Khairuddin isytihar keluar Pejuang, dedah gerakan Mukhriz ‘tolak’ Tun Mahathir

Berikut merupakan kenyataan media Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, ketua GTA Wilayah Persekutuan:


DATO SERI UTAMA MUKHRIZ MAHATHIR TIDAK MENJELASKAN FAKTA PERLETAKAN JAWATAN TUN DR MAHATHIR MOHAMAD SECARA JUJUR DAN SAYA ISYTIHAR KELUAR SEBAGAI AHLI PARTI PEJUANG BERKUAT-KUASA SERTA MERTA. 

Khairuddin Abu Hassan

خير الدين اشتهار كلوار ڤجوڠ، دده ڬرقن مخريز ءتولقء تون محضير

UNTUK BERITA TERKINI, SERTAI TELEGRAM TTF DI SINI

Sebenarnya DSU Mukhriz Mahathir tidak menjelaskan secara jujur dan lengkap isu perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PEJUANG. Apa yang beliau nyatakan mungkin sebahagian daripada faktanya, tetapi bukan fakta penuh yang mendorong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melepaskan jawatan Pengerusi parti PEJUANG.




Pada pendapat peribadi saya, sikap Mukhriz Mahathir dan Majlis Pimpinan PEJUANG negeri Kedah yang membuat pelbagai tekanan serta gerakan untuk menolak Tun Dr Mahathir Mohamad dari terus mempengerusikan parti PEJUANG; membuatkan mantan Pengerusi ini berasa kecil hati dengan tindakan biadap dan kurang ajar mereka selepas PRU15 yang lepas.

Kedah adalah ‘home base’ Mukhriz Mahathir dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selepas saja tewas di kesemua kerusi yang dipertandingkan oleh GTA di bawah platform PEJUANG segelintir daripada pemimpin-pemimpin pusat yang menganggotai Majlis Eksekutif Pusat (MEP), khasnya generasi muda yang ‘pro Mukhriz’ nampak seolah-olah cuba menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat keputusan bertanding di 125 kerusi parlimen di seluruh negara.

Puak-puak ‘munafiq politik’ dan pengkhianat dalam parti PEJUANG yang ‘pro Mukhriz’ ini semuanya seperti menuding jari pada Tun Dr Mahathir Mohamad di atas keputusan yang dianggap oleh mereka sebagai terlalu ‘ambitious.’ Walhal itu adalah keputusan yang dibuat serta dipersetujui oleh MEP secara mutlak.

Ketika hendak menubuhkan GTA semua ahli-ahli MEP PEJUANG bersetuju secara konsensus dalam mesyuarat majlis eksekutif PEJUANG yang diadakan setiap minggu. Malahan, ketika hendak mendaftarkan GTA Mukhriz Mahathir sendiri adalah salah seorang yang mengikuti rombongan ke pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Putrajaya untuk memberikan sokongan moral.

Mukhriz Mahathir juga salah seorang yang membuat kenyataan media pada hari pemimpin-pemimpin GTA menghantar borang permohonan bagi menubuhkan gagasan Gerakan Tanah Air ini. Sebelum PRU15 semua ahli-ahli MEP bersetuju kita bertanding di bawah platform GTA. Namun, pendirian puak ‘munafiq politik’ dan pengkhianat ini mula goyang selepas tewas teruk pada PRU15.

Pada hemat saya pada PRU15 calon-calon PEJUANG bertanding hanya di 60 kerusi parlimen saja dan kerusi-kerusi selebihnya dipertandingkan oleh calon-calon dari parti-parti lain di bawah GTA. Bukan PEJUANG bertanding di kesemua 125 kerusi pada PRU15 yang lepas.

Loading...

Dalam mesyuarat pertama MEP selepas PRU15, Mukhriz Mahathir yang menyatakan bahawa PEJUANG belum membuat ketetapan untuk bersama dengan GTA secara rasmi serta memohon agar membuat kajian semula penyertaan parti PEJUANG dalam GTA.

