
“Rakyat sedang memerhati, dan berdasarkan sentimen rakyat di media sosial dan juga di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, peristiwa pendakwaan Sanusi di bawah Akta Hasutan 1948 telah mengubah beliau daripada menjadi “ikon popular” kepada “hero rakyat” dalam sekelip mata”
Raggie Jessy Rithaudeen
Pada halaman 44 Manifesto Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, gabungan itu berjanji untuk memansuhkan Akta Zalim dengan:
“Menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta zalim yang boleh disalahguna untuk menyekat kebebasan bersuara antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.”
Namun, semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahan penggunaan Akta Hasutan 1948 bagi mendakwa Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, kerana menurutnya, kenyataan Sanusi menyentuh kedudukan dan martabat institusi diraja.
TONTON: ISU SANUSI – SYABAS PENYOKONG PEMBANGKANG KERANA BERSIKAP MATANG, TAK IKUT JEJAK PH ATAU BN
Saya tidak ingin mempertikaikan apa-apa perkara berkait kes Sanusi kerana perkara ini akan diputuskan oleh mahkamah.
Apa yang ingin saya pertikaikan di sini ialah “flip flop” Pakatan Harapan terhadap janji manifestonya sendiri yang tidak bersyarat, berhubung penyemakan semula atau pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang dikatakan zalim.
Perlu ditekankan, bahawa tidak ada mana-mana syarat dalam janji manifesto Pakatan Harapan yang berbunyi:
“Penyemakan semula Akta Hasutan 1948 tertakluk kepada pengecualian, iaitu mana-mana kes yang menyentuh kedudukan dan martabat institusi diraja boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 dalam bentuk asal, walaupun akta itu dalam bentuk asalnya telah disifatkan sebagai zalim oleh pihak kami.”
Pada 21 Mac 2023, Ramkarpal mengesahkan bahawa kerajaan tidak bercadang memansuhkan Akta Hasutan “ketika ini” (ketika Ramkarpal membuat kenyataan), dan sehingga hari ini, belum ada sebarang perubahan kepada keputusan itu atau ‘penyemakan semula’ diumumkan.
Jadi kenapa Anwar tidak berterus terang?
Kenapa dakwa penggunaan Akta Hasutan 1948 dibenarkan dalam kes Muhammad Sanusi, kononnya kerana kes itu “menyentuh kedudukan dan martabat institusi diraja,” sedangkan kerajaan sudah memutuskan bahawa akta ini boleh digunapakai bagi sebarang kes?
Rakyat sedang memerhati, dan berdasarkan sentimen rakyat di media sosial dan juga di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (rujuk gambar di bawah), peristiwa pendakwaan Sanusi di bawah Akta Hasutan 1948 telah mengubah beliau daripada menjadi “ikon popular” kepada “hero rakyat” dalam sekelip mata.
Untuk mengakhiri artikel ini, saya memetik satu kenyataan yang dimuat naik oleh Fahmi Fadzil ke Twitter rasmi milik beliau (bertarikh 23 April 2021), berbunyi:
“Pendirian KEADILAN dan Pakatan Harapan dalam isu Akta Hasutan 1948 adalah ia perlu dimansuhkan.
“Peruntukan zalim dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga perlu dimansuhkan.
“Amat malang usaha reformasi ini terbantut dalam pentadbiran terdahulu.”
Salam Kuasa Ketiga

TONTON: PENDEDAHAN PENUH : PERKARA GANJIL TENTANG ANWAR DAN PENTADBIRANNYA, WAJIB DISIASAT SEGERA
#PMX #Anwar #AktaHasutan #Sanusi #PRN
