“Perancangan yang dimaksudkan melibatkan sebuah ‘kumpulan rahsia’, diwakili oleh beberapa pemimpin dari PPBM, UMNO dan PAS, termasuk Dato’ Haji Takiyuddin Hassan, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan juga Datuk Seri Hishammuddin Hussein”
Raggie Jessy Rithaudeen
Dalam bahagian pertama dan kedua, saya menceritakan berkenaan komplot untuk ‘membunuh’ Pakatan Harapan dan membentuk satu gabungan baharu menurut acuan Tan Sri Muhyiddin Yassin, di mana struktur dan komposisi gabungan tersebut merupakan hasil satu siri perbincangan dan perancangan terliti untuk satu jangka masa yang panjang.
Saya turut menceritakan bagaimana dakwaan puak tertentu kononnya Muhyiddin dan Datuk Seri Azmin Ali memasuki perjanjian di Sheraton pada malam 23hb Febuari 2020 untuk ‘membunuh’ Mahathir adalah rekaan semata-mata.
Saya menulis:
Kemungkinan untuk ‘membunuh’ Mahathir menjadi tajuk perbincangan utama antara bebrapa pemimpin UMNO di Sheraton – sambil majlis makan malam berlangsung, mereka mendapat maklum bahawa Mahathir berdegil untuk tidak bekerjasama dengan UMNO en bloc.
Justeru, seorang dua daripada pemimpin ini bertindak mempengaruhi Azmin dan beberapa pemimpin PAS agar Muhyiddin disokong terus sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 jika tidak ingin UMNO membatalkan hasrat untuk membentuk gabungan baharu.
Pada ketika itulah Azmin mula merasakan dirinya terperangkap, kerana beliau sudah bertindak keluar dari PKR bersama Zuraida Kamaruddin dan tahu beliau tidak boleh berpatah balik.
Sebenarnya, Azmin cukup bersalah kerana terlalu gopoh ingin menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri dan membalas dendam terhadap Anwar atas layanannya susulan penularan skandal video seks.
Kerana kegopohan itu Azmin mula berbincang satu komplot berasingan bersama Muhyiddin untuk mempercepatkan lagi ‘pembunuhan’ kerajaan pimpinan Pakatan Harapan biarpun tahu perancangan teliti telah lama berjalan melibatkan sekumpulan pemimpin dari PPBM, UMNO, dan PAS.
Perancangan yang dimaksudkan melibatkan sebuah ‘kumpulan rahsia’, diwakili oleh beberapa pemimpin dari PPBM, UMNO dan PAS, termasuk Dato’ Haji Takiyuddin Hassan, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dan juga Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Perancangan kumpulan ini lebih menjurus ke arah pembentukkan sebuah blok pemerintahan baharu selepas persidangan kemuncak APEC, di mana kerajaan baharu yang dirancang adalah menurut acuan Mahathir dan hanya melibatkan ahli-ahli parlimen dari UMNO yang tidak menghadapi tuduhan Mahkamah
Ya, suka tak suka, ahli-ahli parlimen dari PAS dan majoriti dari UMNO yang berada dalam kem Mahathir sebenarnya sudah lama bersetuju agar gabungan baharu – jika terbentuk – tidak bekerjasama dengan UMNO secara en bloc (seketul), cuna dengan ahli-ahli parlimen tertentu sahaja.
Tetapi Azmin pekat dengan dendamnya terhadap Anwar dan khuatir Anwar dapat mempengaruhi semula ahli-ahli parlimen dan ketua-ketua bahagian dari PKR yang majoritinya berpihak kepada Azmin pada ketika itu.
Justeru, beliau bersetuju dengan cadangan Muhyiddin agar UMNO diterima secara en bloc bagi mempercepatkan proses menumbangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan
Azmin tahu, proses untuk mengumpul ahli-ahli parlimen sepertimana dalam perancangan asal kem Mahathir memakan masa terlalu lama dan berisiko dicantas Anwar.
Maka bermulalah usaha kem Muhyiddin-Azmin untuk cuba meyakinkan Mahathir, PPBM, WARISAN dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) untuk bersama PAS dan UMNO (secara en bloc) dalam satu gabungan pemerintah yang baharu.
Malangnya, usaha Muhyiddin untuk cuba meyakinkan Mahathir gagal – biarpun beberapa ahli dari kem Mahathir lantang menyokong usul membentuk gabungan baharu bersama UMNO (pada 23hb Febuari 2020), Mahathir kekal dengan pendiriannya untuk hanya bekerjasama dengan ahli-ahli parlimen dari UMNO yang tidak menghadapi kes Mahkamah.
Keesokan harinya, apabila Muhyiddin mengumumkan peredaran PPBM daripada Pakatan Harapan dan sokongan penuh kesemua ahli Dewan Rakyat dari parti berkenaan terhadap Mahathir sebagai Perdana Menteri, puak yang bersangkut dengan seorang pemimpin kanan UMNO mula mengorak langkah.
Dalam perjumpaan di Hotel Sheraton pada malam 23hb Febuari 2020, seorang dua pemimpin dari puak berkenaan berpura-pura tidak tahu rancangan asal Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan UMNO secara en bloc dan mula mempengaruhi Azmin serta beberapa pemimpin dari PAS.
Pemimpin puak ini mencadangkan agar Muhyiddin disokong terus sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 jika tidak ingin UMNO membatalkan hasrat untuk membentuk gabungan baharu.
Ya, inilah yang menyebabkan Azmin terperangkap – disebabkan kegopohannya sendiri, puak ini berjaya menjerat beliau dan mengambil kesempatan untuk cuba ‘membunuh’ Mahathir dengan melontarkan nama Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri Malaysia ke-8.
Dan ini hanyalah fasa pertama daripada dua fasa yang dirancang oleh puak ini untuk cuba mengembalikan UMNO sebagai kuasa utama di tampuk kepimpinan negara tanpa mengendahkan langsung pendapat PPBM atau PAS, rakan seperjuangan UMNO dalam Muafakat Nasional.
Bersambung…
