“Dari awal lagi saya dah katakan, memang wujud “kumpulan duduk atas pagar” dalam AMANAH dan juga PKR. Kumpulan ini kini sudah bergelar “kumpulan penyokong Mahathir” setelah pengkhianatan Anwar dikesan oleh DAP dan AMANAH”
Raggie Jessy Rithaudeen
محضير دجڠك كمبالي ڤڠروسي ڤاكتن هارڤن
Buat pertama kali semenjak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan ahli UMNO, DAP tidak lagi menaruh keyakinan terhadapnya.
Buat pertama kali semenjak Pakatan Rakyat ditubuhkan, DAP dan PKR tidak lagi sehaluan.
Dan buat pertama kali selepas Pakatan Harapan ditubuhkan, DAP berani menentang Anwar secara terbuka sambil menamakan orang yang pernah bergelar “musuh ketat Anwar,” Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai calon Perdana Menteri.
Jumaat lalu, DAP dan AMANAh secara terbuka menyeru PKR untuk mematuhi konsensus yang dicapai oleh Pakatan Harapan berhubung pencalonan Mahathir seandainya Anwar gagal mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen.
Sebelum itu, pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, mengecam setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, kerana mempersoal kesetiaan AMANAH dan DAP terhadap Anwar.
Semalam pula, kedua-dua Khalid dan Anthony Loke membidas seorang pemimpin PKR, Lee Chean Chung, yang mendakwa hanya Anwar dinamakan sebagai calon Perdana Menteri oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan.
Dalam kenyataan bersama, Loke dan Khalid menasihatkan Lee agar “memeriksa dulu minit mesyuarat sebelum bercakap” memandangkan Lee tidak hadir ke mesyuarat berkenaan kerana bukan ahli Majlis Pimpinan Tinggi.
Kenyataan-kenyataan ini jelas mempamirkan kemarahan DAP dan AMANAH terhadap Anwar hingga sanggup menentangnya secara terbuka sambil menyebelahi orang yang pernah bergelar musuh ketatnya.
Sebelum ini, kedua-dua DAP dan AMANAH mampu bersabar dengan pelbagai kerenah Anwar kerana begitu yakin hubungan silaturahim antara PKR, DAP dan AMANAH tidak mampu diuraikan oleh mana-mana pihak biar apa pun terjadi.
Malangnya, perkara ini terbukti tidak benar.
Baru-baru ini, Anwar dikatakan menerima tawaran daripada seorang dua pemimpin Perikatan Nasional untuk membawa masuk PKR secara en bloc ke dalam gabungan berkenaan dan dikatakan bersetuju dengan tawaran tersebut biarpun terpaksa memutuskan hubungan dengan DAP dan AMANAH.
Saya difahamkan, perkara ini sudahpun diketahui oleh ketiga-tiga Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan Mahathir.
DAP dan AMANAH mula kenal siapa sebenarnya Anwar Ibrahim dan sedar bahawa beliau tidak lagi boleh dipercayai kerana tergamak mengkhianati sesiapa sahaja untuk mecapai matlamatnya menjadi Perdana Menteri.
Sebenarnya, pihak yang mempelawa Anwar (yang tidak ingin saya namakan) terdesak kerana sikap tamak wang, kuasa dan kedudukan yang dipamirkan oleh sekumpulan ahli-ahli parlimen dari UMNO (Team A, dianggotai oleh sembilan ahli parlimen).
Kumpulan ini dikatakan sedang merancang untuk meruntuhkan kerajaan persekutuan bagi mencetuskan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan mengisytiharkan tidak sokong Perikatan Nasional secara terbuka.
Andaikata Team A benar-benar berbuat demikian dan PAS turut serta, bilangan ahli parlimen yang akirnya akan menarik diri dari Perikatan Nasional akan berjumlah seramai 27 orang.
Jika Anwar berjaya membawa kesemua 38 ahli parlimen PKR untuk menyertai Perikatan Nasional, ini akan memberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin lebihan 11 kerusi parlimen, sekaligus mengukuhkan kedudukan pentadbirannya dengan majoriti 125 kerusi.
