“Amat tidak bertanggungjawab sekiranya parti yang menggelarkan dirnya sebagai “parti Islam” merestui kesepakatan bersama pemimpin yang terpalit jenayah dan mementingkan diri sendiri berbanding nasib ummah”
Raggie Jessy Rithaudeen
كيس رسواه يڠ بلوم سلساي ڤونچا ڤاس تڠڬوه كرجاسام دڠن بن
PAS dilaporkan telah menangguhkan dahulu kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana masih terdapat ‘kekeruhan’ dalam parti itu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, antara ‘kekeruhan’ yang dimaksudkan ialah masih terdapat kes melibatkan penerima rasuah yang belum selesai.
“Kita tahu kes melibatkan penerima rasuah ini ada yang dituduh, tidak salah difitnah dan macam-macam lagi. Tetapi ia masih belum selesai.
“Bukan kita nak bermusuh, tidak. Tetapi kerana ada ‘keruh’, jadi kita kita tangguhkan dulu kerana mengambil pendekatan untuk menjernihkan keadaan,” katanya ketika menyampaikan kuliah duha di Pantai Kelulut di sini pada Jumaat.
Mujurlah PAS memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Walaupun saya bukannya penyokong Perikatan Nasional, saya bersyukur kepimpinan PAS dapat menilai penyimpangan pemimpin tertentu daripada landasan kebenaran, lebih-lebih lagi apabila presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan syarat bukan-bukan apabila PAS cuba mewujudkan permuafakatan bersama UMNO.
Agenda penyatuan ummah sememangnya perlu menjadi salah satu teras perjuangan mana-mana parti politik yang bertunjangkan kepimpinan Islam.
Namun, dalam memilih rakan seperjuangan, perlu juga ada kemampuan menilai kejernihan akal dan hati pucuk pimpinan parti yang akan bersama-sama memimpin ummah ke arah yang diredhai Allah.
Amat tidak bertanggungjawab sekiranya parti yang menggelarkan dirnya sebagai “parti Islam” merestui kesepakatan bersama pemimpin yang terpalit jenayah dan mementingkan diri sendiri berbanding nasib ummah.
Baru-baru ini, Zahid mengaku bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 yang diawalkan berkait secara langsung dengan pendakwaan terhadap pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.
Ini bercanggah dengan beberapa alasan yang diberikan oleh Zahid bermula Mac lalu, malah alasan-alasan ini turut bercanggah antara satu sama lain dan langsung tidak masuk akal (rujuk di sini bagi senarai penuh).
Kini, terbukti bahawa Zahid benar-benar “sanggup meredah banjir” semata-mata kerana kes mahkamah beliau, bercanggah dengan dakwaan sebelum ini kononnya desakan agar Pilihan Raya diawalkan tiada kaitan dengan kes mahkamah.
Bagaimanakah kita boleh mengharapkan seorang pemimpin yang menipu rakyat dengan cara sebegini membimbing ummah?
2 Oktober lalu, saya menulis:
Sebelum ini, PAS mendakwa parti itu tidak akan menolak UMNO dan tidak setuju dengan pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa Barisan Nasional adalah musuh politik.
Perkara ini dijelaskan oleh Takiyuddin Hassan, yang berkata, PAS tidak boleh menerima pendirian melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai “musuh utama,” kerana bukan sahaja ianya tidak wajar, malah janggal, lebih-lebih lagi kepada parti dalam kerajaan dipimpin bersama.
Namun, hari ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa ketika bertemu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dia mengemukakan tiga syarat sekiranya PAS mahu menjalin semula kerjasama politik dengan UMNO.
Syarat tersebut adalah PAS perlu keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ (berpisah) seratus peratus daripada PN dan Bersatu.
Bukankah ini serupa dengan melabelkan Bersartu sebagai “musuh” PAS, memandangkan PAS dan UMNO – andaikata kedua-dua parti ini bekerjasama – akan berperang dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15?
Bukankah pelik PAS mendiamkan perkara ini setelah beretorik panjang lebar kononnya PAS, UMNO dan Bersatu perlu bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15?
Semalam, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, bahawa semua parti utama Melayu Islam, termasuk UMNO dan Bersatu, perlu terbabit bagi menjayakan agenda perpaduan ummah.
Persoalannya, tidakkah Hadi maklum bahawa Perhimpunan Agung UMNO telah menetapkan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15?
Apakah Hadi tidak tahu bahawa keputusan ini muktamad, memandangkan perlembagaan UMNO menetapkan, bahawa sebarang keputusan yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO tidak boleh diatasi oleh Majlis Kerja Tertinggi partli?
Kan dah terkena ‘sumpitan’ Zahid?
