Kluster Mahkamah makin cemas – Mesyuarat Khas MKT dijangka dalam masa terdekat

“Adakah MKT akan mengadakan satu lagi mesyuarat khas selepas ini untuk mengesahkan secara hitam putih pencalonan Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri?”

Raggie Jessy Rithaudeen

قلوستر محكمه ماكين چمس – مشوارت خاص مقت دجڠك دالم ماس تردكت

Pada 19hb Mac 2022, ketika menggulung ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung Umno 2021 (Pau 2021), Datuk Seri Ismail Sabri selaku naib presiden UMNO, mengumumkan, bahawa UMNO tidak akan tunggu walau sesaat pun untuk bubar Parlimen jika yakin boleh memenangi Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam memberi jaminan itu, Ismail Sabri menetapkan syarat bahawa isu pembubaran Parlimen perlu dibincangkan terlebih dahulu bersama ‘top five’ UMNO.




Kata-kata Ismail Sabri ini membawa beberapa maksud, antaranya;

1. Beliau tidak keberatan untuk melanggari syarat Memorandum Persefahaman yang ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “MoU”), yang menetapkan bahawa Parlimen tidak harus dibubarkan sebelum 31hb Julai 2022.

2. Beliau tidak keberatan melanggari MoU degan syarat ‘top five’ UMNO – termasuk dirinya sendiri, selaku salah seorang ahli ‘top five’ – bersetuju bahawa UMNO akan menang Pilihan Raya Umum ke-15 jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

3. Ini bermakna, jika Ismail Sabri sendiri tidak yakin bahawa UMNO akan menang Pilihan Raya Umum ke-15, Parllimen tidak perlu dibubarkan.

4. Ismail Sabri sengaja meletakkan syarat ini agar Kluster Mahkamah mendapat isyarat, bahawa jika Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk menetapkan secara hitam putih pencalonannnya sebagai calon tunggal Perdana Menteri, beliau tidak keberatan untuk melanggari MoU dan mengusulkan pembubaran parlimen.

Ini adalah berdasarkan pemahaman saya, dan untuk makluman anda, perkara ini turut dipersetujui oleh beberapa sumber penting dalam UMNO, yang peka dengan perkembangan terkini dan akur bahawa perpecahan teruk sedang melanda UMNO disebabkan pertembungan antara kem Ismail Sabri dan Kluster Mahkamah.

Menyedari bahawa Ismail Sabri tidak akan bersetuju mengusulkan pembubaran Parlimen selagi tidak disahkan sebagai calon tunggal Perdana Menteri, MKT UMNO kemudiannya mengadakan satu mesyuarat khas, yang turut dihadiri oleh Ismail Sabri selaku ahli MKT.

Loading...

Dalam mesyuarat itu, MKT sekadar mencadangkan nama Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri dan menetapkan bahawa MoU tidak akan diteruskan selepas 31hb Julai 2022.

Namun, Kluster Mahkamah tahu bahawa keputusan samada meneruskan MoU atau menamatkannya, dalam apa jua keadaan, terletak pada kepimpinan Pakatan Harapan dan barisan Jemaah Menteri, bukannya pada UMNO.

Kluster Mahkamah juga tahu bahawa MoU bukannya berkuatkuasa sehingga 31hb Julai 2022 sepertimana yang diwar-warkan oleh UMNO selama ini, tetapi sehingga Parlimen Malaysia ke-14 dibubarkan.

Ini bermakna, MKT berkebarangkalian tinggi bermesyuarat semata-mata untuk menghantar satu isyarat balas kepada Ismail Sabri, berbunyi:

a. “Kami tahu bahawa UMNO tidak berhak memutuskan samada meneruskan MoU atau menamatkannya.

b. “Hakikatnya, kami mahu parlimen dibubarkan pada 1hb Ogos 2022, dan atas sebab itulah kami menetapkan bahawa MoU tidak harus diteruskan selepas 31hb Julai 2022.

c. “Jika kamu (Ismail Sabri) bersetuju dengan penetapan ini, kami sanggup menamakan kamu secara sah sebagai calon tunggal Perdana Menteri Barisan Nasional.”