Pendirian ini menampakkan Mukhriz Mahathir tidak memahami ‘nadi denyutan’ bapanya untuk mewujudkan GTA sebagai satu landasan bagi menyatupadukan keseluruhan orang-orang melayu di bawah satu bumbung. Kadang kala perancangan kita berlaku pantas dan kadang-kala ia akan mengambil sedikit masa untuk berlaku sepertimana yang dirancangkan.

Sebab itu dalam politik memerlukan banyak kesabaran.

Sebagai imbasan sejarah ketika kami melawan kes skandal 1MDB bermula pada tahun 2014 dan berjaya pada tahun 2018. Untuk berjaya dalam perjuangan tersebut mengambil masa hampir lebih 4 tahun.

Kami tahu sebenarnya Mukhriz Mahathir dan kuncu-kuncunya yang membuat satu gerakan bagi menolak GTA dari sebelum PRU15 sehingga pasca pilihanraya umum yang lepas. Takkan Mukhriz Mahathir tidak boleh bersabar sedikit, dan segala kelemahan dalam GTA boleh diperbetulkan secara dalaman sekiranya beliau ikhlas.

Mantan Pengerusi PEJUANG bersungguh-sungguh mahukan platform GTA kerana Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai agenda ke arah penyatuan melayu melalui platform ini dan Mukhriz Mahathir seharusnya beri sedikit ‘muka’ serta berkompromi demi agenda mulia bapanya. Tidak tahu mengapa nampak Mukhriz Mahathir terlalu ‘rigid’ dan beria-ia sangat menolak GTA malahan di peringkat awal penubuhan lagi.

Cuma persoalannya kalau tidak mahu bersama GTA pertahankanlah pendirian beliau itu dalam mesyuarat MEP untuk menolak secara tegas. Permasalahannya dengan puak ‘munafiq politik’ dan pengkhianat ini mereka akan ‘mengangguk’ kepala bersetuju di dalam forum mesyuarat di hadapan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi akan mengambil pendekatan ‘menikam dari belakang.’

Dalam isu bertanding dalam PRU15 saya tidak faham kerana semua calon-calon GTA bertanding di bawah parti serta logo PEJUANG bukannya platform GTA yang belum diluluskan lagi. Bagi saya ini membawa erti rakyat dan para pengundi menolak calon-calon yang menggunakan logo parti PEJUANG dalam PRU15 bukan menolak GTA.

Selaku mantan Ketua Negeri PEJUANG Wilayah Persekutuan, dan ahli MEP saya akui walaupun kami bekerja keras di lapangan di Wiayah Persekutuan tetapi gerak kerja kami belum mencukupi bagi menghadapi pilihanraya umum kerana pelbagai kengkangan khususnya masalah kewangan dan faktor-faktor kelemahan lain selaku sebuah parti politik yang baharu. Bukan senang untuk buat ‘branding’ pada sebuah parti baru dan meyakinkan rakyat dalam tempoh yang singkat.

Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PEJUANG pada waktu itu sentiasa memberi semangat serta garis panduan yang berharga kepada kami semua tetapi sikap ahli-ahli yang ramai ‘pandai bercakap dari bekerja’ telah melemahkan parti PEJUANG.

Di waktu menghadapi PRU15 hampir di kesemua kerusi yang calon-calon PEJUANG bertanding tidak mempunyai jentera pilihanraya yang mencukupi. Yang lemah itu adalah parti PEJUANG sendiri bukannya platform GTA.

Ramai daripada pemimpin-pemimpin PEJUANG bila mereka ‘ tidak tahu menari mereka pula kata lantai tidak rata!!’ Kekalahan teruk parti PEJUANG dalam PRU15 harus ditanggung secara bersama atau kolektif di kalangan kesemua pemimpin-pemimpin pusat parti PEJUANG khususnya ahli-ahli MEP. Jangan sama sekali mengambil pendirian ‘menuding jari’ untuk menyalahkan orang lain.

