Laporan semalam bukti kerajaan kritikal…

“15 daripada 20 ahli parlimen Barisan Nasional yang menzahirkan sokongan mereka terhadap dasar belanjawan semalam ingin parlimen dibubarkan bulan depan agar Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan pada bulan Januari atau Februari 2021. Boleh jadi mereka inginkan pendanaan dari belanjawan untuk kempen propaganda menerusi peruntukan-peruntukan yang tidak masuk akal, misalnya, peruntukan RM85.5 juta kepada JASA”

Raggie Jessy Rithaudeen

لاڤورن سمالم بوقتي كراجأن كريتيكال…

Malam semalam, beberapa portal berita arus perdana menerbitkan satu kenyataan ringkas yang ditandatangani bersama oleh 20 anggota pentadbiran kerajaan, kesemuanya daripada Barisan Nasional (BN).

Dalam kenyataan itu, kesemua 20 ahli parlimen terbabit menzahirkan sokongan mereka supaya Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat dan pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.




Di sini, saya ingin membawa perhatian saudara-saudari kepada beberapa perkara:

1. Tidak pernah dalam sejarah tanah air sekumpulan ahli parlimen yang menjawat jawatan dalam kerajaan menandatangani kenyataan rasmi menyokong belanjawan di luar Dewan Rakyat.

2. Tindak tanduk ahli-ahli parlimen ini membuktikan keterdesakan kepimpinan Perikatan Nasional untuk meluluskan Belanjawan 2021, memandangkan komitmen yang dibuat oleh mereka disampaikan kepada umum menerusi media arus perdana, dua hari sebelum pengundian dasar belanjawan

3. Ahli-ahli parlimen terbabit sedia maklum bahawa Dewan Rakyat merupakan medium untuk mengundi dasar belanjawan, bukannya media arus perdana.

4. Namun, mereka terus menggunakan media arus perdana sebagai platform untuk mempengaruhi Dewan Rakyat, sekaligus mengenakan tekanan terhadap ahli-ahli parlimen lain dari Barisan Nasional untuk menyokong belanjawan.

5. Tekanan ini merupakan satu bentuk ‘ugutan’ dan salahguna kuasa oleh mereka yang bergelar anggota pentadbiran dan penghinaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

6. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan mengharuskan setiap ahli parlimen melaksanakan tanggungjawab berperlembagaan mereka sejajar dengan sumpah jawatan dan sumpah setia yang dilafazkan oleh mereka di Dewan Rakyat.

Loading...

7. Ini termasuklah tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat yang dipilih untuk menyokong atau menolak dasar belanjawan tanpa dipaksa atau diugut oleh mana-mana pihak, khususnya, pihak yang tidak terlibat secara langsung dengan Dewan Rakyat.

8. Ahli-ahli parlimen ini lupa bahawa Perlembagaan Persekutuan buta parti dalam banyak hal, khususnya, hal-hal melibatkan pelantikan Perdana Menteri dan ahli-ahli barisan Jemaah Menteri serta pengundian rang undang-undang.

9. Oleh kerana ahli-ahli parlimen ini berasal dari Barisan Nasional, ‘ugutan’ mereka boleh ditafsirkan sebagai campurtangan parti politik terhadap proses pengundian dasar belanjawan menerusi ‘ugutan’ parti tersebut terhadap ahli-ahli parlimen.

10. Memandangkan Barisan Nasional tidak sehaluan dengan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tindakan 20 ahli parlimen berkenaan turut merupakan bukti keterdesakan kepimpinan Perikatan Nasional untuk meluluskan Belanjawan 2021.

11. Saya difahamkan, bilangan ahli parlimen dari UMNO yang dijangka menolak Belanjawan 2021 setakat malam semalam melebihi 20 individu, termasuk empat atau lima ahli parlimen yang tidak menyokong dasar belanjawan tetapi mengambil pendirian “tunggu dan lihat.”

12. Manakala itu, terdapat juga sebilangan ahli parlimen dari PPBM yang dikatakan akan menolak Belanjawan 2021, walaupun jumlah sebenar ahli-ahli parlimen berkenaan tidak dapat dipastikan.

13. Tidak mustahil angka-angka ini berubah esok apabila pengundian dibuat, kerana di dalam politik, 24 jam adalah tempoh yang cukup lama untuk membenarkan pihak pentadbiran membuat pencaturan atas dasar “political survival.”

14. Saya difahamkan, ada juga di antara 20 ahli parlimen yang menzahirkan sokongan mereka terhadap belanjawan berbuat demikian semata-mata untuk cuba mengubah fikiran ahli-ahli parlimen dari Barisan Nasional yang sah menentang belanjawan.

15. Walaupun tidak sehaluan dengan Muhyiddin dan inginkan kerajaan tumbang, kumpulan ini belum bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 kerana khuatir akan kalah dalam pilihan raya tersebut.

16. Atas sebab itulah mereka menzahirkan sokongan mereka terhadap dasar belanjawan. Hakikatnya, mereka ingin parlimen dibubarkan bulan depan agar Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan pada bulan Januari atau Februari tahun depan.

17. Boleh jadi mereka inginkan pendanaan dari belanjawan untuk kempen propaganda menerusi peruntukan-peruntukan yang tidak masuk akal, misalnya, peruntukan RM85.5 juta kepada JASA.

18. Walaubagaimanapun, sekiranya ‘ugutan’ mereka gagal dan ahli-ahli parlimen dari Barisan Nasional yang menentang Belanjawan 2021 tidak berganjak, mereka mungkin sepakat menolak belanjawan tersebut agar tidak ‘terpinggir’ atau ‘dipulaukan’ sekiranya kerajaan baharu terbentuk.

19. Apa pun, tandatangan 20 ahli parlimen yang diumumkan semalam tidak membawa sebarang makna dari segi perlembagaan mahupun politik.

20. Ini kerana ahli-ahli parlimen yang menzahirkan sokongan mereka terhadap belanjawan sebelum tarikh mengundi berhak mengubah fikiran mereka pada hari pengundian tanpa boleh dipaksa atau ‘diugut’ oleh mana-mana pihak.

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...