Tetapi perkara ini tidak akan berlaku. Sebabnya:
1. Kem Azmin (blok kerajaan, 10 ahli parlimen) akan menarik diri jika Anwar dibawa masuk
2. Kem Azmin (blok PKR, lima ahli parlimen) tidak akan sertai Anwar kerana tidak yakin Perikatan Nasional stabil
3. GPS (18 ahli parlimen dari Sarawak) akan menarik diri jika Anwar dibawa masuk
4. Team B UMNO (blok Mahathir, lebih 15 ahli parlimen) akan menarik diri jika Anwar dibawa masuk atau jika Team A bertindak keluar
5. PPBM (blok Mahathir dari kerajaan, 10 ahli parlimen) akan menarik diri jika Anwar dibawa masuk
6. Anwar tidak akan mampu membawa lebih dari 25 ahli parlimen PKR masuk ke dalam Perikatan Nasional.
Ini menjadikan jumlah ahli parlimen yang mungkin akan meninggalkan Perikatan Nasional seramai 58 orang, di mana majoriti ahli-ahli parlimen ini memang dari dulu lagi ingin membentuk sebuah gabungan politik baharu bersama Mahathir, tanpa Anwar.
Ini adalah congakkan kasar, di mana saya sengaja mengandaikan ada beberapa ahli parlimen dari UMNO yang akan kekal bersama Muhyiddin.
Hakikatnya, jika Team A bertindak tarik sokongan terhadap Perikatan Nasional, Team B akan turut serta walaupun tidak sehaluan dengan Team A dari segi matlamat dan hala tuju politik.
Ini memandangkan Team B dari awal lagi tidak menyukai Anwar, tidak bersetuju dengan Langkah Sheraton dan bengang dengan tindakan Team A mencantas perancangan ke arah perpaduan lebih menyeluruh bersama PAS, PKR (kem anti-Anwar), PPBM dan AMANAH.
Jika Team A dan Team B kedua-duanya keluar, PAS akan turut serta, menjadikan jumlah keseluruhan ahli parlimen dari Barisan Nasional dan PAS yang keluar seramai 61 orang (tanpa mengambil kira GPS dan PPBM).
Jika keruntuhan Perikatan Nasional tidak dicetusan oleh Team A, tidak mustahil ianya akan dicetuskan oleh Team B sebelum ahli-ahlinya bertindak mengalihkan sokongan mereka ke kem Mahathir.
Justeru, tidak kira samada Team A atau Team B yang mencetuskan keruntuhan Perikatan Nasional, keputusan akhirnya tetap sama, iaitu peralihan sokongan UMNO, PAS, GPS dan mungkin juga kem Azmin dan sebilangan tertentu ahli-ahli parlimen dari PPBM ke kem Mahathir.
Kesemua ini benar asalkan Anwar tidak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri. Ini bermakna Anwar tidak lagi relevan, dan perkara ini sudahpun disedari oleh AMANAH dan DAP, termasuk ahli-ahli parlimen dari PKR yang sebelum ini duduk atas pagar.
Dari awal saya dah katakan, memang wujud “kumpulan duduk atas pagar” dalam AMANAH dan juga PKR. Kumpulan ini kini sudah bergelar “kumpulan penyokong Mahathir” setelah pengkhianatan Anwar dikesan oleh DAP dan AMANAH.
Dengan pengkhianatan ini dan kesedaran bahawa Pakatan Harapan mampu meraih sokongan majoriti dari Sabah, Sarawak, UMNO, kem Azmin dan juga PPBM, DAP dan AMANAH buat pertama kalinya berani mengenepikan Anwar dan menyuarakan secara terbuka sokongan mereka terhadap Mahathir.
Dan memandangkan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan dianggotai oleh DAP, AMANAH dan PKR, kata putus dari DAP dan AMANAH secara kolektif merupakan kata putus Pakatan Harapan biarpun tidak dipersetujui oleh PKR.
Dengan ini, bukan hanya Mahathir tidak perlukan partinya sendiri, dia boleh dilantik menjadi pengerusi Pakatan Harapan yang baharu untuk menjamin sokongan dari ahli-ahli parlimen Sabah, Sarawak, PPBM, kem Azmin dan Team B (UMNO).
Dalam erti kata lain, bukan hanya Anwar tidak lagi mampu mengawal PKR, Pakatan Harapan kini bukan lagi berada di bawah pengaruhnya, tetapi di bawah pengaruh bersama AMANAH, DAP dan kem Mahathir.
Bersambung…
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
