Salleh Said Keruak
1. Malam tadi, saya turut berada di Stadium Bukit Jalil mendengar pengumuman Presiden BN memperkenalkan Manifesto BN dalam menghadapi PRU 2018. Reaksi segera saya setelah mendengar ucapan tersebut ialah agendanya realistik, manifestonya terbaik, komprehensif dan praktikal untuk rakyat Malaysia. Manifesto ini komprehensif kerana menjanjikan inisiatif -inisiatif untuk dilaksanakan, termasuklah memberi perhatian kepada permintaan rakyat Sabah dan Sarawak. Melihat kepada tepukan dan sorak ahli di Stadium malam tadi, hati saya berkata itu adalah sorakan keyakinan rakyat kepada manifesto BN kerana BN terbukti telah mampu menunaikan 99.4% janjinya dalam PRU 2013 yang lalu.
2. Saya teruja dengan cara Presiden parti membentangkan manifesto BN semalam. Berbeza dengan cara sebelumnya, kali ini Presiden membentangkannya dengan mengangkat keperluan setiap negeri secara adil dan menyeluruh. Dalam manifesto bertajuk “Bersama BN Hebatkan Negaraku”, antara lain Presiden BN menjanjikan komitmen berikut: memberi tambahan BR1M kepada golongan sasar, menurunkan had kadar faedah dan caj lewat bayar kad kredit, mengurangkan kos langganan jalur lebar 50% dan gandakan kelajuan, meningkatkan bantuan RM500 untuk bayi baru lahir di bawah program ADAM50, tujuh hari cuti tahunan bagi golongan ibu untuk menjaga anak-anak yang sakit, memperkenalkan sekolah beraliran Inggeris di Sabah dan Sarawak sebagai projek rintis, memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 berdasarkan konsensus, menghapuskan harga berbeza untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah-Sarawak, dan memperkasa komuniti Dayak dan Kadazandusun.
3. Setelah menelitinya, saya menilai manifesto BN adalah terbaik dan berjaya menenggelamkan manifesto PH. Dengan manifesto sebaik ini, maka ini membuktikan BN adalah parti yang menitikberatkan kepentingan rakyat bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik.
Sumber: sskeruak.blogspot.my
