“UMNO harus berhenti bersikap hipokrit kerana kesemua yang terlibat dalam Perikatan Nasional bersetuju menyokong Azmin kerana tahu pengkhianatan Azmin amat perlu bagi menjayakan rancangan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan”
Raggie Jessy Rithaudeen
Tindakan beberapa pemimpin UMNO mengkritik kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka menimbulkan persoalan sekiranya parti berkenaan benar-benar sepakat dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAS dalam menjayakan kerajaan yang baru terbentuk ataupun mempunyai agenda tersembunyi.
Belum sempat dua minggu kabinet persekutuan diumumkan, sudah ada pelbagai rungutan dari pemimpin-pemimpin kanan UMNO yang secara terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pelantikan barisan Jemaah menteri oleh Perdana Menteri.
Pucuk pangkal perkara ini berkisar di sekitar isu kuasa dan kedudukan serta ‘kelayakan’ dan ‘pengalaman’, walhal, dari sudut Perlembagaan Persekutuan, semua yang dilantik cukup layak bagi menjawat jawatan yang dipegang.
Wajarkah UMNO timbulkan isu ‘kelayakan’, ‘pengalaman’ dan ‘senioriti’?
Tidak.
Malah, ini adalah kelakuan yang agak kurang sopan dari segi cara ianya dilakukan, lebih-lebih lagi kerana ia dilakukan secara terbuka tidak sampai seminggu kabinet diumumkan.
UMNO seharusnya sedar bahawa sokongan terhadap parti tersebut merosot secara sistematik bermula Pilihan Raya Umum ke 13 sehinggalah Barisan Nasional kecundang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kerana dicap sebagai parti yang “angkuh” dan terjerumus dalam gejala “wang, kuasa dan kedudukan (WKK).”
Justeru, ‘pengalaman’ tidak boleh dijadikan faktor utama dalam penentuan jawatan menteri atau timbalan menteri, lebih-lebih lagi jika Perikatan Nasional tidak ingin kesilapan lampau Barisan Nasional diulang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Tindakan Muhyiddin membentuk sebuah kabinet besar adalah strategi ‘survival’ yang tidak perlu dipertikaikan, kerana sebelum ini, kabinet yang dibentuk oleh Datuk Seri Najib Tun Razak lebih kurang sama besarnya.
Walaupun saya tidak menyukai kabinet yang besar, saya faham, Muhyiddin terpaksa berbuat demikian bagi memastikan beliau mendapat komitmen sepenuhnya daripada pemimpin-pemimpin tertentu yang membantu PPBM, PAS dan UMNO tumbangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.
Kita sedia maklum, watak yang paling utama dalam keruntuhan kerajaan yang lepas tak lain tak bukan Datuk Seri Azmin Ali.
Jadi pastilah dia akan dapat jawatan yang kedua paling ‘lumayan’ dalam Kabinet, kerana tanpa ‘pengkhianatannya’, UMNO tidak akan berkuasa hari ini.
Jadi Kabinet kecil tak mampu bertahan?
Sudah pasti.
Bayangkanlah jika Muhyiddin membentuk sebuah kabinet yang sama saiz dengan kabinet yang dibentuk oleh Pakatan Harapan.
Jika kabinet yang sedia ada pun dah dikritik begitu teruk oleh pemimpin-pemimpin UMNO, saya rasa Perikatan Nasional sudah lama tumbang jika bilangan portfolio yang ditawarkan oleh Muhyiddin dikekalkan sepertmana dalam kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terdahulu.
UMNO seharusnya terima hakikat bahawa ini bukannya lagi era Barisan Nasional, tetapi titik permulaan kepada ‘perpaduan ummah’ yang dilaung-laungkan selama ini oleh UMNO dan PAS bawah bumbung Muafakat Nasional.
Dalam mana-mana permuafakatan ke arah perpaduan, sudah pasti perlu ada muzakarah ke arah kesepakatan dan kesefahaman di samping kesanggupan pihak-pihak terbabit untuk memberi peluang kepada semua kelompok Melayu-Islam agar penyatuan yang berkekalan dapat dicapai.
Jadi UMNO perlu bertolak ansur?
Ya.
Memandangkan Perikatan Nasional merupakan ‘kesepakatan’ antara Barisan Nasional dan dua parti komponen yang lain, UMNO perlu memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin baru yang mampu menghidupkan jiwa kesepakatan dalam pentadbiran persekutuan.
Selain itu, UMNO turut perlu menghormati kuasa prerogatif yang ada pada Muhyiddin dan menunjukkan sikap positif terhadap kepimpinan beliau, kerana bukan hanya Muhyiddin pilihan UMNO bagi jawatan Perdana Menteri, Kabinet yang terbentuk belum lagi berusia dua minggu dan masih bellum diuji kemampuannya.
