Khairuddin wajib letak jawatan untuk buktikan tiada ‘darjat perundangan’ membezakan menteri dan rakyat biasa

“Cuba cerita, siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap tindakan seorang menteri meletakkan warga Istana Negara di bawah risiko penyakit yang sah boleh mengundang maut?”

Raggie Jessy Rithaudeen

خير الدين واجب لتق جاوتن اونتوق بوقتيكن تياد ڤربيذأن ‘درجت ڤرونداڠن’ انتارا منتري دان رعيت بياسا

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang sebelum ini mencetuskan kontroversi susulan kegagalannya mematuhi SOP berkaitan Covid-19 akhirnya mengaku bahawa tindak tanduknya melanggar undang-undang.

Sebelum ini, beliau cuba mengalihkan perhatian umum daripada kegagalannya mematuhi kuarantin wajib selama 14 hari yang perlu dipatuhi oleh sesiapa yang pulang dari luar negara dengan mendakwa beliau dibenarkan masuk ke Istana Negara pada 17 hb Ogos lalu.




Logik yang dibentangkan oleh Khairuddin adalah seperti berikut – beliau sah negatif Covid-19 kerana seseorang yang positif sudah pasti tidak akan dibenarkan memasuki Istana Negara.

Apa yang tidak disedari oleh beliau ialah ini sebenarnya pengakuan kesalahan kedua.

Kesalahan pertama ialah mengengkari perintah kuarantin 14 hari yang merupakan SOP wajib bagi semua yang masuk ke dalam negara, manakala kesalahan kedua pula ialah mendedahkan warga Istana kepada risiko Covid-19 yang turut merupakan sejenis penghinaan terhadap Institusi Diraja.

Bermacam-macam helah yang digunakan Khairuddin untuk menangkis kritikan terhadapnya, termasuk dakwaan beliau menjalani ujian Covid-19 sebanyak tiga kali, iaitu ketika tiba di Malaysia dari Turki pada 7 Julai, 13 hari kemudian dan sebelum menghadiri majlis di Istana Negara.

Persoalannya, apakah Khairuddin sedang mencadangkan bahawa SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan seseorang terlepas dari perintah kuarantin wajib sekiranya orang itu membuat ujian dan disahkan negatif Covid-19 sebelum tempoh 14 hari itu tamat?

Mengapakah Menteri Undang-Undang senyap dalam perkara ini dan tidak menasihati Khairuddin sedangkan beliau terus menerus memberi alasan demi alasan selama hampir tiga hari bagi menghalalkan tindakannya yang jelas melanggar SOP?

Bayangkan, ini merupakan kenyataan seorang Menteri yang terang-terang memutar belit kenyataan untuk mempertahankan dirinya setelah melanggar undang-undang sambil mengisytiharkan (secara tidak langsung) bahawa rakyat Malaysia berhak mengingkari SOP kuarantin wajib sekiranya terbukti mereka negatif Covid-19.

Loading...

Menteri jenis apakah ini?

Untuk makluman, SOP merupakan piawaian bagi memastikan semua yang tertakluk kepada piawaian itu mengikuti peraturan dan (atau) prosedur yang sama.

Ini adalah tatacara kawalan lazim dalam situasi yang melibatkan bilangan penduduk yang ramai atau fenomena yang masih tidak difahami atau dikaji sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang keraguan, kesangsian, pertikaian, salah faham, pilih kasih dan sebagainya.

Dalam kes Covid-19, ia melibatkan keselamatan dan kesejahteraan lebih 30 juta warga Malaysia dan membabitkan sejenis penyakit yang masih tidak difahami sepenuhnya.

Boleh jadi seseorang yang disahkan negatif-Covid-19 tiba-tiba didapati positif pada hari ke-13 kerana kelakuan pelik Coronavirus.

Apakah Khairuddin lebih arif berkenaan Covid-19 atau perkara yang bersangkut paut dengan keselamatan dan kesejahteraan warga Malaysia berbanding MKN atau Kementerian Kesihatan Malaysia?

Apakah kini seorang yang bergelar menteri memiliki ‘darjat berbeza’ di kaca mata perundangan sehingga boleh dilepaskan dengan kompaun RM1,000 sahaja sedangkan ramai lagi samada dihukum penjara atau dikenakan denda berlipat ganda tingginya?

Menurut laporan media, seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan didenda RM8,000 selepas mengaku salah melanggar perintah kuarantin kendiri apabila tiba dari negara luar.

Manakala itu, seorang pemilik restoran di Kedah dihukum penjara lima bulan serta denda RM12,000 kerana kesalahan sama. Lelaki terbabit adalah kes yang mempunyai kaitan dengan kluster Sivagangga.

Kesemua kes ini melibatkan orang awam yang tidak bergaji tinggi seperti Khairuddin yang memakan gaji sebagai Menteri dan juga menerima elaun sebagi ahli parlimen.

Apakah seorang menteri tidak akan didakwa di mahkamah atau dipenjara kerana melanggar SOP kuarantin, itupun selepas cuba ‘menghalalkan kesalahan’ sebelum mengaku melakukan kesalahan itu?

Biarpun tindakan Khairuddin menghulurkan “gaji empat bulan” kepada Tabung Covid-19 amat dialu-alukan, itu merupakan keputusan peribadinya dan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk ‘melepaskannya’ dengan kompaun RM1,000.

Jangan lupa, ini adalah manusia yang cuba memutar belit keadaan untuk menghalalkan cara sebelum akhirnya mengaku melakukan kesilapan, itupun selepas ditekan oleh netizen dan menggadaikan nyawa warga Istana Negara.

Cuba cerita, siapakah yang akan bertanggungjawab terhadap tindakan seorang menteri meletakkan warga Istana Negara di bawah risiko penyakit yang sah boleh mengundang maut?

Dan dimanakah pemimpin-pemimpin politik yang sebelum ini beriya-iya menyelar menteri bersijil palsu yang didesak meletakkan jawatan atas dasar “keadilan dan kebenaran?”

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...