‘Komplot Tiga Tan Sri’ – Propaganda palsu yang dikitar semula untuk lindungi Najib (Pendedahan penuh)

Sehingga hari ini, tidak pernah ada sebarang tindakan perundangan terhadap mana-mana Tan Sri yang didakwa berkomplot untuk menggulingkan Najib, dan tidak pernah ada sebarang bukti yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan Najib kepada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bagi membuktikan komplot ini. Sumber (gambar): TTF

“Cuba jawab, bagaimana Najib boleh merumuskan bahawa Khalid, Abu Kassim dan Gani Patail terlibat dalam komplot untuk menahannya secara haram, sedangkan beliau sendiri mengganggu siasatan 1MDB, tidak membenarkan dirinya didakwa dan memecat Peguam Negara berdasarkan teori konspirasi yang tidak pernah dibuktikan?”

Raggie Jessy Rithaudeen

ءكومڤلوت تيڬ تن سريء – ڤروڤاڬندا ڤلسو يڠ دريكا اونتوق ليندوڠي نجيب

Pernah tak saudara-saudari mendengar kisah “enam Tan Sri” yang kononnya berkomplot untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Tun Razak?

Cerita ini diwar-warkan di media sosial pada awal bulan Julai, 2015, hanya beberapa minggu sebelum Tan Sri Abdul Gani Patail dipecat sebagai Peguam Negara.

Pada ketika itu, Najib enggan menjawab soalan wartawan dan pembangkang berhubung skandal 1MDB dan aliran dana RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi milik beliau walaupun diasak untuk berbuat demikian.




Maklumat berkenaan aliran dana itu mula-mula diterbitkan oleh Wall Street Journal dan Sarawak Report sebelum ianya dilaporkan oleh The Edge Markets, dan laporan-laporan ini berserta skema dan carta aliran dana yang agak terperinci.

Apabila ditanya, Najib gagal menafikan kesahihan carta aliran dana itu, dan sebaliknya, memberikan seribu satu alasan kenapa ianya bukan urusan rakyat.

Manakala itu, sel-sel media yang berkait rapat dengan Najib sentiasa mengalih perhatian kepada kisah-kisah merapu yang tidak pernah dibuktikan kesahihannya.

Salah satu daripada kisah yang ditularkan ialah “komplot enam Tan Sri” yang kononnya bersubahat untuk menjatuhkan Najib.

Tan Sri terbabit ialah Abdul Gani Patail, Khalid Abu Bakar (bekas Ketua Polis Negara), Abu Kassim Mohamed (bekas Ketua SPRM), Zeti Akhtar Aziz (bekas Gabenor Bank Negara), Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Gani Patail, Abu Kassim, Zeti dan Khalid didakwa bersubahat untuk menahan Najib, manakala Tengku Razaleigh Hamzah didakwa memiliki sokongan 30 ahli parlimen dan merancang untuk menyingkirkan Najib menerusi usul undi tidak percaya.

Menurut cerita, Gani Patail, Abu Kassim dan Khalid didorong untuk menahan Najib berdasarkan terbitan Wall Street Journal bertarikh 2hb Julai 2015, yang mengisahkan pengaliran dana AS700 juta (lebih kurang RM2.8 bilion) ke dalam akaun peribadi milik Najib.

Loading...

Pada ketika itu, satu Pasukan Petugas Khas (Special Task Force atau STF) sudah pun ditubuhkan atas desakan Gani Patail, dan pasukan ini dianggotai oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), PAC dan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Pasukan ini ditugaskan untuk melakukan siasatan terhadap 1MDB, di samping siasatan-siasatan yang dikendalikan oleh SPRM, PDRM, PAC, AGC dan BNM secara berasingan, yang turut menyiasat peranan Najib dan penglibatannya dalam 1MDB.

Menerusi Pasukan Petugas Khas, segala maklumat dan dokumentasi yang berkait dengan 1MDB dapat dikongsi bersama oleh setiap agensi terbabit tanpa birokrasi lampau, atau kemungkinan satu-satu perkara dirahsiakan oleh mana-mana agensi bagi tujuan ‘menyelamatkan’ 1MDB atau Najib.

Namun, pada bulan Ogos 2015, SPRM mengejutkan satu dunia apabila memaklumkan bahawa Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB dibubarkan walaupun siasatan masih berjalan.

Kemudian, pada 4hb Mac 2016, laporan akhir pengauditan 1MDB dan beberapa dokumen lain tiba-tiba diklasifikasikan sebagai “rahsia rasmi” di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) oleh Najib sendiri.

Kesemua ini menunjukkan bagaimana Najib membantut siasatan 1MDB dengan menghadkan kerjasama antara agensi-agensi kerjaaan, berbekalkan alasan kononnya siasatan-siasatan yang dilakukan secara berasingan oleh BNM, PDRM, SPRM, PAC dan AGC sudah memadai.

Persoalannya, bagaimanakah Najib boleh mencapai kesimpulan ini, sedangkan beliau sendiri terlibat dalam syarikat yang disiasat dan tidak seharusnya mencampuri sebarang siasatan?

Jawapannya mudah – sel-sel media yang berkait rapat dengan Najib mencipta terori konspirasi baharu, di mana Abu Kassim didakwa ‘memalsukan’ satu kertas pertuduhan untuk menahan Najib ketika mesyuarat kabinet pada 29hb Julai 2015.

