Mana suara agamawan Pakatan Harapan apabila Nabi dihina

Isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh segelintir orang bukan Islam yang biadap telah mengingatkan kita bagaimana maruah ar-Rasul yang mulia sentiasa menjadi perlecehan musuh Islam. Sumber (gambar): TTF

Dr Riduan Mohamad Nor

SYABAS dan tahniah kepada anak-anak muda PAS serta NGO Islam yang prihatin terhadap isu penghinaan terhadap baginda ar-Rasul SAW. Marak dan membuncah kemarahan terhadap status Wendy Loong, sang biadap yang begitu berani menghina Nabi  sehingga laporan polis dibuat di seluruh negara. Mungkin merasakan mereka kebal undang-undang serta dilindungi maka pemaki dan penghina Nabi Muhammad di negara ini semakin bermaharajalela. Kurang daripada empat bulan lepas isu menghina Nabi telah memicu perhatian rakyat, kini berulang kembali sehingga kita semua bertanya apa peranan agamawan, ilmuan agama dalam PH. Mereka sendawa kekenyangan atau mereka ini memang terompah kayu yang hanya digunakan untuk menyerang PAS?

Isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh segelintir orang bukan Islam yang biadap telah mengingatkan kita bagaimana maruah ar-Rasul yang mulia sentiasa menjadi perlecehan musuh Islam. Di zaman Rasulullah, An Nadhar bin al Harith, Uqbah bin Abu Muit antara sosok tegar yang sentiasa menghina nabi di Mekah, manakala Kaab bin Ashraf seorang bangsawan Yahudi adalah penghina Rasulullah SAW di Madinah.

Penghinaan terhadap Nabi SAW tidak pernah berhenti sebagaimana yang dirakam dalam sejarah, apatah lagi umat Islam yang kehilangan Khilafah dengan tumbangnya Khilafah Islam yang terakhir di Turki pada tahun 1924. Tumbangnya Khalifah bermakna umat Islam tidak mempunyai tempat pergantungan dan penjaga kepada maslahat umat Islam. Pada tahun 1989 Salman Rushdie telah menghina Nabi SAW melalui karya bejatnya The Satanic Verses. Protes demi protes umat Islam tidak menggerunkan kuasa kuffar untuk terus menghina Islam dan Nabi SAW kerana tanpa kekuasaan pemerintahan Islam, mereka tahu tempikan itu hanya akan dibawa angin lalu. Salman, bahkan mendapat gelaran “sir” daripada istana England kerana sikap konsisten beliau menyerang Islam.


Kenyataan ini mempunyai kewajarannya kerana selepas tahun 1990, penghinaan terhadap Nabi SAW berlaku berterusan malah semakin gencar lagi, contohnya selepas itu muncul pula Taslima Nasreen yang merupakan warganegara Bangladesh, sebuah negara miskin di Sub-Continent. Karya wanita jalang ini diulang cetak di negara Barat yang membolehkan beliau hidup disalut kekayaan dan diberi perlindungan di negara Barat.

Di negara Timur Tengah pula muncul seorang penulis keturunan Syiria iaitu Haidar binti Haidar yang bermastautin di negara Mesir. Beliau telah mengarang sebuah novel fiksyen dan memasukkan watak Nabi SAW, Sayidatina Khadijah, Sayidatina Aishah dalam novel itu dan menghinanya. Puluhan ribu mahasiswa Islam dan mahasiswi berdemontrasi di Mesir, menuntut kerajaan Mesir supaya mengharamkan novel itu dan menarik balik novel itu dari pasaran. Bantahan aman mempertahankan Nabi SAW telah disuraikan dengan gas pemedih mata dan ditembak dengan peluru getah di mana telah mengorbankan seorang mahasiswi Islam. Serikandi itu telah gugur syahid demi mempertahankan maruah Nabi SAW.

Di zaman moden ini juga telah merakamkan penghinaan terhadap Nabi SAW di Nigeria dalam bulan Ramadhan beberapa tahun lepas. Nigeria merupakan sebuah negara yang pernah tertegak pemerintahan Islam yang dikenali sebaga Khalifah Sokoto di mana seorang ulama besar Afrika iaitu Sheikh Othman Den Fodio telah menaungi pemerintahan Islam tersebut. Kerajaan Islam ini akhirnya tumpas dengan kedatangan penjajah British. Nigeria hari ini melaksanakan konsep pentadbiran federalisme dan dengan kesungguhan pejuang-pejuang Islam dua buah negeri di utara Nigeria telah diizinkan oleh kerajaan Pusat untuk melaksanakan undang-undang Syariah Islam, dunia terkesima dan peluang terbuka kepada media untuk memburukkan pelaksanaan Syariah Islam apabila Mahkamah Tinggi Syariah telah menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada seorang wanita yang telah berkahwin namun melakukan perzinaan.

Jawatankuasa penganjuran ratu cantik dunia telah memilih Nigeria untuk menganjurkan pertandingan ratu cantik (dipercayai untuk menghina pelaksanaan syariah Islam di Nigeria Utara) bahkan pertandingan itu dijadualkan dibuat dalam bulan Ramadhan yang mulia. Pertubuhan Islam telah mengambil tindakan berhemah dengan menghantar nota bantahan, memorandum dan pelbagai tindakan sederhana lain supaya penganjur tidak mengadakan pertandingan tersebut.

Kebiadapan terhadap Nabi SAW bermula apabila seorang editor akhbar berbahasa Inggeris Nigeria iaitu Nigeria This Day telah menulis dalam kolumnya, “Jika sekiranya Nabi Muhammad masih hidup, Nabi Muhammad pun membenarkan pertandingan ratu cantik diadakan dan Nabi Muhammad akan memilih salah seorang peserta pertandingan ratu cantik sebagai isteri Nabi Muhammad”. Kebiadaban sang penghinaan ini tidak dibiarkan percuma oleh pencinta-pencinta Islam, ratusan ribu penunjuk perasaan telah keluar ke jalan raya bagi menyatakan sikap dan bantahan di mana kemuncaknya pejabat utama akhbar Nigeria This Day telah dibakar oleh penunjuk perasaan. Peristiwa ini masih kuat terpahat dalam ingatan pengamal media di Nigeria. Sehingga buku ini ditulis sebuah akhbar pun tidak berani mengulang siar karikatur yang menghina Rasulullah SAW walaupun sebanyak 146 penerbitan di seluruh dunia telah menerbitkan kembali karikatur yang menghina Nabi SAW.

Baginda SAW dikritik dan dihina lagi oleh tokoh-tokoh pendusta dan pengkhianat barat dengan gaya baru, sesuai dengan arus kemodenan. Kemarahan pencinta-pencinta Rasulullah SAW tercetus lagi, setelah akhbar Denmark Jyllands Posten memaparkan siri-siri kartun yang menggambarkan karikatur Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pengganas dan tidak bermoral.

Umat Islam harus bermuhasabah hari ini, sejauh manakah tahap kecintaan mereka terhadap ar rasul SAW. Tidak cukup kita berselawat sebagai manifestasi kecintaan, namun yang paling penting menyambung risalah perjuangan yang ditinggalkan oleh baginda, memberdaya kefahaman awam tentang sirah rasul, juga menegakkan sunnah Rasulullah yang terbesar iaitu menegakkan pemerintahan Islam. Maruah ar rasul akan terjaga di bawah keadilan pemerintahan Islam dan pimpinan yang bertaqwa

Sumber:

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...