Maknanya, UMNO akan hanya memberi hitam putih kepada Ismail Sabri berhubung pencalonannya sebagai Perdana Menteri pada atau selepas 1hb Ogos 2022, andai kata Parlimen dibubarkan pada tarikh tersebut.

Tetapi risikonya amat besar buat Ismail Sabri, kerana bukan hanya Zahid terkenal dengan sikapnya yang suka memungkiri janji, tidak ada apa-apa yang menghalang Zahid daripada menamakan orang lain sebagai calon Perdana Menteri.

Menyedari perkara ini, dalam satu kenyataan, Ismail Sabri menzahirkan persetujuannya terhadap penetapan MKT bahawa MoU tidak akan diteruskan selepas 31hb Julai 2022.

Namun, ini dilihat sbeagai satu lagi isyarat tersirat yang disampaikan oleh Ismail Sabri kepada Kluster Mahkamah, dan isyaratnya berbunyi:

d. “Ya, saya setuju untuk tidak teruskan MoU selepas 31hb Julai 2022, jadi tidak perlu untuk menunggu sehingga 1hb Ogos 2022 untuk mengesahkan pencalonan saya sebagai Perdana Menteri.

e. “Jika pencalonan saya tidak disahkan sebelum 1hb Ogos 2022, tidak ada apa-apa yang menghalang saya daripada memasuki MoU atau perjanjian baru dengan Pakatan Harapan bagi menstabilkan kerajaan pimpinan saya.

f. “Ini kerana keputusan samada memasuki MoU atau perjanjian baru dengan Pakatan Harapan adalah keputusan kabinet persekutuan, bukannya keputusan UMNO.”

Dan untuk memastikan bahawa Kluster Mahkamah memahami perkara ini, ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas baru-baru ini, Ismail Sabri menegaskan bahawa parti berbeza dengan kerajaan, dan sebarang cadangan pembubaran parlimen perlu dibawa kepada kabinet terlebih dulu sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi kenyataan ini, Ismail Sabri dilihat memberi amaran kepada Kluster Mahkamah untuk membuat keputusan dengan kadar segera kerana segalanya terletak ditangan beliau.

Persoalannya, adakah MKT akan mengadakan satu lagi mesyuarat khas selepas ini untuk mengesahkan secara hitam putih pencalonan Ismail Sabri sebagai calon tunggal Perdana Menteri?

Pada 3hb Mei 2022, saya menulis:

Jika Zahid ingin meyakinkan Ismail Sabri untuk mengusulkan pembubaran parlimen, beliau perlu meyakinkan MKT untuk membuat ketetapan secara hitam putih bahawa Ismail Sabri akan menjadi calon Perdana Menteri tunggal Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Inilah opsyen kedua yang sedang dipertimbangkan oleh Kluster Mahkamah, selain opsyen pertama, iaitu menarik sokongan terhadap Ismail Sabri sekiranya ada tanda-tanda perjanjian baru akan dimetrai antara kerajaan dan Pakatan Harapan.

Jangan lupa, UMNO tidak pernah memasuki sebarang MoU bersama kerajaan, bermakna tidak ada sebarang halangan jika Kluster Mahkamah menarik sokongan terhadap Ismail Sabri sebelum 31hb Julai 2022.

Andai kata Kluster Mahkamah menarik sokongan terhadap Ismail Sabri dalam masa terdekat, Yang Di-Pertuan Agong akan berdepan dengan beberapa pilihan, antaranya;

a. menerima akuan-akuan bersumpah daripada Kluster Mahkamah sebagai bukti Ismail Sabri hilang majoriti, sebelum mengadakan pertemuan dengan semua MP (sepertimana yang berlaku ketika Langkah Sheraton) untuk mengesahkan siapa yang mendapat sokongan majoriti.

b. menetapkan bahawa keabsahan kerajaan pimpinan Ismail Sabri hanya boleh ditentukan menerusi proses parlimen dan bukannya berpandukan kepada surat akuan bersumpah

c. membubarkan parlimen dan bersetuju agar Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, atau

d. mengisytiharkan Darurat Politik dan menubuhkan Mageran, Majlis Pemulihan Negara (versi Tun Dr Mahathir Mohamad), The Rakyat’s Council atau sebarang bentuk Majlis lain yang difikirkan sesuai bagi mentadbir urus negara sehingga masalah politik dapat diatasi.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...