
Raggie Jessy Rithaudeen
Bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Osman Sapian hadir lagi ke acara Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) semalam, tiga hari selepas Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuat pusingan U memecat dan kemudianya menarik balik pemecatan tersebut.
Menurut laporan, acara yang dihadiri oleh Osman itu sempena meraikan jentera Pejuang dari Johor yang turun berkempen dalam pilihan raya kecil DUN Slim baru-baru ini.
Dalam beberapa gambar dan video yang dimuat naik ke Facebook, Osman kelihatan berucap, bergambar dan makan malam bersama pendukung Pejuang dan melaungkan “Hidup Pejuang!”.
“Kami bersama ramai-ramai melaungkan: Hidup Pejuang, hidup Pejuang, hidup Pejuang!
“Jangan tanya kenapa YB Osman Sapian meninggalkan Bersatu, tapi lihat apa yang beliau telah lakukan.
“Tolong kongsikan seramai mungkin biar ramai yang dapat tahu,” tulis Abu Bakar Yahya yang memuat naik gambar-gambar itu.
Apabila ditanya, Pengerusi Lembaga Disiplin PPBM, Tan Sri Najmuddin Megat Khas enggan mengulas dan berkata dia hanya dapat bertindak jika terdapat aduan rasmi dibuat dan bukti dikemukakan.
Aneh, kerana sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin memecat Mahathir atas “syak wasangka dan tafsiran peribadi” tanpa perlu sesiapa membuat aduan rasmi atau Mahathir diberi peluang untuk menjawab segala tohmahan terhadapnya.
Sebaliknya, PPBM enggan memecat Osman dengan alasan ADUN Johor itu perlu dipanggil terlebih dahulu bagi menjawab tuduhan berhubung dakwaan membantu kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini.
Lebih aneh, keputusan Lembaga Disiplin PPBM sebelum ini untuk memanggil Osman memberi penjelasan tidak bersandar kepada mana-mana aduan rasmi, di mana perkara ini telah saya sahkan secara peribadi menerusi dua sumber dalaman parti yang mempunyai pengetahuan tentang perkara ini.
Bukankah ini permainan “politik dua darjat” Muhyiddin? Bukankah ini bukti “undang-undang hutan” yang dipraktikkan oleh PPBM dan Muhyiddin?
Nyata sekali Muhyiddin beranggapan bahawa PPBM itu milik peribadinya. Nyata juga beliau takut mengisytiharkan “perlucutan keahlian Osman secara otomatik” kerana kecut memikirkan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Negeri dan Umum sebelum pembentangan Bajet 2021.
Percayalah, Muhyiddin akan melakukan apa sahaja dan terus mengamalkan “politik darjat,” “kediktatoran ekstrim” dan “undang-undang hutan” demi mengekalkan kuasa dan kedudukannya dalam parti dan juga kerajaan.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:

