Kerjasama PAS-Umno: Antara resah dan pasrah

Mohd Nasir Abdullah

HANGAT politik Malaysia dengan kekalahan PH dalam PRK Cameron Highlands (CH) baru-baru ini. Setelah beberapa PRK pasca PRU14 yang menyaksikan pengurangan drastik majoriti PH serta penurunan begitu besar jumlah rakyat yang keluar mengundi, ramai tertanya-tanya apakah penyebab hal itu berlaku. Adakah kerana rakyat iaitu pengundi PH rasa selesa dengan kemenangan besar PH dalam PRU lalu, maka mereka fikir, jika mereka tidak bersungguh pun, PH tetap menang. Atau kerana rakyat tidak menyukai PH, dan mereka kesal lalu mengambil sikap mendiamkan diri? Atau adakah rakyat sudah mula merindui BN?

Justeru, di CH, terbukti dengan kemenangan besar BN yang berjaya menambah majoriti mereka, ianya isyarat jelas bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan PH dan sesuatu yang baik berlaku kepada BN. Calon BN ialah Melayu, CH pula kerusi tradisi MIC, dan CH memang sentiasa dimenangi oleh BN. Calon PH, sudah kali ketiga ditolak rakyat, walaupun ketika tsunami politik Malaysia yang lalu, beliau tetap tersungkur. MIC telah berjaya menenangkan hati mereka dengan penyerahan kerusi itu. Saat-saat getir sebegini, pengorbanan kepada kawan, memberikan makna kesanggupan susah dan senang bersama. MIC kekal dengan BN, manakala rakyat boleh melihat perangai MCA yang memilih mengugut ketika susah.

Berbagai bait-bait alasan yang diberikan PH, tidak mahu mengaku kalah, lalu segala alasan kebejatan, kejahatan itu dihempaskan ke atas lawan, menunjukkan lagak konon mereka masih gagah. Banyak isu-isu yang mereka sendiri keluarkan sebelum dan ketika berkempen. Isu dari seluruh negara yang paling menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu-Islam iaitu isu bangunan berlambang salib, peruntukan kepada sekolah swasta Cina, isu tidak tahu kedudukan Orang Asli dalam Perlembagaan. Termasuklah juga isu berkaitan perbalahan sesama mereka, salah guna harta awam, isu keputusan penting negara yang tidak sekata dan banyak lagi. Tidak dilupa juga kepada ‘Raja Troll’ yang tidak sedikit memainkan peranan beliau.

Cendekiawan politik tidak menolak semua isu yang disebut di atas menyumbang kepada kekalahan PH, selain bijak memilih calon dari kalangan Orang Asli. Tetapi mereka sepakat bahawa paling memberikan impak menumbangkan PH dengan majoriti lebih besar ialah kerjasama politik antara dua gergasi politik Malaysia iaitu PAS dan BN. Setelah kedua parti ini dibelasah teruk, kerana mereka tidak dapat mengawal keadaan kempen ketika PRU14 lalu, dan kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh PH yang menang dengan cara fitnah. Kini mereka kembali bergandingan bahu, berkerjasama demi agama dan bangsa mahu menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan. Tidak ubah bagaikan ahli gusti, semasa dia teruk dibelasah lawannya, secara tiba-tiba, datang seorang ahli gusti lain yang mencuit tangan dia dan masuk membelasah kembali lawannya yang kuat itu.


Kesilapan BN dahulu dapat dilihat jelas oleh rakyat dan mereka membencinya. Tetapi keburukan PH sekarang yang masih tidak sampai setahun berkuasa, lebih menjijikkan rakyat. Maka BN, diketahui mempunyai pengalaman menguruskan negara dan mempunyai kekotoran dalam pemerintahannya yang lalu, tidaklah diharapkan sangat bagi kembali menyelamatkan Malaysia. Tetapi rakan yang ingin membantu BN-lah yang dilihat terpecaya oleh rakyat iaitu PAS. Persis Tuah yang kembali ke istana sultan kerana mahu menumbangkan Jebat, walaupun dihukum oleh sultan. Namun demi agama, bangsa dan negara, sanggup Tuah mengenepikan fitnah-fitnah yang dihamburkan kepada beliau dan berdiri menghunus senjata melawan Jebat dan membunuh rakan lamanya.

