Menteri Kewangan perlu bentang kertas putih kedudukan kewangan sebenar

Nasrudin Hassan

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) meminta Menteri Kewangan untuk membentangkan satu kertas putih mengenai kedudukan sebenar kewangan Kerajaan Persekutuan sebelum pembentangan Bajet 2019 yang dijadual pada 2 November ini.

Kertas putih tersebut sangat penting untuk menyelaras kedudukan kewangan negara ekoran terdapat beberapa kecelaruan mengenai data yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan dan pemimpin-pemimpin yang lain.

Menteri Kewangan dalam satu kenyataan kelmarin (13 Oktober) memberitahu kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional telah meninggalkan akaun wang tunai berjumlah RM450 juta pada 30 April 2018.

Beliau turut mendakwa akaun hasil disatukan telah susut mendadak sebanyak 96% daripada jumlah asal iaitu RM11.86 bilion pada akhir 2017.

Penyusutan perbelanjaan mendadak perlu diperincikan supaya rakyat mengetahui apakah objek perbelanjaan yang telah dilakukan dan bagaimana kerajaan membiayai perbelanjaan mengurus dalam tempoh Mei hingga September 2018.

Sementara itu, Menteri Pertahanan juga telah membuat satu kenyataan mengenai hutang Kerajaan Persekutuan dalam satu program di Universiti Malaya kelmarin (Sabtu, 13 Oktober).

Beliau mendakwa nilai sebenar hutang negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan sebelum ini.

Kerajaan Persekutuan dikatakan telah menyembunyikan nilai sebenar kerana jika diumumkan bimbang negara akan menjadi muflis seperti Greece.

Kenyataan Menteri Pertahanan tersebut amat serius. Walhal, jawapan bertulis Menteri Kewangan pada 24 Julai 2018 kepada Ahli Parlimen Dungun menyatakan dengan jelas hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM686.8 bilion pada 31 Disember 2017.

Jawapan yang diberikan selaras dengan laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 yang telah dibuat oleh Akauntan Negara Malaysia.

Sekiranya, nilai sebenar hutang Kerajaan Persekutuan tidak benar dengan merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan, maka semua angka yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan dan jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat adalah palsu.

Oleh itu, bagi menangani kecelaruan ini, Menteri Kewangan mesti mengemukakan satu kertas putih untuk menyatakan kewangan negara secara tepat bagi mengelakkan kenyataan-kenyataan pemimpin negara dimanipulasi.

Ia bukan perkara yang remeh sebaliknya boleh memberi implikasi buruk kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Sumber: Harakah Daily

Comments

Comments

Comments

Comments



Loading...