Covid-19 makin menggila dan inilah salah satu perkara yang cuba dielakkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Terus terang, kerajaan pimpinan Muhyiddin harus digantikan terus dengan kerajaan perpaduan di bawah gandingan Mahathir bersama Tengku Razaleigh Hamzah jika niat kita bersama ialah untuk menyelamatkan Malaysia.
Menerusi pembentukkan sebuah kerajaan perpaduan, Mahathir dan Tengku Razaleigh dapat memastikan bahawa barisan Jemaah Menteri hanya bertumpu kepada permasalahan rakyat dan tidak dibelengui polemik kepartian yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin PPBM, Barisan Nasional dan PAS.
Kerajaan sebegini menuruti sepenuhnya peruntukkan-peruntukkan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya buta parti dalam hal-hal melibatkan pelantikan Perdana Menteri dan ahli-ahli barisan Jeamaah Menteri.
Dengan cara ini, Mahathir berharap untuk beralih dari kelaziman sebelum ini, di mana ahli-ahli barisan Jeamaah Menteri hampir kesemuanya dilantik dari kalangan ahli-ahli parlimen gabungan parti yang memenangi Pilihan Raya Umum, sekaligus menjadikannya pelantikkan yang “bersandar kepada parti” yang sememangnya mengundang pencalonan menteri secara “pilih kasih” oleh Perdana Menteri untuk cuba mengukuhkan kedudukannya.
Menerusi pembentukkan kerajaan perpaduan, kesemua menteri dan timbalan menteri, baik yang muslim mahupun yang bukan muslim, akan saling hormat menghormati antara satu sama lain dan memberikan tumpuan penuh terhadap usaha penyatuan dan penyelesaian permasalahan rakyat, termasuk sengketa perkauman dan keagamaan yang kian hari kian menjadi “bahan makanan” ahli-ahli politik Barisan Nasional dan PAS.
Mahathir pula akan dapat memastikan iklim “kesefahaman dan permuafakatan” tercapai dalam kamar Kabinet dengan hanya mencalonkan mereka yang benar-benar layak memegang satu-satu portfolio dan berani menidakkan kehendak parti.
Selebihnya, Mahathir boleh mencalonkan golongan teknokrat sebagai ahli Dewan Negara sebelum mengangkat mereka sebagai menteri atau timbalan menteri, sekaligus menyelesaikan masalah “ketandusan ahli-ahli Dewan Rakyat yang benar-benar berkaliber atau berani menentang prinsip parti yang menyeleweng dari misi kerajaan”
Bukankah ini jalan penyelesaian terbaik untuk memerangi wabak Covid-19? Bagaimanakah Proklamasi Darurat mampu membantu Muhyiddin “memerangi wabak Covid-19,” sedangkan Muhyiddin sendiri merupakan punca sebenar wabak Covid-19 makin menggila, di mana perkara ini diakui oleh barisan Jemaah Menteri apabila mereka bersetuju dengan cadangan Proklamasi Darurat?
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
