Krisis PN Perlis: Pas Arkitek Kehancuran Sendiri, Jangan Salahkan Orang Lain…

Raggie Jessy Rithaudeen

Beginilah…

1. Menteri Besar (MB) Perlis yang terdahulu, Mohd Shukri Ramli, mula-mula terpalit dengan kontroversi, walaupun secara tidak langsung, apabila anaknya – yang juga menantu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang – ditahan SPRM untuk siasatan salah laku.




2. Kemudian, tiga  Adun PAS berkomplot dengan lima Adun Bersatu untuk menarik sokongan terhadap Shukri Ramli.

3. Dari sudut Perlembagaan (baik Perlembagaan Persekutuan mahupun undang-undang tubuh Perlis), Adun-Adun ini ada hak untuk menentukan, secara peribadi dan tanpa tekanan parti, siapa mereka sokong sebagai MB.

4. Namun, PAS tidak berpuas hati dengan Adun-Adun ini, sehingga Hadi sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa tiga Adun itu digugur keahlian daripada parti.

5. Isu ini menjadi sensitif, memandangkan Shukri Ramli ada talian persaudaraan dengan Hadi menerusi perkahwinan anak bekas MB itu.

Malah, saya mengesyaki tindak-tanduk tiga Adun PAS itu dilihat sebagai serangan secara halus terhadap Hadi sendiri.

6. Apa pun, Shukri Ramli akhirnya meletak jawatan bagi memberi laluan kepada proses pelantikan MB baharu.

7. Dengan itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis secara otomatik tumbang, dan yang lawak, ianya ditumbangkan oleh orang-orang PN sendiri dalam pada PN beriya-ia mahu tumbangkan kerajaan Persekutuan.

Loading...

8. Bersatu, bagaimanapun, tidak menggugurkan keahlian lima Adun mereka menurut rentak PAS.

9. Saya difahamkan, ini telah mengundang rasa amat tidak puas hati di kalangan pelbagai lapisan pemimpin PAS – terlalu ramai.

10. Tidak cukup dengan itu, salah seorang Adun Bersatu tiba-tiba dilantik sebagai MB Perlis baharu.

Ini berlaku dalam pada PAS terang-terang menyuarakan perlunya MB baharu itu datang dari PAS, memandangkan jumlah Adun PAS masih melebihi jumlah Adun Bersatu.

11. Kemudian, Datuk Mohd Amar Abdullah (PAS) dilaporkan membangkitkan persoalan: “Apakah retak menanti belah”.

12. Bukankah saya dah beritahu berulang kali dari awal tahun lagi, bahawa hubungan PAS-Bersatu memang “retak menanti belah?”

13. Malah, saya difahamkan—dan berdasarkan pemerhatian saya sendiri—bahawa PN sudah pun belah, cuma tunggu masa hendak umum sahaja.

14. Masalahnya, PAS terlalu khusyuk bercatur langkah seterusnya jika PN diisytihar bubar, termasuk percubaan orang-orang PAS di sana sini untuk pujuk UMNO tarik sokongan terhadap kerajaan.

14. PAS terdesak, sebab PN sememangnya akan merosot teruk pada PRU16.

15. Imej parti itu kini tercalar teruk, apabila salah satu negeri pegangan mereka, iaitu Perlis, tiba-tiba ‘jatuh di bawah kepimpinan Bersatu’ atas tindak tanduk Adun-Adun PAS sendiri.

16. Sebab itu PAS menggugurkan keahlian tiga Adun mereka—pada saya, ianya untuk alih perhatian agar akar umbi parti itu tidak marah dengan kepimpinan pusat, khususnya Hadi (kerana talian persaudaraan MB Perlis terdahulu dengan Hadi).

17. Malangnya, nasi sudah menjadi bubur, dan saya menerima maklumat bahawa cukup ramai pemimpin PAS di pelbagai peringkat parti hampa dengan kepimpinan pusat.

18. Bersatu bawah Muhyiddin pula seolah-olah tidak kisah dan terus bersikap seperti “Abang besar” sekalipun Muhyiddin ditolak oleh majoriti dalam partinya sendiri.

19. Ini menambahkan lagi kemarahan akar umbi PAS, dan kemarahan ini dijangka memuncak setelah Bersatu tidak memberi laluan secara sukarela kepada PAS (majoriti) untuk menggantikan Shukri Ramli sebagai MB, sekalipun Bersatu tahu bahawa jumlah Adun Bersatu yang berkomplot menentang Shukri Ramli melebihi jumlah Adun PAS yang terlibat sama.

20. Jadi, persepsinya, PAS kini dianak tirikan oleh kem Muhyiddin yang terang-terang ditolak majoriti dalam Bersatu.

21. Apa yang menarik, walaupun Bersatu amat bersandar kepada PAS untuk sokongan Melayu-Islam dan PAS memiliki kerusi majoriti dalam PN, kem Muhyiddin tetap berani buat ikut suka hati.

22. Kem ini seolah-olah tidak kisah tentang perasaan PAS – Pengerusi PN pun dia hendak pegang (walaupun PAS sudah beri isyarat beberapa kali bahawa perlu pertimbang orang PAS sebagai Pengerusi PN), calon PM pun dia hendak (walaupun PAS sudah bangkang berulang kali), dan yang terkini, kerusi MB Perlis pun sudah beralih kepada Bersatu bawah kepimpinan Muhyiddin.

23. Tapi PAS akan tetap membiarkan semua ini berterusan dan berdolak dalik untuk isytihar bahawa PN sudah hancur, kerana PAS terlalu khusyuk mencari jalan ‘nak tebuk atap’ disebabkan keterdesakan parti itu mendapatkan kuasa dan kedudukan di peringkat kerajaan pusat.

24. Akibat daripada ‘kekhusyukan’ ini, PAS tersungkur dalam percaturan sendiri.

“Nak sangat tebuk atap Putrajaya, akhirnya, ditebuk atap sendiri” – lebih kurang gitulah…

25. Pada saya, kem Muhyiddin berani buat apa yang mereka buat, kerana Muhyiddin cukup faham kelemahan PAS, iaitu:

a. PAS takut hilang sokongan yang sedia ada jika parti itu mengumumkan PN bubar, kerana PAS takut dituduh menjadi punca perpecahan PN, dan

b. PAS takut hilang peluang menjadi kerajaan jika PN diisytihar bubar dalam pada parti itu gagal memujuk Umno untuk bersamanya.

Sebab itu, walaupun Muhyiddin tahu Bersatu amat bergantung kepada sokongan pengundi PAS untuk terus relevan, dia mampu bersikap seperti ‘Abang besar’.

26. Yang paling lawak, dalam pada PAS cuba memujuk Umno untuk bersamanya, seorang pemimpin PAS meletakan syarat bahawa Umno perlu tinggalkan kerajaan terlebih dahulu sebelum PAS bersetuju untuk hidupkan semula Muafakat Nasional.

27. Yang terdesak PAS, yang letak syarat pun PAS – masuk akal?

28. Sikap ‘lembap’ dan tidak sedar diri inilah yang bakal menjahanamkan sebarang peluang PAS untuk kekalkan jumlah kerusi yang sedia ada pada PRU16, dengan atau tanpa Bersatu.

29. Bersatu pula dijangka hilang semua atau hampir semua kerusi yang ada kepada UMNO tanpa sokongan PAS, dan sekalipun PAS sokong, Bersatu mungkin hilang lebih 80% kerusi yang ada.

30. Tapi PAS terlalu lembap untuk memahami hakikat yang cukup mudah ini, dan percayalah, mereka akan terus lembap menuju PRU16 dan ke hadapan.

Semua di atas sekadar pendapat, terutamanya berdasarkan pemerhatian saya.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...