
“Mustahil bagi kuncu-kuncu Muhyiddin ‘membeli’ walau seorang pun ahli parlimen dari pembangkang kerana semua wakil rakyat tahu bahawa Muhyiddin dibenci rakyat dan tidak dapat bertahan sebagai Perdana Menteri”
Raggie Jessy Rithaudeen
محي الدين هندق لتق جاوتن تاڤي ددسق توڠڬو اوليه كونچو راڤتڽ
Sertai saluran Telegram TTF di sini
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya ingin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, namun kuncu-kuncu rapatnya takut hilang kuasa dan sedang meyakinkan beliau untuk tidak berbuat demikian.
Ini termasuklah pemimpin-pemimpin PPBM yang yakin mereka masih boleh mempengaruhi ahli-ahli parlimen dari parti-parti pembangkang untuk menyertai kerajaan.
Malangnya, usaha pemimpin-pemimpin ini gagal sama sekali kerana semua ahli parlimen dari blok pembangkang dan bebas tidak yakin Muhyiddin mampu bertahan malah tahu kerajaan pimpinannya tidak diterima seluruh rakyat Malaysia.
Logik mereka mudah:
Jika DAP menyertai Perikatan Nasional, parti itu akan berpecah teruk kerana majoriti ahli-ahli parlimen dari parti itu menolak Muhyiddin, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan semua pemimpin PAS.
Perpecahan ini akan menjurus kepada tekanan luar biasa dari akar umbi dan dalam parti agar DAP keluar dari Perikatan Nasional untuk mengelakkannya dihukum oleh pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-15.
PAS juga akan mengalami nasib yang sama, di mana akar umbi dan kepimpinan bawahan parti itu akan menekan kepimpinan pusat untuk menjarakkan diri dari Perikatan Nasional agar parti itu tidak dihukum oleh penyokong tegarnya pada Pilihan Raya Umum ke-15.
PKR pula terbahagi kepada dua kem – kem Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kem Rafizi Ramli.
Ahli-ahli parlimen dari kedua-dua kem ini tidak sanggup untuk bekerjasama dengan Muhyiddin, Azmin dan Hamzah.
Jika Anwar mendesak ahli-ahli parlimen PKR untuk menyertai Perikatan Nasional, kem Rafizi berkemungkinan tinggi akan meninggalkan Anwar.
Manakala itu, lebih separuh daripada ahli-ahli parlimen kem Anwar tidak akan bersetuju untuk menyertai Perikatan Nasional biarpun diarahkan berbuat demikian oleh Anwar.
UMNO pula merahsiakan jumlah sebenar ahli parlimennya yang sudah menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Namun, sumber yang rapat dengan kepimpinan pusat parti itu mengesahkan bahawa jumlah itu agak besar dan berserta surat akuan berkanun sebagai bukti.
Saya difahamkan, ada segelintir di kalangan ahli-ahli parlimen ini berpura-pura untuk bersama Muhyiddin tetapi akan menarik sokongan pada saat terakhir.
Pendek kata, sokongan sebenar terhadap Muhyiddin tidak sampai pun 100 ahli parlimen dan disyaki berada dalam lingkungan 95 hingga 96 ahlli parlimen sahaja.
Jika ya pun sokongan itu berada pada tahap 100, mustahil bagi kuncu-kuncu Muhyiddin ‘membeli’ walau seorang pun ahli parlimen dari pembangkang kerana semua wakil rakyat tahu bahawa Muhyiddin dibenci rakyat dan tidak dapat bertahan sebagai Perdana Menteri.
WAJIB BACA:
