“Sekiranya orang Islam tidak mempersoal tindakan bangsa Cina menganjurkan aktiviti yang bertumpu kepada masyarakat Cina, DAP juga tidak berhak menyoal tindakan mana-mana pihak menganjurkan aktiviti yang bertumpu kepada masyarakat Melayu-Islam”
Raggie Jessy Rithaudeen
Sikap prejudis keterlaluan dan buruk sangka Lim Kit Siang terhadap pihak penganjur Kongres Maruah Melayu (KMM) jelas menunjukkan beliau rasa tergugat dengan penganjuran kongres tersebut.
Ianya turut tersasar jauh dari landasan kebenaran memandangkan kaum Cina dan India di negara ini pernah menganjurkan beberapa kongres berkaitan kaum masing-masing.
Ramai yang tahu, KMM dianjurkan Pusat Pengajian Kecemerlangan Universiti Malaya dengan kerjasama bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UiTM, satu gandingan mantap jika diambil kira niat penganjur yang ingin menyediakan platform rasmi bagi pemimpin-pemimpin Melayu-Islam bermuzakarah.
Selain tidak memberikan penjelasan spesifik mengapa beliau rasakan pihak universiti tidak harus anjurkan kongres tersebut, Kit Siang lupa, bahawa pihak Dong Jiao Zong turut pernah menganjurkan konvensyen, seminar dan perjumpaan-perjumpaan lain yang dihadkan kepada masyarakat dan pemimpin parti politik Cina.
Hakikatnya, tidak ada banyak perbezaan antara istilah konvensyen, kongres dan seminar, di mana istilah-istilah ini kerap ditukar ganti dan berbeza hanya dari segi bilangan peserta, komposisi barisan panel, pengkhususan topik perbincangan dan beberapa faktor lain yang berkaitan.
Dong Jiao Zong turut pernah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kongres anjuran persatuan-persuatuan Cina biarpun kepimpinan Dong Zong terdiri daripada ahli-ahli akedemik dan bukannya pemimpin parti politik.
Kit Siang tidak bising pada ketika itu, malah sendiri pernah menghadiri beberapa perjumpaan rasmi yang dikhususkan kepada masyarakat Cina, di mana topik yang dibincang melibatkan halatuju ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya.
Di sini, jelas dapat dilihat bahawa Kit Siang sudah rasa tergugat dengan KMM dan khuatir ianya bakal mencetuskan penyatuan masyarakat Melayu-Islam dan menjurus kepada pemansuhan Dong Jiao Zong dan sekolah vernakular.
Hakikatnya, tindakan beliau mempersoalkan keperluan universiti awam menganjurkan acara itu tidak bertanggungjawab dan jelas berbaur perkauman.
Beliau seharusnya merujuk terlebih dahulu dengan pihak penganjur bagi mendapatkan penjelasan atau kepastian dan bukannya mengajukan soalan terbuka di umum memandangkan ianya mampu menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat bukan Islam yang berbangsa Cina dan India.
Lim harus faham, masyarakat Melayu-Islam mempunyai hak berperlembagaan untuk bermuzakarah tanpa perlu merujuk kepada pemimpin bukan Islam bagi mendapatkan kebenaran.
Bukan hanya muzakarah itu tuntutan agama, ianya mampu mengeratkan lagi perpaduan bangsa dan menjurus ke arah penyatuan ummah. Agaknya, inilah yang tidak disenangi Kit Siang dan DAP.
Saya mengaku, kongres yang dianjurkan semalam tidak menepati agenda “penyatuan” dalam ertikata sebenarnya kerana pihak penganjur bersikap memilih dan mengenepikan ramai yang terlibat secara langsung dalam politik Islam dan perjuangan Melayu-Islam di tanah air.
Namun, ianya tetap satu permulaan yang baik dan mampu menjurus kepada kongres-kongres yang lebih mantap bagi mencapai resolusi yang lebih padu dan relevan kepada semua pihak.
Sudah menjadi hak masyarakat Melayu-Islam bermuzakarah ke arah penyatuan sepertimana masyarakat Cina dulu menggunakan hak perlembagaan mereka untuk menganjurkan perjumpaan-perjumpaan yang menjurus kepada penyatuan bangsa Cina di belakang parti DAP.
Tindakan Kit Siang mempersoal penganjuran KMM boleh juga ditafsir sebagai campurtangan parti DAP dalam agenda penyatuan Melayu-Islam kerana nama Kit Siang sinonim dengan parti DAP.
Ingat, sekiranya orang Islam tidak mempersoal tindakan bangsa Cina menganjurkan aktiviti yang bertumpu kepada masyarakat Cina, DAP juga tidak berhak menyoal tindakan mana-mana pihak menganjurkan aktiviti yang bertumpu kepada masyarakat Melayu-Islam.
Berhati-hatilah dengan kenyataan kau, Uncle Lim.
Your donation is much appreciated and will go a long way towards helping us serve you better. Click the donate button below to make a contribution (you don’t need a Paypal account to donate through Paypal, simply follow the instructions once you click the button).
FOLLOW US ON TELEGRAM AND TWITTER:
TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen (click here)
TELEGRAM: Rosdzaman Dato’ Hj Mohd Yusup
TELEGRAM: Norismail Sarbini
TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen (click here)
WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com
