“Jika DUN Pulau Pinang tidak dibubarkan, bukan hanya Barisan Nasional akan ‘hilang’ kelebihan ini, kempen gabungan itu akan terjejas teruk berbanding tahun 2008, 2013 dan 2018”
Raggie Jessy Rithaudeen
Saya mendengar ulasan seorang penyokong tegar Najib, yang mendakwa, jika kerajaan negeri yang dipimpin pembangkang enggan bubar DUN masing-masing, ia akan memudahkan lagi Barisan Nasional untuk menakluki negeri-negeri berkenaan kelak.
Biar saya jelaskan betapa tersasarnya penjelasan ini dari landasan kebenaran.
Untuk memdudahkan penjelasan ini, saya akan ambil kawasan parlimen Bukit Gelugor di Pulau Pinang sebagai contoh.
Kerajaan Pulau Pinang (DAP) telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN, manakala kawasan parlimen Bukit Gelugor merangkumi tiga kawasan DUN – Air Itam, Paya Terubong dan Seri Delima.
Sekiranya DUN Pulau Pinang dibubarkan serentak, sudah pasti Barisan Nasional (pembangkang) akan meletakkan calon-calon MCA yang rapat dengan persatuan-persatuan dan tokong-tokong Cina yang berpengaruh di Pulau Pinang bagi tiga kawasan berkenaan.
Calon-calon ini lazimnya orang yang berpengaruh atau berkait dengan orang berpengaruh di peringkat negeri dan ada cara tersendiri untuk mengumpulkan beratus ribu (dan kadang kala berjuta) ringgit setiap seorang dalam bentuk dana politik.
Sekalipun individu yang dicalonkan tidak berpengaruh, parti yang menajanya boleh menggunakan pencalonannya sebagai alasan untuk mendapatkan lebih banyak sumbangan politik daripada taikun-taikun, persatuan-persatuan atau mana-mana individu atau kumpulan yang menyokong parti berkenaan.
Dengan adanya mekanisme pendanaan ini, kemampuan Barisan Nasional untuk memperkasakan jentera pilihan raya di seluruh kawasan parlimen Bukit Gelugor akan bertambah berlipat kali ganda.
Kerajaan negeri (DAP) pula tidak boleh menjanjikan terlalu banyak projek pembangunan tanpa bantahan Barisan Nasional atau SPR, kerana jika DUN bubar, janji-janji sedemikian tidak dibolehkan dan mungkin disifatkan sebagai “sogokkan” atau “rasuah” politik.
Kesimpulannya, jika DUN Pulau Pinang bubar serentak dengan parlimen, Barisan Nasional (pembangkang) akan mempunyai kelebihan pendanaan dan jentera tambahan yang agak besar yang akan memudahkan urusan kempen Pilihan Raya.
Saya tahu, kerana saya sendiri terlibat secara langsung dalam kempen Pilihan Raya di kawasan parlimen Bukit Gelugor dan DUN Seri Delima pada 2008, apabila Datuk Koay Kar Huah (MCA) menentang mendiang Karpal Singh (DAP) di Bukit Gelugor dan Loh Nam Hooi (MCA) menentang RSN Rayer (DAP) di Seri Delima.
Pada masa itu, Barisan Nasional memegang kerajaan Negeri, dan saya masih lagi membantu gabungan itu dan terlibat bersama kempen Koay Kar Huah.
Saya kerap bertemu dengan Koay Kar Huah di bilik gerakan MCA dekat kawasan Seri Delima untuk membantu dalam urusan analisis pengundi putih, kelabu dan hitam.
Saya melihat sendiri bagaimana pembubaran DUN serentak membantu DAP dari segi pendanaan, dan pada ketika itu, DAP sudah mula merapati persatuan-persatuan Cina dan orang-orang berpengaruh seperti Tan Sri Tan Kok Ping dan Khor Teng Tong, antara lain.
Saya masih ingat lagi perbualan saya dengan Kay Kar Huah berhubung ‘kesilapan’ strategi pembubaran DUN.
Namun, kali ini, DUN Pulau Pinang tidak dibubarkan.
Disebabkan itu, bukan hanya Barisan Nasional (pembangkang) akan ‘hilang’ kelebihan pendanaan dan jentera yang teramat besar, kempen gabungan itu dijangka terjejas teruk berbanding tahun 2008, 2013 dan 2018.
Manakala itu, kerajaan negeri (DAP) boleh terus menabur seribu satu janji projek pembangunan di seluruh kawasan parlimen Bukit Gelugor tanpa dituduh menyogok pengundi.
Malah, disebabkan kerajaan negeri masih berfungsi, boleh ada perjanjian-perjanjian baharu dan penyaluran dana terus bagi projek-projek yang menguntungkan rakyat Bukit Gelugor.
Kesimpulannya, prestasi Barisan Nasional yang merosot secara konsisten di Pulau Pinang sejak 2008 dijangka merosot lebih teruk kali ini.
Dan memandangkan persatuan-persatuan dan tokong-tokong Cina amat berpengaruh di Pulau Pinang, saya yakin pemimpin-pemimpin DAP akan memasuki perjanjian-perjanjian baharu yang akan menguntungkan persatuan-persatuan dan tokong-tokong ini.
Nampak?
Bila sampai masa untuk bubarkan DUN Pulau Pinang, ahli-ahli parlimen yang menang Pilihan Raya Umum ke-15 (andai kata DAP menang) boleh bekerja keras bagi tempoh beberapa bulan untuk memastikan bahawa rakyat di semua kawasan DUN melihat sendiri bagaimana ahli-ahli parlimen ini berjuang untuk mereka di Dewan Rakyat.
Jadi siapa kata Barisan Nasional mudah menakluki negeri-negeri yang tidak membubarkan DUN?
