Khairuddin: PPBM tidak akan ikuti jejak langkah Amanah di Kelantan

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan enggan mengikut jejak langkah Amanah yang mengumumkan bilangan kerusi yang ingin ditandingi mereka di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi Perhubungan PPBM Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Noor berkata, walaupun sememangnya wujud perbincangan mengenai permintaan kerusi di peringkat parti, namun pihaknya memilih untuk mengumumkannya usai perbincangan bersama rakan komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang ini sesama PPBM kita sudah bincang, tapi kita tak umum kepada media dan orang ramai. Sebabnya belum bincang dengan rakan-rakan lain dalam PH.

“Jadi kita tunggu sampai masanya, kita bincang, kita runding, selepas selesai, semua pihak bersetuju, barulah kita umum,” katanya kepada Antarapos.

Terdahulu Antarapos melaporkan Amanah Kelantan mengesahkan ia meminta sebanyak 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen untuk ditandingi pada PRU akan datang.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamad berkata hasrat berhubung bilangan kerusi itu diajukan lebih tiga bulan yang lalu kepada PH untuk dibincang dan dimuktamadkan.

Menurut Che Ibrahim, semua parti gabungan PH perlu menyatakan jumlah kerusi yang ingin ditandingi sebelum ia dimuktamadkan kemudian.

Kamaruddin ketika mengulas hasrat Amanah negeri yang mahukan 38 kerusi peringkat DUN dan Parlimen, berkata ‘ia bukan satu masalah’ kerana akhirnya ia akan melalui dua peringkat penilaian sebelum dimuktamadkan.

“Itu terserah kepadanya, nak minta semua pun tiada masalah.

“Bahkan di peringkat negeri pun tidak putus, tidak muktamad. Semuanya akan dibawa kepada Majlis Presiden peringkat pusat, jadi ada lagi dua langkah,” katanya yang juga Ketua Penerangan PPBM.

Dalam pada itu beliau tidak menolak PPBM secara dasarnya akan bertanding di kerusi milik Umno, namun ujarnya ia masih bergantung kepada keputusan akhir kelak.

Ditanya sama ada PPBM akan diterima pengundi di Kelantan pada PRU14 memandangkan ia sebuah parti baru dan merupakan kali pertama bertanding, Kamaruddin berkata beliau yakin pengundi di negeri itu bijak dan mempunyai pertimbangan tersendiri.

“Soal (parti) baru atau lama tidak menjamin apa-apa, baik Umno atau PAS keduanya parti lama tapi PAS walau sudah lama, tak pernah menang lebih tiga negeri, termasuk sekejap di Kedah dan Terengganu. Hanya lama di Kelantan.

“Bagi kita, atas nama parti, memang kita baru tapi melihat kepada pimpinannya, penggeraknya, bukanlah orang baru. Adakah Tun Dr Mahathir baru dilahirkan semalam dalam dunia politik? Begitu juga Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tokoh lain yang berpengalaman,” katanya lagi.

Sumber: Antarapos

Comments

Comments