Banyak kajian dengan jelas membuktikan bahawa PAS sebuah parti yang dipercayai rakyat. Pimpinannya yang tidak terpalit dengan isu-isu besar seperti penyelewengan, walaupun cuba direka cerita, tetap tidak dipercayai lawan, apatah lagi kawan. Berlainan dengan pimpinan BN dan PH, sebut sahaja salah laku, tanpa bukti pun rakyat ada yang sudah percaya. Maka inilah dilema yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam rancangan mereka mahu kembali menukar kerajaan. BN kurang boleh dipercayai kerana luka lama, manakala PAS tidak diyakini berpengalaman menguruskan kerajaan, dibimbangi menjadi cacamarba seperti bekas pimpinan PAS yang lari, menduduki kerusi Menteri sekarang ini. Alasan lain juga ialah kerana PAS tidak mempunyai kerusi kuat yang cukup untuk menjadi Kerajaan Pusat. Dan, kerjasama dengan BN adalah suatu penyelesaian terbaik bagi membantu rakyat, agama dan negara kembali ke landasan yang betul.

Hakikatnya, ia tidak semudah PAS menubuhkan Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau Gagasan Sejahtera dahulu. Ahli PAS tidak kisah pun dengan kehadiran parti-parti lain walaupun ada di kalangan mereka berasal dari Umno. Sebaliknya, mengusul menubuhkan satu kerjasama dengan BN, musuh ketat PAS, seteru yang pernah melanyak PAS sehingga kepada tahap membunuh ahli PAS, ia bukan sesuatu yang akan disambut gembira oleh ahli. Tidak sedikit dari kalangan ahli kedua-dua parti bermusuhan, kekal sehingga kini. Kerana sentimen inilah maka PH menang disebabkan mereka berjaya menguasai pemikiran ahli-ahli kedua-dua parti untuk kekal bermusuh, undi menjadi pecah dan PH berkuasa.

Untuk berlaku adil, marilah kita menghayati kisah beberapa orang tokoh yang mungkin boleh dijadikan pengajaran ataupun memujuk hati kita yang runsing. YB Ustaz Khalil Abdul Hadi, pernah saya bertanyakan kepada beliau berkenaan isu penghinaan ramai orang terhadap ayahanda beliau, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, apakah perasaan beliau. Secara tegas beliau menjawab, itulah sunatullah pejuang agama. Adakah YB merasa sedih? Tidak, tegasnya lagi. Begitulah sikap seorang yang memahami perjuangan Islam. Presiden PAS ialah sosok yang paling banyak difitnah, dihina mahupun dikutuk oleh BN, ketika bermusuh dahulu. Jika ukuran kebencian diambil atas dasar kutukan itu, maka YB Ustaz Khalil antara yang layak membangkang cadangan kerjasama ini. Tetapi beliau sanggup melupakan demi Islam.

Ustaz Sidek Noor, ketika kekalahan PAS tahun 2004 kerana penipuan, beliaulah antara yang paling aktif bergerak berceramah menaikkan kembali semangat ahli PAS yang jatuh. Beliau pernah dikenakan tahanan ISA selama empat tahun. Pada tahun kedua ketika beliau diberitakan akan dibebaskan, almarhum bondanya telah menunggu kepulangan beliau sehingga malam, bertemankan makanan dan jubah yang baharu disiapkan untuk dipakaikan kepada Ustaz Sidek, untuk menyambut beliau. Namun ianya tidak berlaku, dan Ustaz Sidek ditahan lagi dua tahun.

