“Saya dengan ini bersetuju jika Yang Di-Pertuan Agong bertindak mengisytiharkan Darurat menurut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan dan mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menerajui kerajaan dan berganding bahu dengan Baginda Tuanku untuk memperkenalkan Ordinan-Ordinan Darurat yang ketat agar sosioekonomi dan sosiopolitik negara dapat dipulihkan seperti sediakala”
Raggie Jessy Rithaudeen
1. Artikel 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Parlimen dibubarkan, di mana perkara 2 Artikel berkenaan turut memberikan kuasa sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen.
2. Artilel 40 (1) pula menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Jemaah Menteri (yang diketuai oleh Perdana Menteri) atau seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, manakala perkara 2 Artikel yang sama turut menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya dalam melaksanakan fungsi-fungsi berikut:
a. melantik seorang Perdana Menteri;
b. tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
c. meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,
3. Sekiranya Yang Di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa Agama Bangsa dan Negara tenat bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, Baginda Tuanku boleh bertindak mencadangkan kepada Muhyiddin agar beliau berundur bersama barisan Jemaah Menteri.
4. Cadangan ini boleh dibuat secara umum oleh pihak Istana Negara agar Muhyiddin memandangnya secara serius dan tertekan untuk memberikan maklum balas yang sewajarnya tanpa cuba menyelindunginya daripada rakyat jelata.
5. Sekiranya Muhyiddin tunduk pada cadangan ini dan berundur, menurut peruntukan-peruntukan Perkara 43(2), 43(3) dan 43(5) Perlembagaan Persekutuan, seluruh kabinet tidak boleh berfungsi secara biasa.
6. Justeru, peletakan jawatan Perdana Menteri turut membawa maksud peletakan jawatan seluruh anggota Kabinet.
7. Dalam situasi sebegini, pihak yang paling berkuasa ialah Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang tersebut di bawah:
Perkara 32(1): Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana- mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.
Perkara 39: Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.
8. Jika dikaji Perkara 32(1) dan Perkara 39, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kuasa yang ada padanya untuk melantik seorang Perdana Menteri sementara, yakni Perdana Menteri Interim (atau Caretaker), sehingga Jemaah Menteri baru dilantik menurut peruntukan-peruntukan Perkara 40(2) dan 40(2)(a), 43(1) dan 43(2), yang berbunyi:
40 (2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;
43 (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam: penjalanan fungsinya.
(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu:
(a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan
(b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen;
9. Atas kuasa-kuasa ini, Yang Di-Pertuan Agong boleh bertindak menemuramah kesemua ahli parlimen untuk mengenalpasti siapa di kalangan mereka yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
10. Saya mencadangkan, setelah mengenalpasti individu itu, Yang Di-Pertuan Agong bertemu dengannya terlebih dahulu untuk menentukan jika dia sependapat bahawa Agama Bangsa dan Negara tenat disebabkan sikap ahli-ahli parlimen yang kemaruk Wang, Kuasa dan Kedudukan (WKK) dan sebarang usaha membentuk kerajaan baharu tidak akan membawa perubahan nyata.
11. Sekiranya Yang Di-Pertuan Agong berpuas hati dengan calon Perdana Menteri itu dan berpendapat bahawa calon itu berniat menstabilkan politik negara sementara menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, Baginda Tuanku boleh bertindak melantiknya sebagai Perdana Menteri.
12.Sejurus selepas itu, Yang Di-Pertuan Agong boleh bertindak mengisytiharkan darurat atas nasihat Perdana Menteri yang baharu itu sebelum bertindak membubarkan parlimen, juga atas nasihat Perdana Menteri.
13. Pengisytiharan ini perlu dibuat selaras dengan peruntukkan Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat sekiranya Baginda Tuanku berpuas hati wujud ancaman kepada keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan
14. Ini sekaligus memberikan satu bidang “kuasa yang tidak terhingga” kepada Yang di-Pertuan Agong menurut peruntukan Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan di mana Baginda boleh menggubal undang-undang baru (Ordinan Darurat) yang difikirkan perlu selagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara masih belum bersidang.
