Raggie Jessy Rithaudeen
لانتيكن ڤوليتيك كونونڽ دتامتكن، لڤس ايت زاهيد عموم ڤلنتيكن كمبالي احمد جذلان سباڬاي ڤڠروسي فيلكرا
Media melaporkan bahawa bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, akan dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.
Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.
Persoalannya, bukankah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja mengumumkan bahawa perkhidmatan lantikan politik dalam badan berkanun di peringkat kerajaan pusat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan serta merta?
Bukan main lagi naratif pujian yang diwa-warkan oleh laskar-laskar siber pro-PKR dan UMNO di media sosial, kononnya Anwar berhati besar dan ‘serius’ melakukan reformasi dalam pentadbiran.
Apakah ini yang dimaksudkan dengan ‘reformasi’?
Menurut Zahid, biarpun Kabinet memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.
Bagaimana pula jika ahli GLC atau badan berkanun turut mendesak agar lantikan-lantikan yang terdahulu dibenarkan, adakah Zahid turut akan memutuskan untuk melantik semula mereka yang digugurkan?
