“Kemungkinan untuk ‘membunuh’ Mahathir menjadi tajuk perbincangan utama antara beberapa pemimpin UMNO di Sheraton – sambil majlis makan malam berlangsung, mereka mendapat maklum bahawa Mahathir berdegil untuk tidak bekerjasama dengan UMNO seketul”
Raggie Jessy Rithaudeen
Dalam bahagian satu, saya menceritakan perihal kewujudan satu komplot untuk ‘membunuh’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, di mana komplot ini melibatkan Datuk Seri Azmin Ali dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menjurus kepada tertubuhnya kerajaan pimpinan Perikatan Nasional.
Saya turut menyentuh tulisan Kadir Jasin, di mana beliau memberitahu, majoriti ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bersidang pada 23hb Februari 2020 “seolah-olah dirasuk syaitan kerana bertubi-tubi mengasak Dr Mahathir supaya bersetuju dengan mereka untuk menarik Bersatu keluar daripada PH dan menyertai Umno dan Pas.”
Sebenarnya, kenyataan yang ditularkan oleh puak tertentu (yang bersangkut-paut dengan seorang pemimpin kanan UMNO) di WhatsApp kononnya komplot untuk ‘membunuh’ Tun Dr Mahathir Mohamad dimuktamadkan oleh Muhyiddin dan Azmin di hotel Sheraton pada malam 23hb Febuari 2020 kurang tepat dan merupakan usaha oleh puak berkenaan untuk ‘menyucikan’ UMNO.
Hakikatnya, komplot yang wujud pada ketika itu hanyalah untuk ‘membunuh’ Pakatan Harapan dan membentuk satu gabungan baharu menurut acuan Muhyiddin, di mana struktur dan komposisi gabungan tersebut merupakan hasil satu siri perbincangan dan perancangan terliti untuk satu jangka masa yang panjang.
Kebanyakkan pemimpin-pemimpin yang terabit dengan komplot ini, termasuklah Azmin dan sebilangan tertentu dari PAS dan UMNO, mengammbil sikap “tunggu dan lihat” sambil memberikan jaminan kepada Mahathir bahawa sokongan mereka terhadap beliau adalah padu “demi perpaduan sejagat dan ummah.”
Komplotnya cukup mudah – jika Muhyiddin berjaya meyakinkan Mahathir, PPBM, WARISAN dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) untuk bersama PAS dan UMNO dalam satu gabungan baharu, maka kesemua ahli parlimen yang menyokong Mahathir perlu bersetuju menerima UMNO seketul, termasuklah pemimpin UMNO yang menghadapi tuduhan Mahkamah.
Sebaliknya, jika Muhyiddin gagal mempengaruhi Mahathir dan jika puak pro-Mahathir dalam MPT Bersatu (PPBM) tidak menyokong secara terbuka usul untuk membentuk gabungan bersama UMNO, maka kesemua ahli parlimen dari PPBM, PAS dan UMNO yang bersetuju untuk menyokong Mahathir akan menurut sahaja kehendak beliau.
Tetapi apa yang berlaku di luar jangkaan – dalam mesyuarat MPT yang diadakan pada 23hb Febuari 2020, beberapa ahli dari kem Mahathir lantang menyokong usul membentuk gabungan baharu bersama UMNO, kecuali Mahathir, yang kekal dengan keputusannya untuk hanya bekerjasama dengan ahli-ahli parlimen tertentu daripada UMNO, bukannya UMNO seketul (en bloc).
Keesokkan harinya, Mahathir mengejutkan satu dunia apabila bertindak menyerahkan surat peletakan jawatannya secara senyap kepada Yang di-Pertuan Agong pada pukul satu tengah hari.
Sejam kemudian, Muhyiddin membuat kenyataan rasmi bagi memaklumkan bahawa mesyuarat MPT yang diadakan pada 23hb Februari 2020 memutuskan untuk PPBM keluar terus daripada Pakatan Harapan.
Menurut beliau, semua Ahli Dewan Rakyat dari Bersatu menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia, sekaligus bermakna PPBM bersetuju untuk akur dengan apa jua keputusan yang diambil oleh Mahathir berhubung struktur dan komposisi gabungan baharu, sekiranya terbentuk.
Maka tidak benarlah dakwaan kononnya Muhyiddin dan Azmin memasuki perjanjian di Sheraton pada malam 23hb Febuari 2020 untuk ‘membunuh’ Mahathir.
Sebaliknya, kemungkinan untuk ‘membunuh’ Mahathir menjadi tajuk perbincangan utama antara bebrapa pemimpin UMNO di Sheraton – sambil majlis makan malam berlangsung, mereka mendapat maklum bahawa Mahathir berdegil untuk tidak bekerjasama dengan UMNO en bloc.
Justeru, seorang dua daripada pemimpin ini bertindak mempengaruhi Azmin dan beberapa pemimpin PAS agar Muhyiddin disokong terus sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 jika tidak ingin UMNO membatalkan hasrat untuk membentuk gabungan baharu.
Pada ketika itulah Azmin mula merasakan dirinya terperangkap, kerana beliau sudah bertindak keluar dari PKR bersama Zuraida Kamaruddin dan tahu beliau tidak boleh berpatah balik.
Bersambung…