Zeti didakwa terlibat bersama Abu Kassim, Khalid dan Gani Patail dalam perancangan ini, tetapi sehingga hari ini, tidak ada sebarang bukti yang dikemukakan oleh mana-mana pihak yang mengesahkan bahawa keempat-empat mereka berkomplot untuk menahan Najib atas tuduhan palsu.

Malah, Najib sudah pun didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC, dan menurut panel hakim Mahkamah Rayuan, ada bukti kukuh bahawa dana yang dikatakan ‘derma’ dari Raja Arab Saudi sebenarnya berasal dari SRC.

Jika dikaji, skema aliran dana ke akaun peribadi Najib sepertimana yang dilaporkan oleh Wall Street Journal konsisten dengan penghakiman kes, menandakan siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas laporan Wall Street Journal merupakan langkah yang tepat.

Adakah ini sebabnya Najib membubarkan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB?

Apakah Najib takut pasukan tersebut akan menyiasat skandal 1MDB sedalam yang mungkin dan menemui sesuatu yang Najib tidak ingin dunia tahu?

Sel-sel media dan laskar siber pro Najib pada ketika itu sibuk menularkan teori konspirasi kononnya Abu Kassim, Abdul Gani, Zeti, Abu Kassim dan Khalid bersubahat untuk mengaibkan Najib, dan berdasarkan teori konspirasi palsu inilah Abdul Gani dipecat, dua hari sebelum mesyuarat Kabinet pada 29hb Julai 2015.

Sehingga hari ini, tidak ada sebarang tindakan perundangan terhadap mana-mana Tan Sri yang didakwa berkomplot untuk menggulingkan Najib, dan tidak ada sebarang bukti yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan kepada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bagi membuktikan komplot ini.

Tetapi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Najib menggunakan “komplot” ini sebagai alasan untuk membubarkan Pasukan Petugas Khas dan bertindak mengklasifikasikan beberapa dokumen berkaitan 1MDB sebagai dokumen rahsia rasmi, sekaligus menyukarkan kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dalam siasatan 1MDB.

Nampak?

Seharusnya, Najib bercuti sebagai Perdana Menteri sementara siasatan dijalankan dan tidak mencampuri sebarang urusan siasatan memandangkan beliau sendiri terlibat dalam syarikat yang disiasat.

Cuba jawab, bagaimana Najib boleh merumuskan bahawa Khalid, Abu Kassim dan Gani Patail terlibat dalam komplot untuk menahannya secara haram, sedangkan beliau sendiri mengganggu siasatan 1MDB, tidak membenarkan dirinya didakwa dan memecat Peguam Negara berdasarkan teori konspirasi yang tidak pernah dibuktikan?

Undang-undang apakah yang digunapakai oleh Najib, sehingga tindakan seorang Ketua Polis Negara menahan seorang Perdana Menteri dengan persetujuan Peguam Negara dianggap sebagai “komplot jahat” yang memerlukan Peguam Negara dipecat?

Jika benar kertas pertuduhan terhadap Najib ‘dipalsukan’ bagi menahannya secara haram, mengapakah Najib gagal membuat laporan polis terhadap Abdul Gani, Khalid dan Abu Kassim atau mengemukakan kertas pertuduhan ini sebagai bahan bukti dalam perbicaraan SRC?

Siapakah yang akan percaya versi terkini “komplot tiga Tan Sri” yang ‘direka’ pada 2015 dan “dikitar semula,” sedangkan orang yang ‘mendedahkannya’ tak lain tak bukan bekas pembantu Najib sendiri?

Dalam afidavit balasan terhadap permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes SRC baru-baru ini, pihak pendakwaan berkata permohonan itu bertujuan melambatkan keputusan rayuan dengan membuka semula keseluruhan kes.

Menurut Timbalan Pendakwaraya Budiman Lutfi Mohamed, Zeti sebenarnya ditawarkan kepada pihak pembelaan Najib pada akhir kes pendakwaan.

“Bagaimanapun, pemohon (Najib) memilih untuk tidak memanggil atau menemubual Zeti sebagai saksi bagi membuktikan kes pembelaan,” kata DPP.

Budiman berkata, Najib boleh membuat permohonan itu pada Januari tahun ini kerana mereka telah mengetahui menjelang Disember 2020 isu akuan berkanun yang dibuat oleh suami Zeti, Datuk Dr Tawfik Ayman dan dua anak lelakinya.

“Tiada akuan berkanun yang dibuat oleh Zeti dalam perkara ini. Pemohon boleh memulakan permohonan pada Januari tahun ini sebelum rayuan dimulakan pada 5 April,” kata Budiman.

“(Namun), pemohon mengambil masa 11 bulan dan beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan dijadualkan menyampaikan keputusannya untuk memfailkan usul memasukan bukti baharu.

“Ini adalah penangguhan yang disengajakan,” tambahnya.

Apakah Najib mampu menyangkal semua dakwaan saya ini, yang hanya merupakan sebahagian kecil hujah yang bakal saya dedahkan agar anda sedar tahap sebenar propaganda murahan yang dimainkan oleh Najib kerana terdesak?

Bersambung…

WAJIB BACA:

MALAYSIAN POLITICS – THE UGLY AND BITTER TRUTH EVERYONE SHOULD KNOW (PART 1)

 



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...