Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Pergerakan Pemuda UMNO mendesak YAA Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara Tommy Thomas untuk memberikan penjelasan kepada rakyat sama ada tindakan mereka menari sepentas bersama peguam-peguam persendirian adalah mematuhi Kod Etika Kehakiman dan masih di dalam lingkungan tatakelakuan penjawat awam yang dilantik.
Setakat ini hanya pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan netizen penyokong PH sahaja yang berhempas pulas mempertahankan tindakan menari kedua-dua penjawat awam berkenaan.
Ramai juga terkhilaf dengan pendirian Pemuda UMNO seolah kami menentang majlis tari-menari sedangkan yang dibangkitkan adalah mengenai persepsi rakyat terhadap prinsip pemisahan kuasa, etika dan integriti institusi Kehakiman.
Oleh yang demikian, tindakan untuk terus berdiam diri oleh Tan Sri Richard Malanjum, Tommy Thomas atau Menteri Undang-undang YB Liew Vui Keong dengan harapan isu ini berlalu pergi hanyalah akan membenarkan persepsi bahawa mereka telah melanggar peruntukan Kod Etika Hakim 2009 atau lebih buruk, mereka sebenarnya meraikan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14. Bukan itu sahaja, tokoh peguam yang sebelum ini lantang dalam isu-isu integriti dan etika kehakiman dan perundangan seperti Datuk S. Ambeega juga berdiam diri tanpa memberi komen sama sekali mengenai perkara ini.
Justeru, wajarlah mereka bertiga untuk tampil segera di dalam satu sidang akhbar dan memberikan penjelasan agar integriti dan kebebasan Institusi Kehakiman negara dapat dijamin. Tindakan berdiam diri hanya akan membina persepsi tidak sihat dikalangan rakyat terhadap kredibiliti Institusi Kehakiman disamping menonjolkan keangkuhan bahawa mereka begitu berkuasa sehinggakan tiada sesiapapun yang mampu memaksa mereka membuat penjelasan termasuklah YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sehingga kini masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
