Komplot tumbangkan kerajaan Muhyiddin (Bahagian Enam): Sepandai-pandai Azmin melompat, akhirnya terkena getah juga…

“Impian Azmin untuk menjadi Perdana Menteri selepas Muhyiddin hancur berkecai, kerana PPBM pada ketika ini tidaklah sebesar mana dalam Perikatan Nasional dan tidak mampu mendominasi kerajaan ataupun perbincangan agihan kerusi apabila tiba masa untuk parlimen dibubarkan”

Raggie Jessy Rithaudeen

كومڤلوت تومبڠكن كراجأن محي الدين ﴿بهاڬين انم﴾: سيڤنداا-ڤنداي عزمين ملومڤت، اخيرڽ تركنا ڬيته جوڬ…

Dalam bahagian keempat, saya menjelaskan bagaimana Datuk Seri Azmin Ali berjaya meyakinkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ‘pembunuhan’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan perlu dipercepatkan kerana tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahathir (selepas sidang APEC) amat tinggi risikonya (rujuk bahagian tiga dan empat di bawah).




Azmin sedar beliau tidak akan dapat bertanding dengan Mukhriz dan Muhyiddin bagi jawatan Perdana Menteri dan terpaksa menunggu satu-dua dekad untuk memegang jawatan tersebut sekiranya Muhyiddin menurut rancangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk kerajaan uniti.

Pada ketika itu, Mahathir bertekad untuk membentuk sebuah kerajaan baharu bersama ahli-ahli parlimen, golongan teknokrat dan golongan bangsawan tanpa memberi sebarang pertimbangan kepada pecahan agihan kerusi parti-parti politik dalam Dewan Rakyat ataupun senioriti mana-mana ahli parlimen.

Saya mengakhiri bahagian ketiga dengan menulis:

“Apabila Azmin bertindak keluar dari PKR bersama Zuraida dan sembilan lagi ahli parlimen selepas Mahathir menolak cadangan Muhyiddin untuk bekerjasama secara en bloc dengan UMNO, Muhyiddin mula yakin bahawa Azmin lebih memihak kepadanya.

“Sudah pastilah Azmin tahu bahawa beliau akan diberikan ‘ganjaran’ yang cukup lumayan dalam bentuk jawatan Timbalan Perdana Menteri seandainya Muhyiddin diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Azmin turut tahu bahawa Mukhriz tidak lagi akan menjadi saingan terhadapnya kerana Mukhriz pasti akan memihak kepada ayahnya dan menolak terus sebarang bentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional.

Sebenarnya, sebelum Azmin bertindak keluar dari PKR, majoriti ahli parlimen dan ketua-ketua bahagian dari parti berkenaan menyokong gandingan beliau bersama Mahathir dan meluat dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Loading...

Begitu juga ahli-ahli parlimen dari PPBM, WARISAN, Sabah dan Sarawak – sebilangan besar mereka menolak terus Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-8 dan bersetuju untuk menyokong gandingan Azmin dan Mahathir bersama beberapa ahli parlimen dari DAP dan AMANAH (puak anti Lim Guan Eng),

Azmin menjangkakan majoriti ahli parlimen ini akan beransur-ansur meninggalkan Pakatan Harapan seandainya beliau berjaya hancurkan impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri dengan menumbangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan bersama Muhyiddin.

Pada ketika itu, Azmin dan Mahathir memperolehi sokongan hampir 30 ahli parlimen dari PKR, tujuh dari AMANAH, sepuluh dari DAP (puak anti Lim) dan majoriti dari Sabah dan Sarawak.

Seandainya 80 peratus daripada mereka bertindak keluar dari Pakatan Harapan bersama Azmin, PPBM hari ini akan memiliki lebih 50 kerusi parlimen (dalam blok kerajaan) dan sokongan penuh parti WARISAN (9 kerusi) dan Gabungan Parti Sarawak (18 kerusi).

Dalam senario ini, WARISAN dan GPS sudah pasti akan lebih memihak kepada blok PPBM, sekaligus menjadikan blok Muafakat Nasional blok minoriti dalam kerajaan pimpinan Perikatan Nasional.

Malangnya, Azmin tersalah tafsir sokongan ahli-ahli parlimen terhadapnya dan menganggap kesemua mereka yang menyokongnya akan bersetuju untuk mengkhianati Mahathir dengan janji impian Anwar berkecai.

Begitu juga Muhyiddin – saya yakin, beliau percaya dengan adanya Azmin, beliau akan dapat sokongan WARISAN dan mampu menarik sekurang-kurangnya 25 ahli parlimen dari PKR dan beberapa lagi dari AMANAH untuk bersamanya dalam PPBM.

Saya tidak salahkan Muhyiddin kerana mempercayai perkara ini, sebab lazimnya, apabila sesebuah kerajaan tumbang, sebilangan tertentu ahli parlimen akan beralih sokongan kepada puak pemerintah yang baharu jika dipelawa dengan wang, kuasa atau kedudukan.

Tetapi anehnya, sehingga hari ini, kedua-dua Muhyiddin dan Azmin masih tidak mampu mempelawa seorang pun ahli parlimen baharu dari PKR dan AMANAH untuk menyertai blok PPBM dalam Perikatan Nasional.

Ini bermakna impian Azmin untuk menjadi Perdana Menteri selepas Muhyiddin hancur berkecai, kerana PPBM pada ketika ini tidaklah sebesar mana dalam Perikatan Nasional dan tidak mampu mendominasi kerajaan ataupun perbincangan agihan kerusi apabila tiba masa untuk parlimen dibubarkan.

Ini turut menjadikan Perikatan Nasional gabungan parti pemerintah yang paling lemah dalam sejarah politik tanah air dari segi bilangan kerusi di Dewan Rakyat (115 kerusi).

Bersambung…

BAHAGIAN SATU HINGGA LIMA:

Komplot tumbangkan kerajaan Muhyiddin (Bahagian Satu): Jom mula dari awal…

Komplot tumbangkan kerajaan Muhyiddin (Bahagian Dua): Cara Azmin ‘diperangkap’…

Komplot tumbangkan kerajaan Muhyiddin (Bahagian Tiga): Tetubuhnya kumpulan rahsia diwakili Hishammuddin, Takiyuddin…

Komplot tumbangkan kerajaan Muhyiddin (Bahagian Empat): Azmin beritahu kumpulan rahsia ‘Muhyiddin dah bersedia’…

Komplot tumbangkan kerajaan Muhyiddin (Bahagian Lima): Impian Azmin menjadi Perdana Menteri…



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...