
“Jika ada sebarang pertikaian, Yang Di-Pertuan Agong masih mempunyai kuasa berperlembagaan untuk meminta Muhyiddin meletakkan jawatan jika benar Muhyiddin melanggar sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri untuk mentaati Seri Paduka Baginda Tuanku. Yang Di-Pertuan Agong turut boleh memecat Muhyiddin atas alasan bahawa sumpah jawatan yang dilafazkan oleh Muhyiddin dibuat menggunakan nama tidak rasmi dan bukannya nama yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara, yakni Mahiaddin Yassin”
Raggie Jessy Rithaudeen
TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
Kerajaan yang sedia ada secara automatik sudah terbubar dan tidak boleh mentadbir negara apabila gagal mencapai persefahaman antara institusi Diraja dan Kabinet.
Demikian menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berkata, keadaan itu jelas dilihat menerusi pengumuman kerajaan berhubung pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat walaupun gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, tindakan pembatalan itu dibuat tidak mengikut lunas perundangan yang betul selain tidak mematuhi mana-mana peraturan berkaitan yang termaktub.
“Ikut pindaan kita (kerajaan terdahulu) buat sebelum ini, kalau raja (Yang di-Pertuan Agong) tolak maka dewan (Dewan Rakyat) mesti bincangkan sebab penolakan.
“Kalau tiada perubahan (berhubung sebab penolakan), dewan boleh hantar balik kepada raja. Kalau raja tak lulus selama dua bulan, barulah ia jadi undang-undang.
“Bagaimanapun, ini (pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat) belum dikemukakan kepada Parlimen, selepas tidak dipersetujui raja… (kerajaan) buat pengumuman seolah-olah ia sudah jadi undang-undang,” katanya pada sidang media di Dataran Merdeka, hari ini.
Saya bersetuju dengan kenyataan ini yang selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, di mana pembatalan Ordinan Darurat perlu terlebih dahulu diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong secara bertandatangan dan seterusnya diwartakan oleh pihak yang diberi kuasa untuk mentadbir urus negara sebelum pembatalannya diumumkan.
Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jelas melanggar peruntukan Perlembagaan ini dan menghina serta mencalar maruah Istitusi Diraja menerusi pelanggaran ini dan kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri terhadap Yang Di-Pertuan Agong yang dilihat mencabar kuasa berperlembagaan Seri Paduka Baginda Tuanku.
Jumaat lalu, saya menulis:
Menurut PMO, Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri.
Ini tidak benar, kerana:
1. Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan secara jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri kecuali sebagai mana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.
2. Perkara 150 pula menetapkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan proklamasi darurat jika Seri Paduka Baginda Tuanku ‘berpuas hati’ bahawa berlaku Darurat besar melibatkan salah satu atau kesemua ancaman yang disenaraikan dalam Perkara itu.
Jika bahagian-bahagian yang dihitamkan dalam Perkara 150 (hujah 1) dan perkara 40 (hujah 2) dibaca bersama, jelas bahawa Yang Di-Pertuan Agong memiliki kuasa prerogatif untuk mengisytiharkan Darurat tanpa perlu mematuhi nasihat Perdana Menteri.
Sepertimana yang dimaklumkan oleh Mohamed Haniff Khatir Abdulla, kewujudan kuasa prerogatif ini terbukti apabila Yang Di-Pertuan Agong tidak menerima nasihat Perdana Menteri pada 23hb Oktober 2020 untuk mengisytiharkan Darurat dan seterusnya menolak nasihat itu pada 25hb Oktober 2021.
Jika benar dakwaan PMO bahawa Perlembagaan Persekutuan memerlukan Agong untuk sentiasa menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri, kenapakah penolakan nasihat Perdana Menteri pada 25hb Oktober 2021 tidak dirujuk ke Mahkamah?
Memandangkan pengisytiharan Darurat memerlukan Yang Di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa keadaan Darurat wujud atau hampir wujud, tempoh Darurat itu sendiri dan undang-undang yang diguna pakai dalam tempoh itu tertakluk kepada budi bicara Seri Paduka Baginda Tuanku.
Kuasa budi bicara ini dibolehkan menerusi Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan dalam tempoh Darurat sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.
Jika diteliti, Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 11hb januari 2021 tidak mempunyai sebarang peruntukkan yang berbunyi, “kuasa Yang Di-Pertuan Agong tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri.”
Manakala itu, tidak ada peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang membawa maksud Yang Di-Pertuan Agong perlu mendengar nasihat Perdana Menteri dan menuruti nasihat itu dalam tempoh Darurat.
Ini bermakna, Yang Di-Pertuan Agong turut mempunyai kuasa untuk membatalkan mana-mana Ordinan yang telah dimasyurkan sebelum ini tanpa nasihat Perdana Menteri dan memasyurkan Ordinan baharu mengikut budi bicara Seri Paduka Baginda Tuanku.
Tindakan PMO ‘mengingatkan’ Yang Di-Pertuan Agong bahawa segala nasihat Perdana Menteri perlu dituruti bukan hanya mencabar kuasa Seri Paduka Baginda Tuanku, ianya merupakan satu tafsiran palsu Perlembagaan Persekutuan dan penghinaan yang termat besar kepada institusi Di Raja yang tidak harus dimaafkan.
Apa pun, jika ada sebarang pertikaian, Yang Di-Pertuan Agong masih mempunyai kuasa berperlembagaan untuk meminta Muhyiddin meletakkan jawatan jika benar Muhyiddin melanggar sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri untuk mentaati Seri Paduka Baginda Tuanku.
RUJUK PENJELASAN TERPERINCI KUASA AGONG MEMECAT MUHYIDDIN DI SINI
Yang Di-Pertuan Agong turut boleh memecat Muhyiddin atas alasan bahawa sumpah jawatan yang dilafazkan oleh Muhyiddin dibuat menggunakan nama tidak rasmidan bukannya nama yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara, yakni Mahiaddin Yassin.
WAJIB BACA:
AKHIRNYA MISI SULIT KLUSTER MAHKAMAH CUBA KUASAI KERAJAAN TERBONGKAR!
