“Kecaman Syed terhadap Maria Chin bukan hanya pelik, ianya berlaku di luar norma PKR yang selama ini memecat mana-mana pemimpin yang bersekongkol dengan pemimpin parti lawan biarpun kepimpinan PKR sekadar ‘mengesyaki’ berlaku kerjasama sulit antara mereka”
Raggie Jessy Rithaudeen
كرجاسام ارت انور، نجيب، زاهيد ماكين ترسرله
Kenyataan Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak senada dengan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertikaikan kepincangan Belanjawan 2021 merupakan alasan semata-mata bagi ‘menghalalkan’ serangan Syed terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.
Anwar barangkali tidak tahan dengan kritikan bertubi-tubi dari penyokong PKR yang terkejut dengan serangan itu dan mengerahkan Syed untuk melontarkan alasan bagi meredakan keadaan.
Serangan Syed turut merungsingkan ramai akar umbi dari UMNO dan DAP yang masing-masing menyuarakan kebimbangan mereka di media sosial berhubung kebolehpercayaan Najib dan Anwar.
Selasa lalu, Maria Chin bertindak keluar dewan sebagai tanda protes memandangkan Najib telah diputuskan bersalah atas kesalahan rasuah di mahkamah namun masih diberikan ruang istimewa untuk membahaskan belanjawan.
“Najib diputuskan bersalah dalam kes rasuah. Tapi hari ini dia hadir sebagai pengerusi BNBBC, membahaskan Belanjawan 2021 macam tak ada apa-apa.
“Saya protes dan keluar (dewan)! #NotMyNewNormal,” ciap Maria di Twitter.
Kenyataan ini mendapat reaksi dari Syed Badli, yang menyifatkan Maria Chin sebagai “bebal” dan meminta beliau meletakkan jawatan kerana mengkritik Najib.
Tindakan Syed, yang merupakan sekutu kanan Anwar, menyelar ahli partinya sendiri kerana mengkritik seorang pemimpin kanan UMNO merupakan bukti kukuh PKR dan Anwar bersekutu dengan pemimpin berkenaan.
Ini konsisten dengan dakwaan saya selama ini bahawa Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersekongkol dengan Anwar dalam usaha terdesak mereka untuk memenuhi kepentingan peribadi masing-masing.
Sebelum ini, satu surat yang disediakan secara rahsia oleh Zahid dan Najib tanpa pengetahuan mana-mana ahli parlimen dari UMNO atau Majlis Kepimpinan Tertinggi parti itu membuktikan kedua-dua mereka menyokong pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-9
Pembongkaran surat tersebut mengejutkan ramai ahli parlimen dari Team B dan mencetuskan desakan di kalangan beberapa pemimpin UMNO agar Zahid meletakkan jawatannya sebagai presiden parti atau dipecat terus.
Setelah langkah Zahid dan Najib dan untuk memperdaya ahli-ahli parlimen menyokong Anwar gagal, ketiga-tiga mereka dikatakan bersetuju untuk mencalonkan Zahid sebagai Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin sebelum mencalonkan Anwar bagi jawatan itu selepas pembubaran parlimen.
Persetujuan itulah yang mendorong Zahid untuk membuat tuntutan agar beliau dijadikan Timbalan Perdana Menteri sebagi syarat untuk UMNO terus menyokong kerajaan pimpinan Perikatan Nasional.
Menurut pemahaman saya, Zahid akan menggunakan kedudukannya sebagai Persiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri untuk meyakinkan semua ahli parlimen dari UMNO agar mereka menyokong usahanya menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Anwar pula dikatakan akan memastikan sokongan dari PKR dan cuba memujuk ahli-ahli parlimen dari DAP dan AMANAH untuk menyokong Zahid “bila tiba masanya.”
Malangnya, bukan hanya Anwar hilang kawalan terhadap beberapa Ahli Parlimen dari PKR, DAP dan AMANAH langsung tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan Zahid, Najib atau mana-mana pemimpin lain dari Team A.
Apa pun, kecaman Syed terhadap Maria Chin bukan hanya pelik, ianya berlaku di luar norma PKR yang selama ini memecat mana-mana pemimpin yang bersekongkol dengan pemimpin parti lawan biarpun kepimpinan PKR sekadar ‘mengesyaki’ berlaku kerjasama sulit antara mereka.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