15. Pada dasarnya, Ordinan Darurat tidak semestinya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan melainkan dalam hal-hal melibatkan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan Bahasa yang tidak boleh diganggu gugat.
16. Dalam senario ini, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak melantik Perdana Menteri baharu tadi untuk terus menerajui kerajaan persekutuan sebagai Perdana Menteri “penjaga” bagi memberikannya ruang untuk membentuk sebuah kabinet interim, di mana selepas pembentukkan kabinet tersebut, Perdana Menteri boleh ‘menasihatkan’ Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Ordinan-Ordinan Darurat baharu bagi tujuan-tujuan berikut:
a. membenarkan pihak-pihak ketiga yang bukan dari kalangan ahli parlimen tetapi faham akan selok belok politik, pentadbiran dan ekonomi negara serta tegas, tekun dan ikhlas melaksanakan tanggungjawab keapda Agama, Bangsa dan Negara untuk membantu kerajaan dalam kapasiti rasmi bagi memperbetulkan keadaan, dan
b. membenarkan pilihanraya umum ditangguh melebihi tempoh enam puluh hari dari tarikh Parlimen dibubarkan agar kerajaan “penjaga” dapat “memperbetulkan dan menjernihkan” pentadbiran persekutuan sepanjang tempoh darurat sambil mambawa mereka yang cuba menimbulkan suasana huru-hara ke muka pengadilan atau mengenakan tindakan yang difikirkan sesuai dan perlu terhadap mereka.
17. Dalam tempoh ini, Perdana Menteri “penjaga” boleh, bersama-sama Yang di-Pertuan Agong, Polis Diraja Malaysia dan RoS, bertindak mengharamkan terus kumpulan-kumpulan politik dan bukan politik yang difikirkan mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan, termasuk Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.
18. Sudah tiba masanya untuk kita rakyat Malaysia mengakui kerakusan kuasa puak pentadbir pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama UMNO dan PAS serta politik “dua darjat,” “petik dalil” dan “Wang, Kuasa serta Kedudukan” (WKK) yang dilihat menjadi asas dan tonggak perjuangan menteri-menteri kerajaan dan ahli-ahli parlimen pro-kerajaan.
19. Sudah tiba masanya untuk kita mengakui ancaman puak pentadbir ini terhadap Agama, Bangsa dan Negara, di mana ancaman ini sungguh hebat dan tidak pernah jadi sepertinnya di zaman-zaman pentadbiran sebelum ini.
20. Tatkala puak pentadbir bermaharajalela dengan politik “dua darjat,” “petik dalil” dan “Wang, Kuasa serta Kedudukan” (WKK), rakyat jelata makin seksa akibat daripada sikap kerajaan yang memerintah secara “kuku besi” dan menghukum orang awam atas kesalahan-kesalahan kecil.
21. Tatkala menteri dan ahli-ahli parlimen terang-terang melanggar SOP di peringat persekutuan dan di Sabah, hamba-hamba Tuanku diheret ke Mahkamah dan dikenakan tindakan begitu tegas walaupun sekadat “memakai topeng muka dengan cara yang tidak betul.”
22. Ramai mengalami pelbagai kesempitan hidup akibat dari wabak Covid-19 tatkala pentadbiran persekutuan sibuk bercakaran, bercatur kuasa dan kedudukan serta mengayakan diri masing-masing dengan pengagihan jawatan dalam kadar yang tidak pernah dilihat sepertinya sebelum ini, berbekalkan dana negara milik rakyat yang sepatutnya digunakan untuk membantu hamba-hamba Tuanku.
23. Pentadbiran persekutuan turut sibuk bercatur menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri pilihan rakyat tatkala wabak Covid-19 melanda sehingga tumbangnya beberapa kerajaan negeri secara “pintu belakang” dan tercetusnya Pilihan Raya Negeri di Sabah.
24. Saya dengan ini bersetuju jika Yang Di-Pertuan Agong bertindak mengisytiharkan Darurat menurut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan dan mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menerajui kerajaan dan berganding bahu dengan Baginda Tuanku untuk memperkenalkan Ordinan-Ordinan Darurat yang ketat agar sosioekonomi dan sosiopolitik negara dapat dipulihkan seperti sediakala.
BACA JUGA:
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
