“Berdasarkan logik yang diguna pakai oleh Anwar dan Mohamad pada tahun 2013, bukankah pergabungan Perikatan Nasional bersama GPS lebih layak menerajui kerajaan persekutuan berbanding pihak Pakatan Harapan?”
Raggie Jessy Rithaudeen
محمد سابو مميجق-ميجق لوڬيق ڤواقڽ سنديري
Presiden AMANAH Mohamad Sabu kebelakangan ini sibuk dengan jelajah Pakatan Harapan ke seluruh negara bagi menjelaskan apa yang disifatkan beliau sebagai “rompakan demokrasi” oleh pihak Perikatan Nasional.
Ya, tidak dapat dinafikan bahawa berlaku pengkhianatan oleh pihak-pihak tertentu yang menjurus kepada terbentuknya sebuah gabungan baru pada saat terakhir yang tidak menurut perancangan asal.
Tetapi kesemua ini bukannya “rompakan demokrasi,” tetapi sebahagian daripada proses demokrasi dan bukti institusi demokrasi di negara ini masih subur dan diamati sepenuhnya oleh wakil rakyat.
Saya akan menjelaskan secara lebih terperinci sebab saya berpendapat sedemikian menerusi satu sidang media live pada pukul 10 malam Khamis ini (bersamaan 12hb Mac 2020) menerusi Facebook Raggie Jessy Rithaudeen (KLIK DI SINI).
Untuk tujuan artikel ini, saya hanya akan mengetengahkan bukti sikap hipokrit Mohamad yang lupa apa yang diperkatakan oleh dirinya sendiri dan orang yang pernah disokongnya sebagai calon Pakatan Harapan bagi jawatan Perdana Menteri ke-8.
Pada 5hb Mei 2013, Barisan Nasional berjaya tumpaskan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan.
Walaubagaimanapun, pihak Pakatan Rakyat mengecam pembentukan kerajaan persekutuan oleh Barisan Nasional dengan mendakwa kemenangan 47.38 peratus dari undi popular oleh gabungan berkenaan kurang dari majoriti 50.87 peratus yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat.
Untuk makluman, Pakatan Rakyat pada ketika itu diangotai oleh Mohamad sendiri selaku Timbalan Presiden PAS dan sekutu Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
Dan pada ketika itu, pihak Mohamad bersetuju dengan logik yang diketengahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pentingnya memenangi majoriti undi popular dan sendiri membawa logik ini dalam beberapa ceramah jelajah ke seluruh negara.
Hakikatnya, bukan hanya logik ini cukup tersasar dari kebenaran, ianya digunakan oleh Anwar untuk mengaburi mata rakyat agar pihak Barisan Nasional dilihat sebagai “perompak demokrasi.”
Apa yang menarik perhatian saya ialah logik yang digunakan oleh Mohamad pada kali ini cukup bercanggah dengan logik yang diguna pakai oleh dirinya sendiri selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
Menurut Mohamad, hanya Pakatan Harapan yang layak membentuk kerajaan persekutuan kerana gabungan tersebut sah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.
Tetapi jika dikaji keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, pihak Pakatan Harapan hanya memenangi 48.31 peratus dari undi popular, di mana selebihnya dimenangi oleh Barisan Nasional (33.8 peratus) dan Gagasan Sejahtera (16.99 peratus).
Memandangkan pihak Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional sudahpun bergabung dalam Muafakat Nasional, dan dengan penyertaan PPBM dalam Perikatan Nasional dan GPS sebagai rakan gabungan, sudah pasti peratusan undi popular pergabungan baru ini jauh melebihi 50.79 peratus, jumpah yang dimenangi oleh PAS dan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Begitu juga, peratusan undi popular yang dimiliki oleh pihak Pakatan Harapan sudah pasti telah menjunam ke satu angka yang jauh kurang dari angka 48.31 peratus yang diperolehi oleh gabungan berkenaan ketika Pilihan Raya Umum ke-14.
Berdasarkan logik yang diguna pakai oleh Anwar dan Mohamad pada tahun 2013, bukankah pergabungan Perikatan Nasional bersama GPS lebih layak menerajui kerajaan persekutuan berbanding pihak Pakatan Harapan?
Jadi di manakah berlakunya “rompakan demokrasi” yang dimaksudkan oleh Mohamad, atau adakah akal Mohamad sendiri yang sebenarnya dirompak?
