“Dulu lain, sekarang lain. Sekarang, PAS sudah dianggap mirip UMNO dari sudut kemaruk kuasa pemimpinnya, dan ramai di kalangan akar umbi parti itu tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan yang terus berdamping dengan Muhyiddin”
Raggie Jessy Rithaudeen
قيصه ڤرو 1999 موسيم بنجير – ڤاس مرايه كمناڠن تربسر دالم سجاره
Pilihan Raya Umum ke-10 diadakan pada 29 November 1999, iaitu pada musim tengkujuh (musim banjir).
Kesudahannya, PAS meraih kemenangan terbesar dalam sejarah (27 kerusi, berbanding 10 kerusi DAP), lebih satu per tiga daripada jumlah kerusi yang dimenangi oleh UMNO (72 kerusi).
PAS turut merampas gelaran “ketua pembangkang,” manakala UMNO mencatatkan penurunan sebanyak 17 kerusi di “kawasan-kawasan penting.”
Adalah dipercayai bahawa PAS meraih undi dendam sebilangan penyokong UMNO disebabkan beberapa faktor, termasuk keputusan untuk adakan Pilihan Raya pada musim tengkujuh.
Namun, Barisan Nasional tetap Berjaya membentuk kerajaan atas Ehsan sokongan MCA, Gerakan, PBB dan MIC (jumlah 53 kerusi), di mana MCA, Gerakan dan MIC pada ketika itu dianggap kuat dan mendapat sokongan kaum Cina dan India.
Barisan Nasional turut mendapat sokongan parti-parti Sabah dan Sarawak yang menyumbang 22 kerusi dan LDP yang menyumbang 1 kerusi.
Kini, Barisan Nasional tidak semestinya mendapat sokongan parti-parti Sabah dan Sarawak, yang lebih cenderung “tunggu dan lihat” siapa mampu menjadi kingmaker pada Pilihan Raya Umum ke-15.
MCA dan MIC pula tidak diterima majoriti kaum Cina dan India, manakala Gerakan dijangka akan hanyut terus atau meraih maksimum satu kerusi.
PAS pula sudah dianggap mirip UMNO dari sudut kemaruk kuasa pemimpinnya, dan ramai di kalangan akar umbi parti itu tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan yang terus berdamping dengan Muhyiddin.
UMNO juga tidak sekuat dulu, malah dijangka akan menunjukkan penurunan dalam prestasi berbanding Pilihan Raya Umum ke-14.
Ini disebabkan kemarahan rakyat atas pelbagai skandal yang menyelubungi parti itu dan kesungguhan rakyat memastikan bahawa UMNO tidak kembali berkuasa demi memelihara kebebasan kehakiman.
Jika diambil kira semua ini, dan jika Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada musim tengkujuh (musim banjir), jangan terkejut jika berlaku “Tsunami Besar Melayu” ke mana-mana perkumpulan Melayu selain PAS dan UMNO.
Andai kata Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan tahun depan sekalipun, Tsunami Melayu dijangka terus berlaku, cuma, impaknya mungkin tidak seteruk berbanding Pilihan Raya pada musim tengkujuh.
