Kini, MCA disalahkan atas kekhilafan pemimpin PAS

“Apabila MCA  tiba-tiba kembali “mesra” dengan UMNO selepas mengugut keluar Barisan Nasional, PAS terus menjulang nama MCA di Tanjung Piai tanpa segan dan silu, siap dengan mengaku MCA merupakan “rakan seperjuangan Muafakat Nasional”

Raggie Jessy Rithaudeen

Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), saudara Aminuddin Yahaya, sempena ulangtahun termenterainya piagam Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO.

Ya, berbeza dengan dakwaan pihak yang terkhilaf kononnya piagam Muafakat Nasional melibatkan Barisan Nasional dan PAS, piagam itu sebenarnya ditandatangani atas dasar perlunya UMNO dan PAS bermuafakat ke arah penyatuan ummah “menentang anasir jahat yang mengancam agama Islam dan penganutnya.




Jadi benarlah apa yang dikatakan oleh Aminuddin, bahawa pergerakan dan persefahaman PAS dan UMNO pada awalnya adalah atas nama “Perpaduan Ummah,” dan atas nama itulah PAS dan UMNO serta para penyokongnya lantang bersuara menentang kewujudan sekolah vernakular dan apa jua isu yang difikirkan bercanggah dengan tuntutan agama Islam.

Malah, bukan hanya pemimpin-pemimpin PAS dan UMNO menggelar kumpulan pendidik Dong Zong ‘rasis lampau’ yang wajib diharamkan, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan diselar kerana gagal bertindak terhadap pihak yang menyebabkan kematian Adib berdasarkan keputusan Mahkamah Koroner.

Banyak isu lagi yang dimainkan, antaranya, pemberian jawatan-jawatan GLC kepada ahli-ahli parlimen kerajaan yang dikatakan ‘haram’ kerana mampu menjurus kepada salah guna kuasa, penyelewengan dan gejala rasuah.

Malangnya, sebaik sahaja kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tumbang, PAS dan UMNO tiba-tiba bertindak senyapkan semua isu yang bersangkut paut dengan Adib, pemberian jawatan GLC, kewujudan sekolah vernakular dan pengharaman Dong Zhong.

Malah, kalau dulu Dong Zhong digelar kumpulan ‘rasis lampau’ yang ‘haram’, kini tiba-tiba kumpulan itu menjadi ‘halal’, siap dengan usaha bermuzakarah dengan kepimpinan Dong Zhong untuk tambah lagi sekolah Cina dan perluaskan yang sedia ada.

Kalau dulu, pemberian jawatan GLC kepada ahli-ahli parlimen kerajaan dalam kadar yang tinggi ‘haram’, kini jawatan yang sama diberikan kepada ahli-ahli parlimen PAS, UMNO dan PPBM dalam kadar tertinggi dalam sejarah tanah air, siap dengan pengumuman pemberian itu oleh menteri PAS sendiri.

Begitu juga dengan arwah Adib – dulu, bukan main lagi perjuangan menuntut keadilan untuk keluarga arwah, kini menteri PAS bersetuju perlunya diadakan inkues kedua yang jelas bercanggah dengan peruntukan perundangan negara.

Loading...

Banyak lagi kepincangan dalam pentadbiran PAS, berbelas-belas lagi contoh yang mampu membuktikan betapa terpincangnya kepimpinan PAS dari landasan kebenaran hingga berlakunya “putarbelit Agama” dan “penipuan terhadap ummah” demi menghalalkan cara.

Contohnya apabila menteri PAS melanggar undang-undang, maka keluarlah lebai-lebai PAS menghalalkan cara dengan memetik dalil yang bersandar kepada Kitab Suci Al-Quran agar menteri itu dijulang sebagai ‘hero’ kerana “menyelamatkan negara.”

Apabila ahli parlimen PAS melanggar peruntukkan Perlembagaan Persekutuan dengan menyentuh isu sensitif melibatkan penganut Agama Kristian, keluarlah lebai-lebai PAS menghalalkan cara dengan memetik dalil asalkan ahli parlimen itu dijulang sebagai “pejuang kebenaran.”

Dan apabila MCA  tiba-tiba kembali “mesra” dengan UMNO selepas mengugut keluar Barisan Nasional, PAS terus menjulang nama MCA di Tanjung Piai tanpa segan dan silu, siap dengan mengaku MCA merupakan “rakan seperjuangan Muafakat Nasional.”

Ya, rakan seperjuangan.

Ini bukannya penipuan MCA, tetapi lebai-lebai PAS sendiri yang lebih khusyuk memutarbelit segala apa yang boleh diputarbelit bagi menghalalkan cara daripada berjuang demi kebenaran.

Malah, apabila PPBM yang diterima masuk ke dalam Muafakat Nasional tiba-tiba membenarkan bukan Muslim memegang jawatan dalam parti, mulalah lebai-lebai PAS menghalalkan cara dengan mengisytiharkan bahawa Muafakat Nasional ditubuhkan atas keperluan “menyatukan masyarakat majmuk secara keseluruhannya,” bukannya ummah semata-mata.

Pembohongan demi pembohongan, semuanya kerana PAS ingin mengembangkan sayapnya.

Ini menyebabkan PAS terpaksa menjilat ludah UMNO dan PPBM, kerana tanpa sokongan kroni dan taikun Cina kenalan Tan Sri Muhyiddin Yassin, UMNO dan MCA, PAS tidak mampu untuk bertanding banyak kerusi parlimen di Pilihan Raya Umum ke-15.

Jadi usahlah ISMA cuba halalkan cara-cara PAS dengan berpura-pura menegur PAS tetapi menyalahkan MCA atas kepincangan dalam pentadbiran PAS.

Saya mengaku, MCA merupakan parti yang kerap memainkan isu-isu sensitif yang mampu mencucuk jarum kebencian kaum Cina terhadap Melayu-Islam.

Tetapi hakikat tetap hakikat, dan PAS sememangnya tesasar jauh dari landasan kebenaran hingga sanggup melakuakan apa sahaja untuk menghalalkan cara atas prinsip perjuangan yang makin mirip perjuangan UMNO, iaitu perjuangan wang, kuasa dan kedudukan.

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



Your donation is much appreciated and will go a long way towards helping us serve you better. Click the donate button below to make a contribution (you don't need a Paypal account to donate through Paypal, simply follow the instructions once you click the button).


SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...