Bagaimana pula dengan kenyataan seorang pemimpin kanan UMNO bahawa “sokongan parti terhadap kerajaan ada hadnya?”
Tidak masuk akal.
Sepertimana yang telah saya jelaskan sebelum ini (rujuk artikel bawah), UMNO:
1. bersetuju untuk berdamping dengan PPBM biar pun tahu perihal penyertaan Azmin Ali dalam PPBM.
2. bersetuju untuk menyokong Muhyiddin bukan hanya sebagai calon Perdana Menteri, tetapi calon Perikatan Nasional bagi jawatan tersebut.
Berdasarkan tingkah laku beberapa pemimpin UMNO, jelas bahawa mereka beranggapan Muhyiddin akan menubuhkan sebuah kabinet menurut acuan Barisan Nasional, di mana Perdana Menteri hanya akan memilih calon-calon daripada Perikatan Nasional selaku gabungan terbesar dalam Dewan Rakyat (menurut pecahan agihan kerusi parti-parti komponen) untuk menganggotai barisan Jemaah Menteri.
Tetapi UMNO lupa, ianya bukan lagi terikat kepada ideologi ataupun budaya Barisan Nasional, tetapi ideologi satu pergabungan baru melibatkan PPBM, PAS, MCA dan MIC di mana kesemua parti komponen tidak perlu menurut acuan Barisan Nasional.
Memandangkan Perikatan Nasional terbentuk tanpa dirancang, adalah logik jika individu yang dilantik sebagai Perdana Menteri mematuhi sepenuhnya peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya kehendak parti apabila melantik barisan Jemaah Menteri.
Menurut Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Jemaah Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Perdana Menteri dan hanya bersandar kepada keahlian dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara, bukannya keahlian dalam mana-mana parti politik
Dengan kata lain, Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogatif untuk membentuk sebuah kabinet yang terdiri daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara tanpa mengambil kira parti politik yang diwakili ahli-ahli berkenaan.
Atas pertimbangan ini, dan bagi tujuan perbincangan semata-mata, sekiranya Muhyiddin tiba-tiba memutuskan untuk melantik juga ahli parlimen dari PKR dan AMANAH sebagai ahli kabinet, itu adalah hak berperlembagaan beliau yang tidak boleh dipertikaikan.
Ini bernakna, Muhyiddin boleh pada bila-bila masa merombak kabinet untuk mengembalikan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan sekiranya UMNO tidak mengubah sikapnya dan terus bergelut isu kuasa dan kedudukan.
Perkara ini sebenarnya diketahui oleh UMNO.
Jangan lupa, UMNO sendiri mengisytiharkan bahawa “kerajaan yang ada hanyalah perikatan antara ahli-ahli parlimen dan bukan kerjasama antara parti-parti politik,” sekaligus bermakna parti komponen Barisan Nasional itu akur bahawa Muhyiddin memiliki kuasa prerogatif untuk mencalonkan siapa sahaja.
Tetapi apa yang pelik, UMNO masih terhegeh-hegeh mempertikaikan soal pelantikan menteri dan sanggup bersikap kurang sopan dengan mengeluarkan kenyataan bahawa “sokongan UMNO terhadap kerajaan (pimpinan Muhyiddin) adalah terhad” biarpun tahu Muhyiddin tidak bertindak melantik ahli-ahli parlimen dari DAP, AMANAH atau PKR.
Apakah UMNO sedang mencabar Muhyiddin untuk mengembalikan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan?
Bagaimana pula dengan pelantikan Datuk Seri Azmin Ali?
Sepertimana yang saya jelaskan, kepimpinan tertinggi UMNO cukup tahu perihal penyertaan Azmin Ali dalam PPBM sewaktu tertubuhnya Perikatan Nasional dan tidak berhak menyoal Muhyiddin berkenaan pelantikan Azmin sebagai de facto Deputy Prime Minister.
Sebagai langkah awal, sudah pasti Muhyiddin akan memilih seorang yang dipercayainya (Azmin Ali) sebagai “orang paling kanan” memandangkan kerjasama Barisan Nasional dan PPBM adalah secara ‘mengejut’ dan tidak dijangka.
Bukankah begitu?
UMNO harus berhenti bersikap hipokrit kerana kesemua yang terlibat dalam Perikatan Nasional bersetuju menyokong Azmin di Sheraton kerana tahu pengkhianatan Azmin amat perlu bagi menjayakan rancangan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.
Minta maaflah, saya tidak nampak kematangan UMNO dalam Perikatan Nasional dan tidak jangkakan kerajaan baru akan bertahan disebabkan budaya pelik yang dibawa-bawa oleh UMNO dari pentadbiran Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Bersambung…
