Raggie Jessy Rithaudeen
Malaysiakini menulis:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menolak cadangan Kelab Veteran Umno supaya Bersatu dibubarkan dan menyertai Umno.
Bercakap pada sidang media, dia menyindir bahawa, cadangan sebaliknya yang sepatutnya dikemukakan.
Muhyiddin turut mengingatkan setiausaha kelab itu, Mustapha Yaakub bahawa Bersatu mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen berbanding Umno.
“Yang cakap pun saya kenal, Datuk mustapha kawan lama saya. Dia kata bubar (Bersatu), masuk Umno, tak semudah itu.
“Kenapa Umno tak bubar, masuk Bersatu? Kenapa?” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pejabat Bersatu di Bahau, Negeri Sembilan awal hari ini.
Izinkan saya dendang beberapa fakta buat tatapan para penganalisis dan pembaca:
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, jumlah undi yang diperolehi UMNO ialah 16.1% – tertinggi berbanding semua parti lain, termasuk PAS (14.54%).
Namun, PAS mendapat jumlah kerusi terbanyak disebabkan undi PAS bertumpu di beberapa negeri, manakala undi UMNO lebih berselerak di seleruh semenanjung.
Ini bermakna, jika UMNO mendapat undi Cina pada PRU16, jumlah kerusi parti itu akan meningkat secara mendadak, satu kelebihan yang tidak ada pada Bersatu atau PAS.
Bersatu hanya dapat 13.53% undi, namun jumlah kerusinya (31) melebihi UMNO sebanyak 5 kerusi.
Tetapi tahukah anda, beberapa kerusi ini dimenangi atas ehsan PAS, di mana calon yang menang menggunakan logo PAS di negeri yang dipegang PAS.
Itu pun, 6 MP dari Bersatu dah berpaling tadah, dan Bersatu kini hanya memiliki 25 kerusi, dan daripada jumlah ini, ada yang Pro Datuk Seri Hamzah Zainuddin (majoriti) dan ada yang Pro Muhyiddin (minoriti).
Maknanya, Bersatu kurang “bersatu” dan wakil rakyatnya “kurang setia,” dan hakikat ini makin disedari oleh pengundi Melayu. PAS dan Bersatu juga terang-terang tidak sehaluan dalam banyak perkara, termasuk pilihan calon Perdana Menteri.
Pada PRU16, Bersatu dijangka kalah kepada UMNO di hampir semua kerusi di Semenanjung yang ada sekurang-kurangnya 10-12% pengundi Cina.
Dan berdasarkan data PRK Mahkota dan Ayer Kuning, sudah ada sedikit peralihan undi Melayu dari PN ke BN, dan sudah muncul jalur kecil pengundi atas pagar dari kalangan penyokong asal PN.
Kalau tak sedar diri dan terus beretorika seperti “Maharaja Kubu Kosong,” saya cadangkan Bersatu beri laluan kepada pemimpin yang lebih berkemampuan untuk mengemudi kapal.
Nampaknya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jauh lebih berakal dan mahir mengemudi kapal berbanding kepimpinan teratas Bersatu, khususnya, presiden Bersatu merangkap pengerusi PN. Bukan niat saya untuk mengutuk, ini hakikat.
Faktor ini mungkin mendorong lebih ramai pengundi Melayu muda progresif untuk menyokong UMNO pada PRU16, yang saya jangka akan diadakan hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.
