Lim Guan Eng patut beri laluan pada Anwar jadi Menteri Kewangan

“Sekiranya Lim jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh pula mengambil alih tugas Menteri Kewangan sementara menunggu gilirannya untuk menjadi Perdana Menteri”

Ng Lum Yong

Saya begitu hairan bagaimana Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng, boleh begitu lantang mengkritik dan masuk campur urusan pelbagai kementerian lain yang bukan di bawah naungannya.

Misalnya, pada 21hb November 2018, beliau mendesak MCA memutuskan hubungan parti Cina itu dengan Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sekiranya institusi-institusi tersebut inginkan peruntukkan lebih dari kerajaan pusat.

Bukankah Lim selaku Menteri Kewangan seharusnya membincangkan perkara tersebut terlebih dahulu dengan Menteri Pendidikan?

Bukankah ianya tugas Menteri Pendidikan untuk mengeluarkan kenyataan seperti itu sekiranya benar kerajaan inginkan MCA putuskan hubungan dengan TARC dan UTAR sebelum institusi-institusi tersebut boleh diberikan peruntukan yang lebih?


Memandangkan Menteri Pendidikan kita, Dr Maszlee Malik, tidak mengeluarkan sebarang komen berkenaan kenyataan Lim, bolehkah kita anggap bahawa beliau bersetuju dengan Lim?

Nampaknya Lim tidak kenal batas dalam menjalankan tugasnya sebagai Menteri Kewangan dan menganggap bahawa beliau boleh mengeluarkan apa-apa juga kenyataan bagi pihak menteri-menteri lain.

Contohnya, pada 2hb Januari 2019, beiau terus mewakili Kementerian Pengangkutan dalam mempertahankan perlunya Transport Masterplan di Pulau Pinang dengan berhujah bahawa Putrajaya tahu betapa seriusnya masalah kesesakan lalulintas di Pulau Pinang.

Apakah semua menteri di Putrajaya sedang tidur dan hanya bergantung kepada kenyataan dari Menteri Kewangan sahaja?

Bukankah lebih elok Lim jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekiranya ingin campurtangan dalam hal-hal yang melibatkan kementerian-kementerian lain?

Saya fikir ini satu jalan penyelesaian yang terbaik.

Ini memandangkan orang-orang Melayu sendiri sudah mula marah dengan Lim kerana beliau membenarkan Bangsa DAP mengambil alih aset-aset Tabung Haji secara tidak langsung menerusi “Special Purpose Vehicle” di bawah kementeriannya.

Sekiranya Lim jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh pula mengambil alih tugas Menteri Kewangan sementara menunggu gilirannya untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar mampu meredakan kemarahan orang-orang Melayu dan berpengalaman luas dalam hal-hal bersangkut paut kewangan negara memandangkan beliau pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dari tahun 1991 hingga 1998.

Di samping itu, beliau turut boleh membantu isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, melaksanakan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan lebih cekap memandangkan Anwar sendiri adalah Presiden PKR dan boleh membuat keputusan-keputusan berkenaan kewangan negara dengan lebih berkesan.

Ini sekaligus akan membenarkan Wan Azizah membantu Mahathir dalam merangka polisi-polisi negara setelah berbincang dengan Anwar perkara-perkara yang perlu diuat bagi meningkatkan prestasi ekonomi negara.

Bukankah ini jalan penyelesaian yang terbaik?

Ng Lum Yong merupakan Presiden Pertubuhan Jaringan Rakyat Malaysia

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...