“Azmin tahu, seandainya Muhyiddin bersetuju untuk mengenepikan terus kem Mahathir, bekerjasama secara en bloc dengan UMNO dan menerima pencalonan bagi jawatan Perdana Menteri, peluang beliau (Azmin) untuk menjadi Perdana Menteri dalam masa yang singkat amatlah cerah”
Raggie Jessy Rithaudeen
Dalam bahagian keempat, saya bercerita tentang kenyataan Datuk Seri Azmin Ali dalam satu perjumpaan “kumpulan rahsia” yang ditubuhkan bagi merancang ‘pembunuhan’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (rujuk link di hujung bawah).
Dalam perjumpaan itu, Azmin memberitahu semua yang hadir bahawa Muhyiddin telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri kerana merasakan kesihatan dirinya sudah beransur pulih.
Saya kemudiannya menjelaskan mengapa ianya membuang masa jika kita cuba mengagak apa yang sebenarnya dibincangkan oleh Azmin bersama Muhyiddin di kediaman Muhyiddin sehingga menjurus kepada kenyataan tersebut.
Saya mengakhiri bahagian ketiga dengan menulis:
“Yang pasti, dakwaan kononnya Muhyiddin dan Azmin memasuki satu perjanjian ‘rahsia’ di Sheraton pada malam 23hb Febuari 2020 untuk ‘membunuh’ Mahathir adalah rekaan semata-mata.
“Ini memandangkan isu “Muhyiddin menjadi Perdana Menteri” telah lama ditimbulkan oleh Azmin sendiri dalam satu mesyuarat ‘kumpulan rahsia’, lama sebelum majlis makan malam di Sheraton berlangsung pada 23hb Febuari 2020.
“Berdasarkan kenyataan yang dibuat Muhyiddin keesokkan harinya, sah bahawa beliau menggugurkan terus hasratnya untuk ‘membunuh’ Mahathir – seandainya benar hasrat itu pernah wujud – dan bersetuju bersama kesemua ahli Dewan Rakyat dari PPBM agar Mahathir dikekalkan sebagai Perdana Menteri Malaysia.”
Sebenarnya, Azmin tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di Sheraton.
Pada majlis makan malam itu, seorang dua pemimpin UMNO bertindak mempengaruhi Azmin dan beberapa pemimpin PAS agar Muhyiddin disokong terus sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Pemimpin-pemimpin UMNO ini berpuak kepada seorang pemimpin kanan dari parti berkenaan yang berhasrat untuk mengembalikan dirinya dan UMNO sebagai kuasa utama dalam kerajaan persekutuan.
Azmin, yang pada ketika itu sudah bertindak keluar dari PKR bersama Zuraida Kamaruddin, mula merasakan dirinya terperangkap kerana UMNO mengugut secara halus untuk tidak bekerjasama dengan PPBM sekiranya Mahathir berdegil untuk tidak menerima UMNO secara en bloc (seketul).
Azmin sedar bahawa beliau akan terlepas terus peluang untuk menjadi Perdana Menteri dalam masa yang singkat seandainya Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri dan bendegil untuk hanya bekerjasama dengan ahli-ahli parlimen UMNO yang tidak bermasalah.
Pada ketika itu, Mahathir bertekad untuk membentuk sebuah kerajaan uniti bersama ahli-ahli parlimen, golongan teknokrat dan golongan bangsawan tanpa memberi sebarang pertimbangan kepada pecahan agihan kerusi parti-parti politik dalam Dewan Rakyat ataupun senioriti mana-mana ahli parlimen.
Tidak ramai yang tahu, Mahathir berniat untuk menjadikan samada Muhyiddin ataupun Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri dan hanya bercadang memberikan portfolio Menteri Kewangan ataupun Menteri Hal-Ehwal Ekonomi kepada Azmin.
Dari satu segi, Azmin tidak mempunyai sebarang masalah dengan perkara ini kerana tahu, sekiranya rancangan Mahathir berjaya, beliau secara dasarnya telahpun memenuhi syarat untuk meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri sebelum penggal penuh parlimen ke-14 berakhir.
Bagi Azmin, kesemua ini bermakna masa depan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri hancur sama sekali kerana kesemua yang terlibat dalam perancangan ini menolak terus Anwar dan kuncu-kuncunya dari DAP, PKR dan AMANAH.
Tetapi dari segi lain, Azmin sedar beliau tidak akan dapat bertanding dengan Mukhriz dan Muhyiddin bagi jawatan Perdana Menteri dan terpaksa menunggu satu-dua dekad untuk memegang jawatan tersebut.
Azmin tahu, seandainya Muhyiddin bersetuju untuk mengenepikan terus Mahathir, bekerjasama secara en bloc dengan UMNO dan menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri, peluang beliau (Azmin) untuk menjadi Perdana Menteri dalam masa yang singkat amatlah cerah.
Dengan berbekalkan keyakinan inilah Azmin mula mendesak Muhyiddin untuk mengenepikan Mahathir dan menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Hakikatnya, Muhyiddin dan Azmin mempunyai hubungan yang cukup akrab kerana telah lama mengadakan perbincangan di rumah Muhyiddin berhubung isu peralihan kuasa dan masa depan politik negara.
Dalam perbincangan berkenaan, Azmin berjaya meyakinkan Muhyiddin bahawa‘pembunuhan’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan perlu dipercepatkan kerana tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahathir (selepas sidang APEC) amat tinggi risikonya (rujuk bahagian tiga dan empat di bawah).
Kemudian, apabila Azmin bertindak keluar dari PKR bersama Zuraida dan sembilan lagi ahli parlimen selepas Mahathir menolak cadangan Muhyiddin untuk bekerjasama secara en bloc dengan UMNO, Muhyiddin mula yakin bahawa Azmin lebih memihak kepadanya.
Sudah pastilah Azmin tahu bahawa beliau akan diberikan ‘ganjaran’ yang cukup lumayan dalam bentuk jawatan Timbalan Perdana Menteri seandainya Muhyiddin diangkat sebagai Perdana Menteri.
Azmin turut tahu bahawa Mukhriz tidak lagi akan menjadi saingan terhadapnya kerana Mukhriz pasti akan memihak kepada ayahnya dan menolak terus sebarang bentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional.
Bersambun esok…
BAHAGIAN SATU HINGGA TIGA:
Komplot tumbangkan kerajaan Muhyiddin (Bahagian Satu): Jom mula dari awal…
Komplot tumbangkan kerajaan Muhyiddin (Bahagian Dua): Cara Azmin ‘diperangkap’…
