“Menilai semula gaya PM berucap dalam mesyuarat bersama kedua-dua negara, ia mempotretkan kepada kita satu perkara: keyakinan PM dalam tindakannya untuk membawa negara kita ke depan menjadikan kita bangga”
Salleh Said Keruak
1. Lawatan PM bersama delegasi ke Amerika atas jemputan Presiden Trump pada 11 hingga 13 September mempunyai tiga makna besar kepada negara kita.
2. Pertama, ia membuktikan AS mengiktiraf peranan negara kita sebagai rakan strategik utamanya di rantau Asia. Kedua, ia menunjukkan Amerika mengiktiraf negara kita sebagai pemain global dalam politik dunia. Ketiga, ia penting untuk meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara. Yang diraikan dalam hubungan ini ialah sikap saling membantu demi kepentingan bersama.
3. Apa yang boleh kita bantu Amerika? Dengan optimis, pada pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Trump, PM menyatakan “kami datang ke sini dengan membawa [tiga] cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS.”
4. Bagaimanakah bentuk bantuan itu? Pertama, komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat. Kedua, berhasrat membuat pelaburan tambahan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana Amerika selepas telahpun melabur hampir AS$7 bilion dari segi ekuiti di negara itu. Ketiga, berhasrat meningkatkan pelaburan Malaysia di Silicon Valley yang sekarang ini kita telahpun melabur sebanyak AS$400 juta di situ.
5. Hebat keazaman PM kita, membawa tiga cadangan ke Amerika kerana kita mahu meningkatkan lagi Amerika sebagai rakan dagang kita. Sekarang ini Amerika adalah rakan dagang kedua terbesar selepas Jepun.
6. Lihat data ini. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2016 hingga Mei 2017, jumlah dagangan negara kita dengan Amerika meningkat 23.3 peratus daripada RM55.3 bilion (US$13.5 bilion) pada tahun 2016 kepada RM68.2 bilion (US$15.4 bilion) pada tahun 2017. Dengan lawatan ini, kita berazam untuk meningkatkannya lagi ke satu jumlah dagangan yang lebih besar.
7. Bila PM katakan akan membeli 25 pesawat Boeing 737, ramai terkejut. Untuk apa? Mampukah? Untungkah? Pakar ekonomi menyatakan tidak ada masalah. Prof. Yeah Kim Leng dari Sunway University Business School menyatakan “the plan to buy Boeing planes was a good move.” Penganalisis ekonomi bebas Hoo Ke Ping juga sependapat. Katanya MAS sekarang ini sebenarnya merekodkan “financial growth for this year.” CEO MAS, Peter Bellew sendiri pada minggu lepas menyatakan hasil penumpang MAS pada suku kedua tahun ini meningkat sebanyak 8%.
8. Jika begitu datanya, bagaimana boleh kita katakan Malaysia negara gagal? Jika negara gagal, kita tentunya tidak ada upaya untuk membantu Amerika. Justeru, hentilah dakyah dan propaganda yang boleh merugikan negara dengan menyatakan kita sebuah negara “kleptokrasi” dan ” a failed state.” Sampailah masanya kita bersikap optimis, memandang usaha PM untuk memperkembangkan pelaburan negara di Amerika sebagai sesuatu yang positif untuk negara.
9. Menilai semula gaya PM berucap dalam mesyuarat bersama kedua-dua negara, ia mempotretkan kepada kita satu perkara: keyakinan PM dalam tindakannya untuk membawa negara kita ke depan menjadikan kita bangga. Amerika sendiri sudah pun mengiktiraf kita sebagai pemain politik global yang penting dalam menyumbang kepada keamanan sejagat. Tahniah!
Source: sskeruak.blogspot.my
