“Rayuan parti politik seperti UMNO tidak boleh dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pertimbangan Lembaga Pengampunan mahupun Yang Di-Pertuan Agong. Saksikan penjelasan video DI SINI (KLIK DI SINI)“
Raggie Jessy Rithaudeen
كيس نجيب: سبب سبنر انور دودوق دالم لمباڬ ڤڠامڤونن، اڬوڠ اد كواس بودي بيچارا مطلق
UNTUK BERITA TERKINI, SERTAI TELEGRAM TTF DI SINI
Ramai tersalah tafisr maksud sebenar proses pengampunan Diraja bagi seorang yang didapati bersalah dan menjalani hukuman di penjara.
Sepintas lalu, pengampunan diraja bersandar kepada peruntukan Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama fasal (3) perkara 40.
Ringkasnya, Yang Di-Pertuan Agong bertindak dalam hal pengampunan selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan dan mendapat nasihat daripada Lembaga Pengampunan tentang petisyen pengampunan yang dikemukakan oleh banduan, ahli keluarga banduan atau peguam banduan.
Namun, Yang Di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mutlak untuk tidak menurut nasihat yang diberikan dan membuat keputusan berbeza dengan nasihat Lembaga pengampunan.
Proses pengampunan Diraja pada dasarnya ialah pertimbangan ‘belas kasihan’ atas hukuman penjara yang dikenakan ke atas pesalah, bukannya pertimbangan semula sabitan bersalah.
Siapa duduk dalam Lembaga Pengampunan, dan apakah tugas Lembaga Pengampunan?
Kuasa pengampunan Yang Di-Pertuan Agong adalah bagi kesemua kes dan kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, manakala bagi kes-kes dan kesalahan yang dilakukan di negeri-negeri lain, kuasa pengampunan adalah di bawah Raja, Sultan atau Yang Di-Pertua negeri masing-masing.
Menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertuan Agong dan membabitkan Peguam Negara, Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.
TONTON: UMNO SEDANG PERDAYA PENYOKONG BOSSKU, RAHSIA DI SEBALIK DESAKAN AGAR NAJIB DIAMPUNKAN
Di dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan duduk dalam Lembaga Pengampunan bukan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri, tetapi bagi menjaga portfolio Menteri Wilayah Persekutuan.
Ini kerana Anwar telah menstruktur semula Kementerian Wilayah Persekutuan sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan sehingga kini, belum menamakan ketua jabatan berkenaan atau menteri yang bertanggungjawab.
Manakala itu, tugas utama Lemabaga Pengampunan adalah untuk mempertimbangkan pendapat bertulis Peguam Negara dan petisyen-petisyen membabitkan banduan yang menjalani hukuman penjara, sebelum membuat penilaian dan menasihati Yang Di-Pertuan Agong.
Dan seperti yang dijelaskan sebelum ini, Yang Di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mutlak untuk tidak menurut nasihat yang diberikan dan membuat keputusan berbeza dengan nasihat Lembaga pengampunan.
Siapa boleh failkan petisyen pengampunan?
Berdasarkan peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, petisyen pengampunan hanya boleh difailkan oleh banduan, ahli keluarga banduan atau peguam yang mewakili banduan.
Manakala itu, tertakluk kepada peraturan 54, 113 dan 114 peraturan-peraturan penjara 2000, Jabatan Penjara Malaysia turut boleh memfailkan petisyen pengampunan bagi banduan-banduan yang dijatuhkan hukuman lebih daripada tujuh tahun tempoh pemenjaraan.
Adakah Lembaga Pengampunan perlu mempertimbangkan rayuan pengampunan UMNO?
Rayuan atau dokumentasi selain petisyen pengampunan yang difailkan oleh banduan, ahli keluarga banduan, peguam banduan atau Jabatan Penjara Malaysia tidak boleh dan tidak akan dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan.
Disebabkan itu, rayuan parti politik seperti UMNO tidak boleh dan tidak harus menjadi sebahagian daripada pertimbangan Lembaga Pengampunan mahupun Yang Di-Pertuan Agong.
TONTON: UMNO SEDANG PERDAYA PENYOKONG BOSSKU, RAHSIA DI SEBALIK DESAKAN AGAR NAJIB DIAMPUNKAN
Dalam ertikata lain, Yang Di-Pertuan Agong akan hanya membuat keputusan akhir setelah mempertimbangkan nasihat Lembaga Pengampunan, dan nasihat ini akan hanya bertumpu kepada kandungan petisyen pengampunan Najib, bukannya rayuan UMNO.
Bagaimana dengan pendirian MKT UMNO bahawa Najib tidak mendapat perbicaraan yang adil dan waiar dibebas dan dilepaskan?
Daripada penjelasan di atas, pendirian UMNO tidak membawa apa-apa makna dari sudut pengampunan Najib, kerana pendirian ini tidak boleh dan tidak akan sampai ke meja perbincangan Lembaga Pengampunan.
Di samping itu, lembaga pengampunan dan Yang Di-Pertuan Agong tidak memiliki kuasa untuk menyemak keputusan yang sudah dibuat oleh mahkamah, dan bukan tugas mereka untuk mengkaji atau melihat semula segala keputusan mahkamah bagi menentukan keputusan tersebut betul atau tidak.
Pendirian UMNO juga bersempadankan penghinaan mahkamah, kerana proses penghakiman dalam kes SRC Najib Razak sudah lengkap dan dimuktamadkan menerusi penghakiman 13 hakim terpelajar, empat daripadanya atas permohonan Najib sendiri untuk menyemak semula keputusan lima hakim terdahulu.
