
“Dengan penghujahan Tajuddin, Najib dan Zahid boleh menangguhkan pengumuman berhubung sokongan mereka terhadap Muhyiddin atas alasan “berlaku perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahli parlimen UMNO yang perlu diseragamkan.” Ini akan membolehkan mereka membeli lebih banyak masa dengan harapan Muhyiddin akan cemas dan cepat-cepat memasuki perjanjian dengan mereka sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh kluster mahkamah”
Raggie Jessy Rithaudeen
كليڤ اءوديو ‘تاجو الدين’ چاچت، سڤرتي ‘منوروت سكريڤ’
TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
Kalau dulu klip audio Datuk Seri Rahman Dahlan ditularkan oleh pihak yang berkait rapat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini muncul pula klip audio suara Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang turut dikongsi oleh Tan Seri Annuar Musa, sekutu rapat Muhyiddin.
Audio berdurasi 15 minit itu dikatakan berlangsung ketika mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini, di mana Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan bahawa parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Terdapat beberapa kecacatan dalam hujah Tajuddin yang menyokong dakwaan sumber bahawa penghujahannya menurut skrip dan audio suaranya sengaja dirakam dan ditularkan oleh pihak tertentu dengan niat mengelirukan ahli-ahli parlimen PPBM dan PAS.
Kecacatan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
1. Menurut Tajuddin, keputusan untuk UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin bukan keputusan Perhimpunan Agong UMNO (PAU 2020).
“Ini kerana keputusan PAU adalah untuk kita menarik diri daripada kerajaan (PN), tak ada sebut kata nak menarik sokongan kepada perdana menteri,” katanya.
Kenyataan ini pelik, memandangkan Perlembagaan Persekutuan jelas bahawa seluruh angota Jemaah Menteri perlu letak jawatan secara otomatik sekiranya Perdana Menteri meletakkan jawatan atau hilang sokongan majority ahli Dewan Rakyat.
Ini bermakna, jika ahli-ahli parlimen UMNO secara keseluruhan atau mereka yang sehaluan dengan Najib (seramai tujuh orang, termasuk Najib dan Zahid) menarik sokongan terhadap Muhyiddin, kerajaan secara otomatik akan tumbang.
Justeru, secara efektif, penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri oleh UMNO membawa maksud yang sama dengan penarikan sokongan terhadap kerajaan.
Apakah Tajuddin tidak sedar perkara ini, dan bagaimana pula tidak ada seorang pun ahli MKT yang mencelah untuk menjelaskan perkara ini kepada Tajuddin?
2. Tajuddin mendakwa, penarikan sokongan UMNO tidak memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang.
Menurutnya, Perikatan Nasional mungkin boleh bekerjasama dengan DAP bagi mempertahankan kerajaan yang ada kini.
“Kalau kita tarik diri sekarang apakah anda fikir kerajaan akan tumbang. Mereka mungkin bekerja dengan DAP,” katanya.
Kenyataan ini pelik, kerana;
a. PAS, UMNO dan PPBM bersetuju untuk membentuk kerajaan atas dasar perlunya DAP dihalang daripada terlibat dengan pentadbiran persekutuan.
b. PAS mengisytiharkan perkara ini secara terbuka malah sentiasa mengingatkan penyokongnya untuk berhati-hati dengan DAP.
c. PAS tidak sekali-kali akan bekerjasama dengan DAP, memandangkan kerjasama ini akan menghancurkan terus PAS di Pilihan Raya Umum ke-15.
d. Sudah pasti ahli-ahli MKT tahu perkara ini, termasuk kebarangkalian bahawa PAS akan putuskan hubungan dengan PPBM jika DAP dibawa masuk ke dalam kerajaan.
e. Jika PAS memutuskan hubungan dengan PPBM, jumlah ahli parlimen (PAS dan UMNO) yang menarik sokongan terhadap kerajaan akan jauh lebih besar daripada jumlah ahli parlimen DAP, sekaligus menggagalkan sebarang percubaan oleh Muhyiddin untuk mempelawa DAP masuk ke dalam kerajaan.
Kenapa tidak ada seorang pun dari kalangan ahli-ahli MKT yang mencelah untuk menjelaskan perkara ini kepada Tajuddin?
3. Tajuddin menyokong resolusi yang dicapai di PAU yang memerlukan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan, cuma katanya, masa tidak sesuai disebabkan pandemik Covid-19.
Persoalannya, jika UMNO menarik sokongan selepas angka Covid-19 dikurangkan, apakah yang menghalang Muhyiddin mempelawa DAP masuk ke dalam kerajaan pada ketika itu, sepertimana yang didakwa oleh Tajuddin sendiri?
Ini merupakan kecacatan paling nyata dalam hujah Tajuddin. Menurut sumber, penghujahannya menurut skrip dan audio suaranya sengaja dirakam dan ditularkan.
Dari awal lagi, saya menegaskan bahawa Zahid dan Datuk Seri Najib Tun Razak sedang bersandiwara dan tidak ingin Muhyiddin tumbang dalam masa terdekat.
Dengan penghujahan Tajuddin, Najib dan Zahid boleh menangguhkan pengumuman berhubung penarikan sokongan mereka terhadap Muhyiddin atas alasan “berlaku perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahli parlimen UMNO yang perlu diseragamkan.”
Ini akan membolehkan mereka membeli lebih banyak masa dengan harapan Muhyiddin akan cemas dan cepat-cepat memasuki perjanjian dengan mereka sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh kluster mahkamah.
WAJIB BACA:
