
“Anwar, yang masih sedang cuba mengumpul Surat Akuan Bersumpah sebelum 15hb Disember, gagal melepasi angka 73 setakat ini jika diambil juga surat-surat Akuan Bersumpah ‘pembatalan’ yang ditandatangani oleh beberapa ahli parlimen baru-baru ini”
Raggie Jessy Rithaudeen
Sebentar tadi, media melaporkan bahawa pemimpin-pemimpin dari PAS, UMNO dan PPBM sudah mencapai kesepakatan untuk mengekalkan pentadbiran Perak di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassin, permuafakatan itu dimeterai oleh ketiga-tiga parti itu demi rakyat Perak.
“Alhamdulillah, demi rakyat MUAFAKAT dimeterai. Utamakan persamaan yang terlalu banyak jua berbanding dengan perbezaan yang teramat sedikit cuma.
“Tahniah Kerajaan PN Perak dikekalkan…. UMNO+PAS+BERSATU=#kitabertiga,” katanya.
Tetapi tahukah saudara-saudari apa yang benar-benar terjadi?
Ahad lalu, saya menceritakan bagaimana Team A pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak secara efektif bersekongkol dengan DAP di Perak untuk menggulingkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (rujuk artikel bawah).
Frustrated Ipoh residents urge Perak Menteri Besar to step in before ‘it’s too late’ [docs included]
Saya mengakhiri artikel tersebut dengan menulis:
“Zahid kini sedang meyakinkan seluruh kepimpinan UMNO Perak untuk bersetuju membentuk gabungan bersama DAP di negeri itu bagi meyakinkan Team B dan DAP pusat (kumpulan anti-Lim Guan Eng) untuk bekerjasama di peringkat persekutuan.
“Sekiranya Zahid berjaya, Pakatan Harapan bukan hanya akan bergabung dengan Barisan Nasional di Perak, gabungan ini akan menjalar ke peringkat persekutuan dan memberikan Anwar sokongan majoriti yang diperlukannya untuk menjadi Perdana Menteri.
“Hanya satu sahaja cara untuk menggagalkan rancangan ini, iaitu PPBM, PAS, Team B, WARISAN dan GPS perlu berdepan dengan realiti dan bekerjasama bersama Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencantas Anwar dan Zahid.
“Seandainya kerjasama ini berjaya, DAP pusat dan AMANAH akan secara otomatik menolak formula yang dicadangkan oleh Zahid di Perak dan bersetuju untuk bersama Mahathir membentuk kerajaan perpaduan.
Sejak itu, Zahid terus cuba meyakinkan kepimpinan UMNO di peringkat negeri untuk menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan PKR sebagai rakan sekutu Barisan Nasional.
Walaubagaimanapun, bukan hanya cadangan ini ditolak terus oleh ramai pemimpin bahagian dan cawangan, terdapat sekumpulan pemimpin UMNO di Perak yang kini sepakat menolak kepimpinan Zahid dan cadangannya untuk mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-9.
Saya difahamkan, mereka meluat dengan Zahid dan terkejut apabila beliau sanggup mencadangkan kerjasama dengan DAP. Dalam ertikata lain, UMNO Perak kini bergolak, dan perkara ini disembunyikan oleh Zahid dari umum dan kepimpinan pusat parti.
Manakala itu, DAP, yang sudah lama berpecah kepada kumpulan-kumpulan pro dan anti-Lim Guan Eng, turut berselisih di seluruh negara susulan cadangan Nga Kor Ming agar DAP bekerjasama dengan Barisan Nasional.
Seperti Zahid, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dikatakan menyembunyikan perkara ini dari umum, termasuk kewujudan sekumpulan ahli-ahli parlimen dari DAP yang didakwa menolak cadangan menjadikan Anwar Perdana Menteri ke-9.
Rumusannya, percubaan kem Zahid-Anwar-Najib untuk bekerjasama dengan kumpulan Nga Kor Ming sebagai langkah awal sebelum Perak dijadikan ‘model’ kerjasama antara UMNO dan DAP gagal sama sekali.
Kegagalan ini bermakna Anwar tidak lagi boleh mengharapkan sokongan padu wakil-wakil rakyat dari UMNO dan DAP untuk memperolehi Surat Akuan Bersumpah dalam bilangan yang mencukupi untuk melayakkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.
Apa pun, dakwaan Takiyuddin kononya permuafakatan yang dimeterai oleh UMNO, PAS dan PPBM adalah demi rakyat Perak tidak benar sama sekali.
Hakikatnya, tumpuan Zahid dari awal lagi ialah untuk menjayakan kesepakatan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Perak agar DAP pusat dan Team B akan mempertimbangkan pembentukan gabungan kerjasama di peringkat persekutuan.
Walaubagaimanapun, Zahid kini sedar bahawa Anwar tidak mungkin berjaya memperolehi sokongan majoriti ahli-ahli parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dan terpaksa merangkak kembali ke PAS dan PPBM untuk membincangkan pembentukkan kerajaan baharu di Perak.
Manakala itu, Anwar, yang masih sedang cuba mengumpul Surat Akuan Bersumpah sebelum 15hb Disember, gagal melepasi angka 73 setakat ini jika diambil kira surat-surat Akuan Bersumpah ‘pembatalan’ yang ditandatangani oleh beberapa ahli parlimen baru-baru ini.
Bersambung…
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:

