Lahirnya Barisan Baru Nasional (Bahagian Tiga): Pengisytiharan darurat, pembubaran parlimen

Raggie Jessy Rithaudeen

Dalam bahagian pertama siri empat bahagian “Lahirnya Barisan Baru Nasional” ini, saya mengemukan 23 dalil yang memperinci sebab sebenar Mahathir bersekongkol dengan DAP sebelum pilihanraya umum ke 14 untuk menumbangkan Barisan Nasional.




Bahagian tersebut turut merungkai isu penahanan beberapa ahli DAP di bawah SOSMA atas tuduhan terlibat dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), di mana saya menjelaskan mengapa penahanan tersebut merupakan isyarat oleh Mahathir bahawa“semboyan sudah berbunyi.”

Dalam bahagian kedua, saya memperinci salah satu opsyen yang ada pada Mahathir sekiranya DAP dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak dapat buktikan mereka benar-benar mempunyai sokongan majoriti di parlimen atau sekiranya DAP cuba menumbangkan Pakatan Harapan dengan bertindak keluar dari gabungan tersebut

Saya menjelaskan bagaimana opsyen tersebut mampu menjana satu gelombang kebangkitan baru melibatkan majoriti pengundi Islam dan Cina yang akan berdiri teguh di belakang sebuah gabungan baru pimpinan Mahathir dan Dato’ Seri Azmin Ali.

Dalam senario ini, Mahathir sudah pasti akan meminggirkan sebilangan besar ahli parlimen UMNO melainkan mereka bersetuju dengan beberapa syarat berhubung struktur organisasi kerajaan dan sebagainya.

Saya menulis:

39. Kesemua ini akan disokong oleh sebilangan besar pengundi Cina yang turut muak dengan tingkah-laku DAP tetapi masih tidak ingin menerima MCA, di mana mereka akan teruja dengan kehadiran sepuluh ahli parlimen DAP yang akan duduk bersama Azmin dalam sebuah parti serpihan Barisan Nasional.

40. Dalam senario ini, PAS sudah pasti akan bersama Mahathir, memandangkan segala apa yang berlaku akan memungkinkan penubuhan sebuah “Barisan Baru Nasional” yang mampu meraih majoriti undi dua pertiga dan menjurus kepada terbentuknya sebuah kerajaan perpaduan berteraskan Melayu-Islam buat julung kalinya di Malaysia.

Menurut khabar, inilah sebab utama DAP teragak-agak untuk keluar dari PH…

RUJUK DALIL 24-40 DALAM BAHAGIAN DUA DI SINI:

Lahirnya Barisan Baru Nasional (Bahagian Dua): Guan Eng mungkin jadi sasaran Mahathir seterusnya

Berikut merupakan sambungan kepada bahagian kedua, di mana dalam bahagian ini, saya akan merungkai opsyen ketiga yang ada pada Mahathir dan bagaimana opsyen ini akan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menguburkan DAP, PKR dan AMANAH buat selama-lamanya:

BAHAGIAN KETIGA: PENGISYTIHARAN DARURAT, PEMBUBARAN PARLIMEN

41. Artikel 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Parlimen dibubarkan, di mana perkara 2 Artikel berkenaan turut memberikan kuasa sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen.

42. Artilel 40 (1) pula menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Jemaah Menteri (yang diketuai oleh Perdana Menteri) atau seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, manakala perkara 2 Artikel yang sama turut menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya dalam melaksanakan fungsi-fungsi berikut:

a. melantik seorang Perdana Menteri;

b. tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

c. meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

43. Sekiranya pihak Polis Diraja Malaysia mempunyai cukup bukti berkenaan kewujudan usaha sulit di kalangan ahli-ahli politik untuk menghidupkan LTTE ataupun membawa masuk mana-mana kumpulan keganasan ke Malaysia, termasuk kumpulan militan dari Indonesia, Ketua Polis Negara, Dato’ Seri Hamid Bador, bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipenganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, boleh mencadangkan kepada Mahathir agar Pengisytiharan Darurat dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

44. Cadangan ini adalah bagi memberikan satu bidang “kuasa yang tidak terhingga” kepada Yang di-Pertuan Agong menurut peruntukan Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan di mana Baginda boleh menggubal undang-undang baru (Ordinan Darurat) yang difikirkan perlu selagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara masih belum bersidang.

 45. Pada dasarnya, Ordinan Darurat tidak semestinya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan melainkan dalam hal-hal melibatkan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan Bahasa yang tidak boleh diganggu gugat.

45. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong berpuas hati wujud ancaman kepada keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan, Baginda boleh bertindak atas nasihat Jemaah Menteri (yang diketuai Perdana Menteri) menurut peruntukkan Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan dan mengisytiharkan darurat sebelum bertindak membubarkan parlimen, juga atas nasihat Perdana Menteri.

46. Dalam senario ini, Yang di-Pertuan Agong boleh  melantik Mahathir untuk terus menerajui kerajaan persekutuan sebagai Perdana Menteri “penjaga” buat seketika bagi memberikannya ruang untuk membentuk sebuah kabinet interim, di mana selepas pembentukkan kabinet tersebut, Mahathir boleh ‘menasihatkan’ Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Ordinan-Ordinan Darurat bagi tujuan:

a. membenarkan pihak ketiga yang bukan dari kalangan ahli parlimen (yang akan disiasat) untuk menjawat jawatan Perdana Menteri “penjaga,” di mana pihak ketiga ini hendaklah individu yang faham akan selok belok politik, pentadbiran dan ekonomi negara serta tegas, tekun dan ikhlas melaksanakan tugas-tugas Perdana Menteri sepertimana ianya termaktub dalam perlembagaan persekutuan. 

b. membenarkan pilihanraya umum ditangguh melebihi tempoh enam puluh hari dari tarikh Parlimen dibubarkan agar kerajaan “penjaga” dapat “memperbetulkan dan menjernihkan” pentadbiran persekutuan sepanjang tempoh darurat sambil mambawa mereka yang cuba menimbulkan suasana huru-hara ke muka pengadilan atau mengenakan tindakan yang difikirkan sesuai dan perlu terhadap mereka.

47. Dalam tempoh ini, Perdana Menteri “penjaga” boleh, bersama Yang di-Pertuan Agong, Polis Diraja Malaysia dan RoS, bertindak mengharamkan terus kumpulan-kumpulan politik dan bukan politik yang difikirkan mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan, termasuk DAP, PKR dan AMANAH.

Bersambung (bahagian keempat)…



Your donation is much appreciated and will go a long way towards helping us serve you better. Click the donate button below to make a contribution (you don't need a Paypal account to donate through Paypal, simply follow the instructions once you click the button).


SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...