“Bagaimanakah pihak pentadbiran boleh mendesak agar kesemua 222 ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 sedangkan kebolehan semua ahli parlimen terlibat secara langsung dalam satu-satu perdebatan atau sesi soal jawab dihadkan? Pada hemat saya, ini merupakan petanda paling jelas kerajaan pimpinan Muhyiddin takut akan ditelanjangkan ketika perdebatan Belanjawan berlangsung”
Raggie Jessy Rithaudeen
كتتڤن ء80 اهلي ڤرليمين سهاجء ڤتاندا جلس كراجأن تاكوت دتلنجڠكن كتيك بلنجاوان دبنتڠ
Selama ini, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak, samada secara langsung atau tidak langsung, agar kesemua 222 ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang bakal diundi hujung bulan ini walaupun belanjawaan itu masih belum dibentangkan atau dihayati oleh kesemua ahli Dewan Rakyat.
Hakikatnya, pembentangan Belanjawan Persekutuan merupakan salah satu proses terpenting dalam sistem demokrasi dan parlimen berperlembagaan dan mengharuskan penglibatan setiap ahli Dewan dalam sesi soal jawab dan perdebatan atas segala cadangan yang dikemukakan menreusi pembentangan itu.
Ini penting, agar belanjawan yang dibentangkan diteliti dengan sempurna oleh kesemua 222 ahli Dewan pada setiap masa dari segala sudut, termasuk reaksi ahli-ahli Dewan Rakyat terhadap cadangan-cadangan yang dikemukakan, kemampuan pihak kerajaan menjawab setiap satu persoalan yang diajukan, keyakinan ahli-ahli Dewan terhadap kemampuan kerajaan membantu rakyat dan keyakinan mereka terhadap kemampuan kerajaan menguruskan belanjawan itu.
Tiba-tiba, menjelang pembentangan esok, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memutuskan untuk membenarkan hanya 80 daripada 222 ahli Parlimen menyertai sidang Dewan Rakyat pada satu-satu masa.
Jadi bagaimanakah pihak pentadbiran boleh mendesak agar kesemua 222 ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 sedangkan kebolehan semua ahli parlimen terlibat secara langsung dalam satu-satu perdebatan atau sesi soal jawab dihadkan?
Pada hemat saya, ini merupakan petanda paling jelas kerajaan pimpinan Muhyiddin takut akan ditelanjangkan ketika perdebatan Belanjawan berlangsung.
Jika benar tindakan menghadkan penglibatan ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat adalah sebahagian daripada langkah mencegah penularan Covid-19, Muhyiddin seharusnya mengambil langkah awal membuat sidang online atau kombinasi online dan fizikal agar kesemua 222 ahli parlimen dapat terlibat secara langsung dalam sesi pembentangan dan perdebatan Belanjawan 2021.
Kegagalan Muhyiddin berbuat demikian merupakan petanda jelas beliau tidak menghormati proses demokrasi berparlimen dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan kerana gagal mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan segala aspek peruntukan perlembagaan dituruti.
Ini kerana kerajaan sememangnya memiliki kapasiti untuk mengendalikan persidangan-persidangan berskala besar dan rumit secara online dengan berkesan berdasarkan penglibatan Muhyiddin sendiri secara langsung dalam sidang kabinet dan antarabangsa secara online sebelum ini.
Justeru, saya berharap agar Muhyiddin mempertimbangkan semula tindakan menghadkan penglibatan ahli-ahli parlimen dalam proses pembentangan dan perdebatan Belanjawan 2021 demi memastikan proses demokrasi berparlimen dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak dicemari.
Sekiranya parlimen bersidang juga esok dengan ketetapan baharu yang tidak masuk akal ini, ianya akan menjadi kali pertama dalam sejarah dunia ketetapan sebegini dicadangkan bagi sebuah negara yang mengaku mengamalkan sistem demokrasi dan parlimen berperlembagaan.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
