
“Tindakan Muhyiddin memperlekeh ‘kempen’ bendera putih merupakan satu penghinaan besar kepada mereka yang terkesan teruk disebabkan kegagalan beliau sendiri dan petanda jelas kerajaan sedang cemas dengan bilangan bendera yang dipacak”
Raggie Jessy Rithaudeen
محي الدين دماكي هماون سلڤس ڤرليكيه بنديرا ڤوتيه
TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
Hashtag Kerajaan Gagal yang muncul di merata-rata kebelakangan ini bukannya digerakkan oleh mana-mana pihak atau individu berkepentingan.
Sebaliknya, hashtag ini muncul secara semulajadi disebabkan rakyat semakin muak dan tidak tahan dengan kerakusan kuasa pemimpin-pemimpin kerajaan yang terlalu sibuk berpolitik daripada menjaga kebajikan rakyat.
Keenganan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kebenaran ini merupakan salah satu kegagalan terbesar kepimpinannya.
Semalam, Muhyiddin dimaki hamun di media sosial apabila mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai kempen kerajaan gagal dan tidak menaikkan bendera putih.
Sebaliknya, Muhyiddin mendakwa, kerajaan telah menyediakan bakul-bakul makanan untuk mereka yang memerlukan sambil bergambar dengan bakul-bakul yang siap dicop “bakul prihatin negara.”
Persoalannya, adakah bakul-bakul kecil ini boleh bertahan selama dua hingga tiga hari, dan adakah bakul-bakul baharu akan diagihkan setiap tiga hari kepada beratus ribu rakyat Malaysia yang tidak ada duit atau kemampuan membeli makanan?
Untuk makluman, jumlah kes baharu Covid-19 semalam (hari ke-3, minggu ke-7 PPN) mencecah 13,000 kes, jauh lebih tinggi daripada angka yang direkodkan pada hari pertama pelancaran Pelan Pemulihan Negara.
Jika dari awal lagi kerajaan menutup penuh sektor ekonomi dan sosial sepertimana yang dijanjikan, mustahil angka Covid-19 akan mencecah paras 13,000, malah berkemungkinan tinggi akan berada pada paras dua digit hari ini.
Apakah Muhyiddin tidak dapat memahami logik yang mudah ini, dan bukankah peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 selepas enam minggu Total Lockdown petanda jelas Pelan Pemulihan Negara telah gagal?
Muhyiddin perlu akur, bahawa kegilaan dalam penularan wabak Covid-19 hari ini disebabkan oleh Pilihan Raya Negeri Sabah yang tercetus apabila PPBM dan UMNO bergelut untuk jawatan Ketua Menteri Sabah.
Malah, orang-orang beliau sendiri terlibat dalam pelbagai misi rahsia untuk mempengaruhi ADUN-ADUN pembangkang agar kerajaan-kerajaan negeri di bawah pembangkang akan tumbang dan diambil alih oleh Perikatan Nasional.
Kesemua ini telah menganggu gugat usaha menangani penularan wabak Covid-19, khususnya di Sabah, di mana pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan Perikatan Nasional terlibat dalam pelanggaran SOP dan mendedahkan berpuluh ribu warga Sabah kepada ancaman wabak Covid-19.
Muhyiddin tidak harus menafikan perkara ini, malah kerajaannya sendiri ditubuhkan menerusi pintu belakang dan dikekalkan atas dasar sogokkan kuasa dan kedudukan demi mengekalkan sokongan ahli-ahli parlimen terhadapnya.
Tindakan Muhyiddin memperlekeh ‘kempen’ bendera putih merupakan satu penghinaan besar kepada mereka yang terkesan disebabkan kegagalan beliau sendiri dan petanda jelas kerajaan sedang cemas dengan bilangan bendera yang dipacak.
Usahlah menghina rakyat Muhyiddin.
Sebaliknya, berusahalah memahami keluhan rakyat dan akuilah kegagalan kerajaan pimpinan anda.
Rakyat tidak memerlukan bakul-bakul berserta cop “prihatin negara” yang sudah tentunya memerlukan kos tambahan.
Sebaliknya, apa yang rakyat perlukan ialah penutupan penuh sektor ekonomi dan saluran dana terus ke akaun bank mereka setiap bulan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara.
WAJIB BACA:
