“Menurut sumber, Anwar tidak ingin membantu Zahid dan tidak mempertahankan keputusan Zahid, termasuk keputusan untuk menaikkan semula Ahmad Jazlan sebagai pengerusi FELCRA. Ini telah mencalar imej Zahid dikalangan penyokong beliau dalam UMNO, khususnya dalam MKT, dan mereka tertanya-tanya apakah Zahid sekadar Timbalan Perdana Menteri atas kertas”
Raggie Jessy Rithaudeen
كريسيس سابه: موڠكير جنجي هاڽ السن – امنو ايڠين تمبه كروسي ڤرليمين، حاججي ترڤرداي
UNTUK BERITA TERKINI, SERTAI TELEGRAM TTF DI SINI
Dakwaan kononnya Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor memungkiri janji hanya alasan untuk menghalalkan percubaan gulingkan kerajaan negeri oleh kumpulan yang diketuai oleh Datuk Seri Bung Moktar.
Realitinya, selepas Pilihan Raya Umum ke-15, Hajiji terperdaya untuk meninggalkan Bersatu atas keyakinan palsu kononnya Bung Moktar dan UMNO akan kekal setia terhadap kerajaan Sabah di bawah kepimpinannya.
Namun, sebaik sahaja Hajiji dan empat ahli parlimen dari Sabah meninggalkan Bersatu, Bung Moktar memulakan perancangan untuk menggulingkan Hajiji, dan perancangan ini nampaknya tidak dihalang oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut sumber, UMNO di bawah kepimpinan Zahid ingin menguasai kerajaan negeri Sabah sebagai persiapan kepada empat pilihan raya kecil yang mungkin diadakan.
Pilihan raya kecil ini akan tercetus sekiranya empat ahli parlimen yang meninggalkan Bersatu diarah untuk mengosongkan kerusi oleh Speaker Dewan Rakyat.
Barisan Nasional sukar memenangi kerusi-kerusi berkenaan, namun, dengan penguasaan jentera pentadbiran negeri di Sabah, kebarangkalian untuk menang mampu ditingkatkan sedikit.
Apa pun, kerajaan kini di bawah kawalan Anwar, dan saya difahamkan bahawa Anwar tidak akan mencampuri urusan Speaker Dewan Rakyat berhubung status kerusi keempati-empat ahli parlimen terbabit.
Saya juga difahamkan bahawa hubungan Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim agak renggang pada ketika ini, dan mengesyaki bahawa isu Sabah sedikit sebanyak merenggangkan lagi hubungan mereka.
Menurut sumber, Anwar tidak ingin membantu Zahid dan tidak mempertahankan Zahid dalam banyak perkara, termasuk keputusan Zahid untuk menaikkan semula Ahmad Jazlan sebagai pengerusi FELCRA.
Ini telah mencalar imej Zahid dikalangan penyokong beliau dalam UMNO, khususnya dalam MKT, dan ramai tertanya-tanya apakah Zahid sekadar Timbalan Perdana Menteri atas kertas.
Anwar juga sudah mengumumkan secara terbuka bahawa beliau tidak akan mencampuri sebarang urusan melibatkan kes-kes mahkamah yang sedang berjalan.
Sekiranya saya Zahid, dalam keadaan ini, sudah tentu saya akan cuba mempengaruhi Speaker Dewan Rakyat supaya keempat-empat kerusi milik ahli parlimen yang keluar daripada Bersatu dikosongkan.
Ini akan membolehkan Barisan Nasional mencuba nasib di kawasan parlimen terbabit agar jumlah kerusi gabungan itu dapat ditingkatkan.
Sekiranya berjaya, pertambahan kerusi Barisan Nasional akan menyebabkan Anwar lebih memerlukan Zahid dan mungkin bersetuju untuk membantu Zahid atau memenuhi syarat Zahid.
Zahid tidak akan rugi apa-apa sekiranya Barisan Nasional gagal memenangi kerusi-kerusi terbabit.
