“Sekalipun Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk memberi reaksi kepada peluang kesepakatan yang ditawarkan oleh Mahathir, apa yang perlu dilakukan ialah menjawab samada “setuju” atau “tidak setuju,” bukannya cakap berbelit-belit dengan lidah bercabang”
Raggie Jessy Rithaudeen
كرجاسام ڤمبڠكڠ: تاڽ انور ساتو سؤالن، دي جواب سريبو راڬم
Semalam, media melaporkan bahawa Gerakan Tanah Air (GTA) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang menentang UMNO, termasuk PKR, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, GTA sanggup berbuat demikian untuk menyelamatkan negara ini daripada pentadbiran parti tersebut.
Sekalipun Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk memberi reaksi kepada peluang kesepakatan yang ditawarkan oleh Mahathir, apa yang perlu dilakukan ialah menjawab “setuju” atau “tidak setuju,” bukannya cakap berbelit-belit dengan lidah bercabang.
Namun, sudah menjadi adat Anwar dan PKR untuk berbelit-belit dan memainkan watak “good cop bad cop.”
Makna “good cop bad cop” dalam konteks PKR aman mudah – Anwar pada mulanya akan bercakap satu benda, kemudian akan ada pihak dalam PKR yang rapat kepada Anwar yang bercakap benda lain.
Contohnya, semalam, Anwar seolah-olah menyahut ‘peluang kesepakatan’ Mahathir apabila berkata, PKR kini berada dalam agenda reformasi, dan “seisapa yang bersetuju boleh berunding dengan kita – pintu kami terbuka.”
Namun, dalam ‘menyahut’ peluang ini, Anwar menuduh Mahathir bercakap satu benda hari ini dan benda lain minggu depan, sedangkan, satu Malaysia tahu bahawa Anwar sentiasa berubah-ubah pendirian berhubung pelbagai perkara, termasuk kesanggupan beliau bekerjasama dengan UMNO.
Hari ini pula, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil mendakwa parti itu tidak ada keinginan untuk mengusahakan kerjasama dengan GTA.
Inilah yang dimaksudkan dengan ‘peribahasa baharu’ yang ingin saya perkenalkan: “Tanya satu soalan, jawab seribu ragam.”