Beliau dimaklumkan oleh pegawai penjara tambahan masa tahanan itu hanya pada hari yang beliau dijangka dibebaskan. Bonda beliau meninggal ketika beliau dalam tahanan dan tidak sempat bertemu dengan beliau. Hal itu hanya diketahui beliau setelah diberitahu jirannya. Berderai air mata beliau mendapat tahu cerita itu. Jika dendam menjadi keutamaan, Ustaz Sidek adalah antara orang yang wajar membantah. Namun untuk Islam, beliau korbankan segala dendam.

Siapa boleh melupakan peristiwa Memali? Ia kekal menjadi sejarah buruk kekejaman BN terhadap PAS. Sehingga kini, tiada lagi penyelesaiannya. Antara yang menjadi mangsa kerakusan BN ketika itu ialah seorang yang syahid bernama Mat Piah. Beliau mempunyai anak-anak kecil. Dan salah seorang anak beliau itu kini membesar menjadi wakil rakyat PAS, mewakili rakyat di Penaga, Pulau Pinang, YB Ustaz Yusni Mat Piah. Ketika Muktamar PAS Pusat membahaskan kerjasama dengan parti politik lain bagi menewaskan PH, beliau bangun berucap dan antara kata-kata beliau ialah, sekiranya kerjasama ini demi Islam, maka beliau sanggup, walaupun mungkin Umno yang menjadi rakan kerjasama. Saya sempat menemu ramah beliau selepas ucapan itu dan beliau begitu tegas mengulanginya bahawa semua ini adalah demi Islam.

Bagaimana beliau melihat sendiri ayahandanya dibunuh, dendam yang berkarat di dalam jiwa mencari keadilan yang tidak kunjung tiba, akhirnya atas nama Islam, agama tauhid ini, beliau tunduk patuh. Adakah lagi dari kalangan kita yang terkena kejahatan BN melebihi ataupun sama seperti mereka? Jika masih lagi ragu atau takut berkorban untuk Islam kerana sentimen, maka ambillah iktibar teragung dari Rasulullah S.A.W iaitu kemaafan Baginda terhadap Wahsyi, pembunuh Hamzah R.A, Hindun yang mengarah pembunuhan itu serta Abu Sufyan, ketua Musyrikin Makkah. Jika teladan Rasulullah tidak juga berkesan, periksalah hati anda.

Maka kita seharusnya malu kepada kekuatan hati mereka, mengenepikan segalanya hanya kerana mahu Islam didaulatkan. Inilah kekuatan wala’ iaitu mematuhi keputusan dan arahan pimpinan sama ada suka atau benci yang diputuskan secara syura. Taat dan wala’ ini sekarang telah dilihat sebagai penyelamat agama dan negara oleh rakyat dan ahli-ahli BN. Atas kepatuhan ini, ahli PAS rela memangkah BN. Pastinya boleh sahaja jika PAS tidak mahu bersama, BN akan kecewa. Namun kecewanya BN bukanlah isu yang besar, tetapi kekecewaan rakyat yang inginkan agama Islam dikembalikan ke tempatnya itulah yang sebenar-benar maksud PAS mahu kerjasama ini diteruskan juga walaupun ranjaunya sangat memeritkan.

Semenyih insyaAllah akan menjadi saksi kedua kerjasama ini selepas CH. Ia akan menjadikan hati musuh Islam resah kerana hati para ahli PAS, mangsa kejahatan BN sudah pasrah bahawa kerjasama ini sangat bernilai bagi memanjangkan kebaikan. Jika PAS dikhianati lagi, maka kepada Allah kita berserah, namun untuk menjauhkan diri daripada BN semata-mata memikirkan ‘mungkin’ dikhianati, lalu membiarkan kerosakan yang telah ‘jelas’ berlaku, ia adalah suatu pilihan yang buruk. Mungkin air mata 8000 lebih ahli PAS Semenyih akan tumpah ketika memangkah BN. Namun ia air mata niat untuk mendaulatkan Islam dan memikirkan juga ‘mungkin’ BN akan insaf. Semoga titisan air mata itu dibalas pahala oleh Allah.

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar

Sumber: Harakah Daily

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...