Puak ‘munafiq politik’ dan pengkhianat dalam parti PEJUANG ini jangan cuba nak salahkan GTA, tetapi mereka kena muhasabah diri serta ‘cerminkan’ muka sendiri.

Seperkara lagi yang tidak diceritakan secara jujur oleh Mukhriz Mahathir, adalah apabila ‘print screen’ kenyataan-kenyataan dari Ketua Negeri Kedah serta pemimpin-pemimpin Kedah yang mencadangkan untuk buat memorandum mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan selaku Pengerusi PEJUANG tular di media sosial merupakan salah satu sebab yang membuatkan Tun Dr Mahathir Mohamad merasa ‘kecil hati’ dengan sikap ‘munafiq politik’ dan pengkhianat ini semua.

Dalam masa yang sama cadangan Mukhriz Mahathir untuk parti PEJUANG mempertimbangkan bagi menjalinkan kerjasama dengan PH dalam mesyuarat MEP selepas PRU15 juga, amat mengecewakan ramai daripada pemimpin-pemimpin MEP serta Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Mantan Ketua Pejuang Muda memberi justifikasi dalam mesyuarat tersebut bahawa PEJUANG harus berada bersama PH untuk menarik undi Melayu pada Pakatan Harapan. PEJUANG harus memainkan peranan itu bagi menguatkan sokongan Melayu pada PH.

Nawaitu mereka yang selanjutnya adalah untuk ‘neutralise’ Anwar Ibrahim dan parti DAP dalam kerajaan PH. Kenyataan ini tidak boleh diterima oleh akal fikiran yang waras untuk jadikan PEJUANG sebagai ‘pecacai’ membawa sokongan orang-orang Melayu untuk PH yang mana DAP adalah sebahagian dari gagasan PH.

Setelah puak ‘munafiq politik’ dan pengkhianat ini menghadiri mesyuarat MEP sejumlah 95 kali ini membuktikan bahawa Mukhriz Mahathir dan kuncu-kuncunya masih tidak memahami wadah perjuangan mulia Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bangsa, negara serta agama.

Di mana ‘sumpah keramat’ dengan memegang kitab suci Al-Quran mereka ketika dilantik untuk menduduki barisan kepimpinan dalam majlis eksekutif PEJUANG? Puak ‘munafiq politik’ dan pengkhianat ini janganlah mempersendakan sumpah yang disaksikan oleh kitab suci Al-Quran serta jangan lupa sejarah terlalu pantas.

Inilah kalangan yang dikatakan ‘melayu mudah lupa.’ Wadah perjuangan mereka hanya untuk kepentingan jawatan serta kedudukan semata-mata bukan demi bangsa, negara serta agama. Kalangan ini juga ‘cakap tidak serupa bikin.’

Mukhriz Mahathir bukanlah seorang pemimpin politik yang berwibawa tetapi beliau hanyalah seorang personaliti yang sedang diacukan untuk menjadi seorang pemimpin. Kini, saya tidak hairan lagi kenapa Mukhriz Mahathir ditolak sebagai Menteri Besar Kedah sebanyak dua kali dalam pesada politik tanahair.

Sesungguhnya, saya hanya menyokongi serta mendokongi wadah perjuangan mulia politik Tun Dr Mahathir Mohamad. Demi perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad saya sanggup berkorban ‘nyawa’ kerana tokoh negarawan terulung ini tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama.

Kepimpinan Mukhriz Mahathir dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad ‘bagaikan langit dengan bumi.’ Secara tegas saya ingin mengatakan, saya sudah hilang keyakinan dengan kepimpinan Mukhriz Mahathir dan dengan ini mengisytiharkan untuk keluar sebagai ahli parti PEJUANG secara serta merta.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...