“Pada satu hari, dalam satu perjumpaan ‘kumpulan rahsia’ bagi membincangkan situasi terkini, Azmin memberitahu semua yang hadir bahawa Muhyiddin telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri kerana merasakan kesihatan dirinya sudah beransur pulih”
Raggie Jessy Rithaudeen
Link untuk bahagian satu hingga tiga disertakan di hujung bawah artikel ini
Dalam bahagian ketiga, saya bercerita tentang kegopohan Datuk Seri Azmin Ali untuk ‘membunuh’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan kerana khuatir Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempengaruhi semula ahli-ahli parlimen dan ketua-ketua bahagian dari PKR yang majoritinya berpihak kepada Azmin pada ketika itu.
Hakikatnya, bukan hanya Azmin ingin menyekat Anwar daripada menjadi Perdana Menteri, beliau turut ingin membalas dendam terhadap Anwar atas layanan Anwar terhadapnya susulan penularan skandal video seks.
Saya menulis:
“Kerana kegopohan Azmin, beliau mula berbincang satu komplot berasingan bersama (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) untuk mempercepatkan lagi ‘pembunuhan’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan biarpun tahu perancangan teliti telah lama berjalan melibatkan sekumpulan pemimpin dari PPBM, UMNO, dan PAS.
“Perancangan yang dimaksudkan melibatkan sebuah ‘kumpulan rahsia’, diwakili oleh beberapa pemimpin dari PPBM, UMNO dan PAS, termasuk Dato’ Haji Takiyuddin Hassan, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan juga Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Perancangan kumpulan ini lebih menjurus ke arah pembentukkan sebuah blok pemerintahan baharu selepas persidangan kemuncak APEC, di mana kerajaan baharu yang dirancang adalah menurut acuan Mahathir dan hanya melibatkan ahli-ahli parlimen dari UMNO yang tidak menghadapi tuduhan Mahkamah”
Ya, suka tak suka, ahli-ahli parlimen dari PAS dan majoriti dari UMNO yang berada dalam kem Mahathir sudah lama bersetuju agar gabungan baharu – jika terbentuk – tidak bekerjasama dengan UMNO secara en bloc (seketul), cuna dengan ahli-ahli parlimen tertentu sahaja.
Sebenarnya, Azmin turut merupakan ahli ‘kumpulan rahsia’ yang dimaksuudkan di atas bersama beberapa pemimpin lain yang tidak ingin saya namakan di sini.
Pada ketika itu, Azmin kerap berjumpa dengan Muhyiddin secara berasingan di kediaman presiden PPBM itu untuk membincangkan komplot ‘membunuh’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.
Pada satu hari, dalam satu perjumpaan ‘kumpulan rahsia’ bagi membincangkan situasi terkini, Azmin memberitahu semua yang hadir bahawa Muhyiddin telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri kerana merasakan kesihatan dirinya sudah beransur pulih.
Walaubagaimanapun, perkara itu tidak diberikan perhatian serius oleh kesemua yang hadir dalam perjumpaan tersebut kerana maklumat yang disampaikan oleh Azmin, seandainya benar, boleh membawa apa-apa maksud.
Mana tahu, Muhyiddin sekadar ingin memberitahu kepada semua bahawa sekiranya kerajaan pimpinan Pakatan Harapan runtuh dan gabungan baharu terbentuk tanpa kem Anwar, Mahathir boleh menamakan Muhyiddin sebagai calon penggantinya kerana Muhyiddin merasakan dirinya cukup sihat.
Kenyataan Azmin memang kabur, seolah-olah beliau edang menguji tahap penerimaan kesemua yang hadir dalam perjumpaan berkenaan terhadap pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8.
Setelah melihat bahawa tidak ada sesiapa pun yang mencadangkan nama Muhyiddin sebagai bakal Perdana Menteri, Azmin tidak membincangkan perkara itu lagi di perjumpaan-perjumpaan yang diadakan selepas itu.
Justeru, adalah membuang masa jika kita di sini cuba mengagak apa yang sebenarnya dibincangkan oleh Azmin bersama Muhyiddin di kediaman Muhyiddin sehingga menjurus kepada kenyataan yang dibuat oleh Azmin di perjumpaan ‘kumpulan rahsia’ berkenaan.
Yang pasti, dakwaan kononnya Muhyiddin dan Azmin memasuki satu perjanjian ‘rahsia’ di Sheraton pada malam 23hb Febuari 2020 untuk ‘membunuh’ Mahathir adalah rekaan semata-mata.
Ini memandangkan isu “Muhyiddin menjadi Perdana Menteri” telah lama ditimbulkan oleh Azmin sendiri dalam satu mesyuarat ‘kumpulan rahsia’, lama sebelum majlis makan malam di Sheraton berlangsung pada 23hb Febuari 2020.
Berdasarkan kenyataan yang dibuat Muhyiddin keesokkan harinya, sah bahawa beliau menggugurkan terus hasratnya untuk ‘membunuh’ Mahathir – seandainya benar hasrat itu pernah whujud – dan bersetuju bersama kesemua ahli Dewan Rakyat dari PPBM agar Mahathir dikekalkan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Bersambung…
BAHAGIAN SATU HINGGA TIGA:
Komplot tumbangkan kerajaan Muhyiddin (Bahagian Satu): Jom mula dari awal…
Komplot tumbangkan kerajaan Muhyiddin (Bahagian Dua): Cara Azmin ‘diperangkap’…
